ADA
RASA TAK TERDUGA
“Melayu adalah jati diri.
Apa yang tertulis di dalam Perlembagaan adalah terlalu general dan tidak
melambangkan maksud melayu yang sebenar. Kalau macam tu senang lah kaum-kaum
lain nak masuk melayu,” lantang Akim menzahirkan pendapatnya.
“Habis, kamu rasa apa
interpretasi yang lebih baik menggambar Melayu mengikut fahaman kamu?” Soal
Riana.
“Aaaa……..oiii, tolong ar
aku,” Akim tergagap sambil mencuit Hafiz yang ralit memandang Riana, minta
pertolongan.
“Kenalah tengok keturunan Cikgu,” Hafiz menjawab
yakin.
“Dan bagaimana kamu menentukan
keturunan, Hafiz?” soal Riana lagi mencabar intektualiti pelajarnya. Dia
memandang Hafiz lembut dengan senyuman sinis menampak dua lekuk manis di
pipinya.
“Adoii…lesung pipit itu,
nak fikir pun tak boleh dah”, hati Hafiz berbicara sendiri, tetapi dengan
spontan bibirnya mengukir senyuman nakal dan menjawab, “keturunan boleh
ditentukan dengan bentuk badan, warna kulit, raut wajah dan mmmm...mungkin juga
lesung pipit”.
Hafiz mengenyitkan matanya
kepada Riana yang sedikit terperanjat dengan jawapan yang diberi sebelum ikut
ketawa bersama-sama rakan-rakan sekelasnya.
Riana mengerutkan dahi
menyembunyikan senyum dan cuba berlagak tenang. Namun pipinya terasa panas.
“Kita tengok juga kaum tu
pernah bersunat atau tidak Cikgu,” sampuk Aril tiba-tiba.
Dan Riana tidak dapat
menahan ketawanya lagi. Sekali lagi kelas
6 Atas Syafiee hingar-bingar dengan hilai tawa pelajar dan gurunya. Subjek
Pengajian Am tidak membosankan lagi.
Bila kelas hari itu
berakhir, Riana berasa lega. Method pengajarannya berjaya menarik minat
pelajar. Walau macam mana dia cuba memberikan perhatian secara sama rata kepada
semua pelajarnya, dia tidak dapat menafikan kadang-kala perhatiannya lebih
tertumpu kepada 3A terutamanya Hafiz. Tiba-tiba pipinya terasa panas kembali. Rasa
malunya masih bersisa dengan usikan Hafiz tadi.
Riana tahu Hafiz selalu
curi-curi memandangnya ketika dia mengajar. Ada masa lirikan nakal Hafiz cuba
menguji hati perempuannya. “Ah…anak itu memang sangat nakal,” bisik hati Riana
sambil tertawa kecil.
Sudah tentu Riana tidak melayan kenakalan Hafiz tetapi
dia tidak dapat menafikan taman hatinya berputik gembira. Riana
menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba mengusir perasaan manis itu dari mindanya.
Erin juga perasan perubahan
sikap Hafiz semasa kelas Cikgu Riana. Hafiz lebih fokus dari biasa, padahal
Pengajian Am bukan subjek kegemarannya. Erin juga perasan renungan Hafiz yang
berbeza pada Cikgu Riana dan Erin tidak dapat menahan rasa cemburunya.
“Apalah yang dipandang pada
anak dara tua tu..” getus hatinya marah sambil menggenggamkan tangannya.
“Erin, kau marahkan sape
tu?? Kot yer pun, tahan-tahan la sikit, jangan bagi orang nampak” tegur Zizi,
sahabat baik Erin sambil tertawa.
“Eh, Zizi, takder apalah.
Aku dok fikir macam nak balas dendam kat 3A ni, tak habis diaorang ganggu aku,”
bohong Erin.
“Kalau kau tak tahan sangat,
mungkin kau patut bagitau cikgu pasal diaorang tu. Mintak injunksi supaya
diaorang tak boleh mendekati kau dalam lingkungan radar 100m”, cadang Zizi yang
bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.
“Hahaha..injunksi? Nak
report kat mahkamah mana?” Erin tergelak manja.
“Eh, aku serius lah. Cikgu
Riana kan cikgu kaunseling baru. Apa kata kau pergi jer mengadu kat dia,” Zizi
terus memberi cadangan.
“Riana?? Uhhhhh…baik tak
payah. Sah-sah dia akan menyebelahi 3A,” getus Erin, tiba-tiba rimas bila nama
Riana disebut.
“Eh, engkau ni kenapa?? Tak
baik kau cakap macam tu. Aku tengok Cikgu Riana tu ok jer,” nasihat Zizi yang
kehairanan dengan jawapan teman baiknya itu.
Erin mengangkat bahu, diam
dan terus melayan perasaan. Hatinya sakit setiap kali dia teringat cara Hafiz
memandang Riana dan perasaan cemburunya pada Riana semakin membuak.
ERIN
Berwajah bujur sirih dan
berkulit putih bersih. Erin antara pelajar perempuan tercantik di Temenggung
Aziz tapi bukan pelajar paling popular, mungkin kerana sikapnya yang pendiam
dan merendah diri. Pun begitu pemujanya bukan sedikit. Namun hatinya tidak terbuka
untuk sesiapapun yang cuba mendekati. Walaupun dilahirkan di dalam keluarga
yang sangat berada, Erin dididik untuk hidup sederhana. Kerana itulah dia
dihantar ke sekolah biasa bukan sekolah antarabangsa yang terkenal di ibukota.
Kesibukan Mama dan Papanya,
menyebabkan Erin sangat rapat dengan kakaknya Isma, sementalahan pula mereka
hanya dua beradik. Jarak umur mereka yang jauh menyebabkan Erin sangat manja
dengan kakaknya. Kadang-kadang Kak Ismalah pengganti Mama, tempat Erin
bergantung kasih dan mencurahkan masalah remajanya.
Segalanya cukup sempurna
untuk Erin sehinggalah Isma meninggalkan rumah dua tahun lepas. Erin tak tahu
apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan Papa terlalu marah dan
menghalau Kak Isma keluar dari rumah. Bila Kak Isma pergi, tiada siapapun dibenarkan
untuk menyebut nama Kak Isma di dalam rumah. Mama sangat sedih, Erin tahu tapi
Mama tidak berani membantah Papa. Erin juga tidak berani membantah Papa.
Kini, diari baldu merah,
hadiah Kak Isma pada harijadinya yang ke 16 menjadi peneman setia. Diari itulah
saksi semua luahan rindunya pada Kak Isma. Dairi itu juga tempat dia
mencurahkan perasaan aneh yang dirasakan terhadap Hafiz. Rasa cemburunya pada
Riana. Diari itu adalah rahsia hatinya yang paling dalam.
Tiba-tiba Erin rasa
bersalah kerana merasa cemburu pada gurunya sendiri.
“Ya Allah, tak berkat
pelajaran aku nanti,” desis hati Erin. Diari baldu merahnya ditutup dan
diletakkan di bawah bantalnya.