Wajah Pak seakan bayi yang tidur
nyenyak, dengan kulit yang putih kuning seakan bercahaya. Sungguh ayahku sangat
nyenyak tidurnya. Bibirnya menguntum senyum. Air mukanya tenang. Alhamdulilah, kami semua
adik-beradik dapat mengucup dahi Pak dan menatapnya untuk kali terakhir.
Aku menangis semahuku. Ya Allah!!
Kenapa secepat itu Kau ambil bapaku? Ya Allah…aku belum sempat memohon ampun
dari Pak atas semua kesalahanku. Ya Allah….aku belum benar-benar menjaganya
dengan baik. Ya Allah….aku masih ingin memeluk dan mencium ayahku. Ya Allah…….!!!!
Pak memang sayangkan aku. Antara
anak-anak perempuannya aku dianggap paling mudah mendengar kata. Aku memang tidak
melawan kata-katanya walaupun akal dan hatiku tidak dapat menerima apa yang
diomonginya. Banyak kali Pak menggelarkan aku anak solehah.
Tapi bukan!! Aku bukan anak yang
baik apatah lagi solehah! Di dalam diam aku menyimpan kemarahan terhadap
kesakitan dan kesengsaraan Umi. Kemuncak kemarahanku seperti yang aku coretkan sebelum ini. Sungguh aku bukan anak yang baik apatah lagi solehah!!
Aku menangis semahuku. Aku
menyesali egoku sebagai seorang anak. Ketika Pak beberapa kali memohon maafnya
daripadaku, tiada sekali terucap dimulutku memohon ampun darinya.
Egonya aku sebagai anak yang
merasakan hanya aku yang teraniaya dan Pak yang bersalah tanpa menilai dari
sudut pandang Pak yang berbeza dan mengingati setiap kesusahan Pak membesarkan
aku.
Egonya aku sebagai seorang anak
yang meletakkan sumbangan materi sudah mencukupi sebagai tanda membalas jasa,
sedangkan sentuhan kasih jarang kuberikan pada Pak. Soal menjaga Pak yang sakit,
aku serahkan bulat-bulat pada Umi dan Mak Su Dah.
Egonya aku Ya Allah….!!!
Aku masih ingat beberapa hari
sebelum Pak meninggal, dia meminta aku tidur di biliknya tapi permintaan
kubiarkan tanpa dipenuhi. Aku hanya tidur disisi Pak ketika Pak sudah lagi
tidak dapat merasai hangatnya pelukanku atau lembutnya urutan tanganku.
Masih aku ingat di Jumaat yang
terakhir itu, aku, adikku Kak Teh dan Umi duduk dekat dengan Pak sambil
mengurut badannya perlahan. Pak membuka mata dan memandang kami seperti orang
asing.
Pantas, aku memperkenalkan diri, “Pak,
ni Na…Pak ingat dok Na?”
Lantas Pak tersenyum lebar seakan lucu dengan soalanku, “ingat…..”
dan menghulur tangannya menyalami aku dan memegang mukaku. Dan itulah huluran
tangannya yang terakhir untukku.
Kalaulah aku tahu…masaku tak panjang bersama
Pak, pasti aku gunakan sebaik-baiknya masa itu bersama Pak. Kalaulah aku tahu....waktu Pak telah terlalu hampir, pasti setiap huluran tangannya aku balas dengan ciuman kasih sayang. Kalaulah aku tahu....
Ah...tak baik berkata “kalau”, aku tahu itu. Apa yang terjadi itulah yang takdir yang terbaik yang telah ditentukan
Allah untuk hambanya.Tapi sungguh aku tidak mampu
membendung rasa kesal terhadap masa-masa yang aku bazirkan tanpa memberikan
sepenuhnya perhatian dan kasih sayangku pada Pak.
Kini, bila Pak sudah tidak ada, aku
selalu menjenguk ke biliknya dan berharap dia masih ada di tilamnya menyambut
ceria setiap kali aku menyapa. Aku tak kisah kalau Pak terus bercerita memuji
Ma dan Mak Su Dah dan melupakan cerita tentang Umi, asalkan aku boleh terus
mendengar suaranya dan melihat rasa cinta dan bangga di matanya. Aku tak peduli
kalau Pak hanya terus terbaring ditilamnya asalkan aku tahu dia masih ada untuk
aku peluk dan cium pipinya setiap pagi sebelum ke pejabat.
Tapi Pak sudah tidak ada dan Pak takkan pernah kembali…..!!
Apa yang tinggal hanya kenangan
pahit manis aku bersama Pak yang akan aku kenang sampai bila-bila. Walau apapun Pak, buruk atau baiknya….dia lah bapaku dunia dan
akhirat dan aku redha dia menjadi bapaku. Hanya doa mampu aku titipkan buat Pak dan hanya bacaan Quran yang mampu aku sedekahkan. Ketika waktu yang Allah berikan itu telah berlalu, penyesalan apapun pasti tidak akan berguna lagi.
Ya Allah, aku mohon padaMu, Kau
ampunilah dosa-dosa bapaku. Kau lapang dan terangilah kuburnya. Kau jauhilah
dia dari siksa kubur dan azab api neraka. Kau tempatkan dia bersama-sama
hamba-hambaMu yang soleh. Kau sampaikanlah kepadanya setiap titipan doa dan
sedekah kami kepadanya dan aku mohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah kedua ibubapaku dengan
menjadikan kami, anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.
Al-Fatihah.
(Dalam kenangan: Ghazali bin Embong 10.12.1939 - 17.12.2012)
No comments:
Post a Comment