SUAIKENAL
Suasana kelas
hingar-bingar. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas Syafiee berborak sama sendiri. Ini
adalah fenomena biasa sejak Puan Fatimah Abu Bakar dipindahkan ke Kementerian
Pelajaran tiga minggu yang lalu. Kelas Pengajian Am yang merupakan subjek yang
paling tidak digemari pelajar kini menjadi sangat “ceria” tanpa kehadiran guru.
“Ahhh!!” Erin mengeluh
bosan sambil membelek helaian buku teks Pengajian Am dihadapannya. Kerisauan
bersarang dibenaknya mengenangkan peperiksaan percubaan tidak lama lagi. Erin
meneruskan pembacaannya tanpa mempedulikan aktiviti rakan sekeliling yang
menyakitkan telinganya.
Tiba-tiba, “Adoi…!” Segumpal
kertas singgah dipipinya diiringi hilai tawa dari hujung kelas. Erin mengangkat
muka dan merenung tajam sekumpulan tiga pelajar lelaki yang membalas nakal
renungannya dengan berterusan ketawa tanpa silu.
“Dasar cacat otak!!” jerit Erin sambil
membaling semula gumpalan kertas ke arah mereka bertiga, malangnya sasarannya
tidak mengena dan dibalas dengan hilaian tawa yang lebih kuat. “Uhhhh!” Erin
menggetus geram.
Tiga pelajar itu, Aril, Akim dan Hafiz cukup gembira dapat mengusik Erin yang pendiam dan ulat buku. Ia bagaikan satu kepuasan melihat muka gadis manis itu bertukar kemerahan menahan marah.
Aril, Akim dan Hafiz atau
lebih dikenali sebagai Geng 3A merupakan pelajar paling nakal di Sekolah
Temenggung Aziz. Ketiga-tiganya mempunyai aura dan pesona tersendiri hingga
menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan. Kenakalan dan kecemerlangan 3A
beralun serentak sehingga sukar untuk guru-guru mengambil tindakan terhadap
tindak-tanduk mereka yang kadang-kadang agak melampaui batas.
“Bangun!!!!” tiba-tiba Yazid,
sang Ketua Kelas memberi arahan. Kelam kabut para pelajar mengambil tempat
masing-masing. Melangkah masuk ke Kelas
6 Atas Syafiee, seorang wanita muda, berbaju kurung merah jambu dan bertudung
sedondon. Susuknya sederhana dengan wajah sawo matangnya dimekap tipis.
“Assalamualaikum Cikgu”
“Wa’alaikumussalam. Duduk
semua!”
Wanita itu tersenyum manis
menampakkan lesung pipit yang tidak berapa dalam di kedua belah pipinya.
Hatinya agak berbunga melihat wajah-wajah polos dihadapannya yang melihatnya
dengan pandangan yang teruja.
“Saya adalah guru Pengajian
Am kamu yang baru, menggantikan Puan Fatimah. Nama saya Riana..mmm..Qaseh Riana
Abdullah”.
“Cik ke Puan?” tiba-tiba
terpacul suara nakal di barisan belakang kelas.
Riana mencari pemilik suara
itu. Pandangannya terhenti pada wajah comel anak muda bermuka agak bulat yang
memandangnya dengan mata yang nakal dan senyuman meleret.
“Cik”, Riana membalas tegas.
Dia agak tidak selesa dan bosan dengan soalan wajib itu yang pasti diajukan
oleh mana-mana orang yang baru mengenalinya.
“Yeay!” sahut anak muda itu
sambil disahut dengan hilai ketawa oleh rakan-rakan sekelas. Riana turut
ketawa, terperanjat dengan reaksi pelajarnya sambil menyembunyikan perasaan
malunya.
“Apa yang Yeay! sangat…? Hmmm…”
tanya Riana sambil cuba melihat tanda nama di dada pelajar nakal itu.
Tahu apa yang dicari Riana,
segera dia memberitahu, “Nama saya Hafiz, Cikgu!” sambil menayangkan tanda nama
di dada bajunya.
“Yeay sebab Cikgu tak kawin
lagi lah,” sambungnya sambil ketawa dan disambut oleh rakan-rakan yang lain.
“Kamu ingat kamu boleh
pikat Cikgu??” Riana mencabar di dalam tawa yang tidak berkurang.
“Kalau Cikgu sudi,” Hafiz
terus menduga.
“Ewwww…..seluar dalam awakpun
mak masih basuh lagi ada hati nak ngorat Cikgu” Riana membalas usikan Hafiz bersahaja
dan Kelas 6 Atas Syafiee terus galak dengan hilai tawa.
“Uhh…dasar gatal,” getus
Erin, menyampah dengan gelagat Hafiz dan rakan-rakan sekelasnya. Sedikit rasa
cemburu tersilang di hatinya.
Sesi kelas hari itu hanya
diisi dengan acara suaikenal dan perbincangan tentang topik-topik yang akan
diajar dalam kelas akan datang.
Bila loceng berbunyi
menandakan tamat masa pelajaran, Riana meninggalkan kelas 6 Atas Syafiee dengan
senyuman yang tidak lekang dibibirnya. Sudah lama dia tidak ketawa seperti itu.
Seperti ada beban yang terlepas dari hatinya melayan usikan pelajar-pelajar
barunya. Dia pasti akan gembira di sini. Dia pasti akan memberikan khidmatnya
yang terbaik di sekolah ini. Ya, di sinilah permulaan baru hidupnya. Dia pasti!
RIANA
Riana tekun meneliti nota
tentang Perlembagaan Malaysia, topik yang akan didebatkan di dalam kelasnya
esok hari. Seboleh mungkin dia akan cuba menjadikan subjek tersebut menarik
untuk pelajar-pelajarnya. Tiba-tiba dia rasa tak sabar menunggu hari esok.
Riana tertawa kecil, hairan dan teruja dengan semangat baru yang meruap di jiwanya.
“Alhamdulilah, terima kasih
Ya Allah”, ucap syukurnya di dalam hati.
Setelah berpuas hati dengan
persiapan untuk mengajar esoknya, Riana merebahkan dirinya ke katil beralaskan
cadar “turquoise” warna kegemarannya. Usikan nakal Hafiz kembali memenuhi ruang
ingatannya. Dia ketawa sendiri. Anak muda itu sangat comel di matanya.
Ahhhh….dan dia ketawa lagi.
“Semoga hari esok lebih
baik lagi, Ya Allah,” doanya perlahan.
Perlahan matanya ditutup. Riana
berharap dapat tidur lena malam ini. Dia cuba mengosongkan fikirannya. Dalam
keadaan separa sedar, berbalam-balam wajah-wajah itu cuba menjelma dalam
deltanya. Riana terus memejamkan matanya. Sesekali dahinya berkerut. Namun dia
tak akan benarkan wajah-wajah itu menggangu tidurnya. Tidak lagi! Wajah-wajah
itu kian menghilang diganti dengan hilai tawa yang menyenangkan. Muncul wajah
comel yang tersenyum nakal padanya….Riana terus memejamkan matanya tapi dahinya
tidak lagi berkerut. Dan tak lama selepas itu, dia lena mengulit mimpi yang
diciptanya sendiri…
No comments:
Post a Comment