NAKAL
SANG ARJUNA
Selesai makan nasi lemak
dan milo ais, Hafiz melabuhkan dirinya di bawah pokok di belakang sekolah
sementara menunggu habis waktu rehat. Pokok itu adalah spot kegemaran 3A. Aril
dan Akim menghilang entah ke mana. Hafiz tidak berusaha mencari mereka. Entah
kenapa dia berasa ingin bersendirian hari ini. Hafiz tersenyum dan bersiul
kecil. Kelas Pengajian Am hari ini dua jam. Hatinya berbunga riang padahal
Pengajian Am adalah amat membosankan baginya.
“Hoii…kau berangan macam
mana nak ngorat Qaseh Riana e??” sergah Akim mematikan lamunan Hafiz. Akim menyeringai
comel menampakkan barisan giginya yang kecil tersusun unik.
“Bendul kau.!!” renggus
Hafiz menepis tebakan Akim yang hampir kena.
“Tapi lesung pipit tu
memang “taste” engkau kan???” Akim terus mengusik.
“Hahahaha! Baya nenek aku
dowh lesung pipit tu. Tapi nama dia cantik, nanti boleh bagi nama anak aku
macam tu”, balas Hafiz.
“Anak aku pun!” balas Akim.
“Anak aku pun!” sampuk Aril
dari belakang Akim.
Mereka ketawa besar sambil
meneruskan celoteh anganan mereka.
Dari jauh Erin memerhatikan
gelagat ketiga-tiga sahabat baik itu sambil tangannya terus mencoret sesuatu di
dalam diari baldu merah pemberian kakaknya. Diari itu adalah peneman setianya ke
mana-mana sahaja dia pergi.
Di antara 3A, Erin paling menyenangi
Aril. Walaupun nakal, Aril lebih sensitif dengan perasaannya. Kadang-kadang
Erin terperasan mata Aril memandangnya simpati setiap kali usikan Hafiz dan
Akim agak keterlaluan padanya. Antara mereka bertiga Aril paling matang bagi
Erin.
Akim pula kasanova tersohor
di Temenggung Aziz. Orangnya segak dengan susuk yang kurus tinggi. Lebih-lebih
lagi dengan kepandaiannya memetik gitar dan berlagu indah memang bisa
mencairkan hati mana-mana gadis yang dioratnya. Namun di dalam kenakalan Akim ada
keseriusan di dalam tutur katanya. Pantang ada yang tidak berkenan di matanya,
memang alamaknya kena “sound direct” lah.
Erin tersenyum lagi sambil
tangan ligat menulis.
Tapi dia paling sukakan
Hafiz walaupun Hafiz yang paling nakal dan paling kerap mengusiknya. Erin suka
bila Hafiz merenungnya dengan matanya yang tersenyum. Dia sangat suka bila
Hafiz ketawa terbahak-bahak hingga matanya tertutup menampak bulu matanya yang
lentik. Dia meminati barisan gigi Hafiz yang putih bersih memaniskan
senyumannya. Dadanya berdebar bila sesekali Hafiz memanggil namanya dengan
lembut, ”Erin..” Perasaan apakah ini Tuhan….
“Erin!!” sergahan Hafiz mengejut
Erin dan belum sempat dia memberi apa-apa respon, tangan Hafiz pantas merampas
diari baldu merah dari ribaan Erin.
“Hei..pulang kan!! Budak
terencat akal!” jerit Erin marah.
“Nah!” Hafiz menghulurkan
diari itu kembali.
Tapi belum sempat Erin
mengambil diarinya, segera Hafiz mencampakkannya kepada Akim.
“Alalalala…” kata Akim dan
belum sempat Erin merebut diarinya kembali, sekali lagi diarinya bertukar
tangan kepada Aril.
Dan begitulah
bergilir-gilir diari baldu merah kesayangannya bertukar tangan dari Hafiz
kepada Akim kepada Aril dan Erin seperti anak kecil berlari-lari di
tengah-tengah lingkungan 3A yang mengilai ketawa mempersendakan aksinya. Letih
dan geram, Erin akhirnya duduk dan airmatanya mengalir laju membasahi pipinya.
Loceng menandakan tamat
waktu rehat berbunyi.
“Ok Aril, jom kita balik kelas, dah habis baca
esok, baru kita pulangkan diari dia ni,” kata Hafiz tanpa simpati disambut
dengan hilaian ketawa Akim.
Aril seakan tersentak.
Diari di tangannya dipegang erat walaupun diminta berkali-kali oleh Hafiz. Butiran
jernih yang jatuh di pipi putih gebu milik gadis manis itu adalah pemandangan
terindah yang pernah dilihatnya. Degup jantung Aril seakan terhenti. Airmata
itu terlalu meruntun hatinya.
Dia merapati Erin, memegang
bahunya perlahan dan meletakkan diari baldu merah itu ditangan Erin…
“Sorry…” bisiknya perlahan
dan berlalu dari situ.
“Awok sentimental sangat
sehhh…………” ketawa Hafiz dan Akim memenuhi udara.
Aril terus meluru laju
menuju kelas tanpa menghiraukan usikan teman-teman akrabnya.
ARIL
Aril adalah anak tunggal. Sejak
kematian Abinya, sedaya-upaya Aril berusaha membahagiakan Umminya. Sedaya
mungkin Aril tidak akan mengingkari setiap kata-kata Ummi. Aril sentiasa ingat
pesan Abi sebelum Allah menjemput Abi ke syurga. Masa tu, Aril baru berusia 11
tahun.
“Aril kena sentiasa ingat,
syurga di tapak kaki Ummi, jadi jangan pernah Aril sakiti hati Ummi. Kalau Abi
tak ada, Aril janji dengan Abi, Aril akan jaga Ummi baik-baik” Aril mengganguk
perlahan.
Dia cuba menahan dirinya
dari menangis sebab Abi selalu berkata, “Lelaki tidak boleh menangis. Aril kena
jadi lelaki yang hebat, yang kuat semangat sebab lelaki adalah ketua keluarga.
Dan jangan pernah buat Ummi menangis atau mana-mana perempuan pun menangis.
Aril kena jadi lelaki yang budiman. Ingat
tu..”
Itulah pesan Abi yang
disimpan kemas oleh Aril.
Tangisan Erin siang tadi
benar-benar membuat Aril rasa bersalah. Dia rasa bersalah pada Erin. Dia rasa
bersalah pada Abi.
Sudah lama Aril menyimpan
perasaannya pada Erin, anak Tan Sri Hashim Azmi, pedagang antarabangsa yang
tersenarai antara 100 yang terkaya di Malaysia itu. Hatinya rasa sakit setiap
kali Hafiz dan Akim mengusik dan mengacau Erin. Hanya kerana Erin pendiam dan
jarang melawan, sahabat-sahabatnya semakin galak mengganggu. Aril ingin
membantah tapi bimbang perasaannya pada Erin diketahui Hafiz dan Akim. Aril
bimbang ditertawakan. Lebih-lebih 3A pernah berjanji untuk tidak jatuh cinta.
Tidak buat masa ini. Ini adalah masa untuk bermain-main dengan hati perempuan.
Seperti kata Akim yang terkenal dengan kasanovanya,“Test Power”. Aril bimbang,
persahabatan 3A goyah jika perasaan hatinya dibongkar.
Aril tahu dia perlu
meluahkan rasa hatinya kepada seseorang tanpa menjejaskan egonya. Namun bila
disuarakan rasa hatinya kepada Ummi, segera Ummi membantah, padahal Ummi belum pernah
bertemu dengan Erin. Aril tak faham kenapa Ummi tidak bersetuju dengan
pilihannya. Bukannya Aril ingin kahwin sekarang. Aril hanya meluahkan perasaan.
Tapi kenapa Ummi beriya-iya membantah? Aril bingung. Bila didesak minta
penjelasan, Umminya akan menarik muka sedih dan Aril telah berjanji dengan Abi
untuk tidak membuat Ummi menangis.
Demi Ummi, demi 3A, Aril
harus korbankan perasaannya. Tapi adakah Aril mampu menahan apa yang terbuku di
hatinya lebih lama lagi? Perlahan Aril meraup wajahnya, “Tuhan, tolong aku…”
rintihnya. Segera, dia ke bilik air dan mengambil wuduk.
No comments:
Post a Comment