DERITA MERINDU
Aril membelek album lama di
rumahnya. Diapun tidak pasti apa yang dicarinya, tapi dia yakin pernah lihat
wajah itu sebelum ini. Tapi di mana..?
“Haa ni dia”. Segera dia membandingkan
gambar di dalam album itu dengan gambar yang dijumpai dalam buku Erin yang
dipinjamnya dalam perjalanan pulang tadi. Persis sekali.
Kenangan petang tadi
kembali ke ruang fikirannya. Banyak yang dibualkan dengan Erin dalam perjalanan
menghantar gadis cantik itu pulang ke banglo besar milik Tan Sri Hashim Azmi.
“Kenapa driver tak datang
jemput?” tanya Aril membuka perbualan.
“Dah seminggu Pakcik Baha
bercuti. Ada hal keluarga. Kenapa? Erin menyusahkan Aril ke? Sorry lah..”
“Ehhh…bukan macam tu. Aril
tak kesahlah. Lagipun Aril memang suka Erin…….” sengaja ayatnya dibiarkan
tergantung.
“Hah?” terlopong mulut Erin
sedikit terperanjat. Wajahnya segera merona.
“Aril memang suka Erin
susahkan Aril,” jawab Aril sambil ketawa cuba menutup rahsia sebenarnya
hatinya.
Erin ikut ketawa. Aril
memang selalu menyenangkan.
“Bukan Erin ada kakak ke?
Tak pernah nampak pun. Dia tak duduk sini e?” tanya Aril cuba mengenali Erin
lebih dekat.
Tiba-tiba wajah manis itu
bertukar mendung. Aril serba salah.
“Sorry, Aril salah cakap
yer?”
Erin
menggelengkan kepalanya. Entah kenapa, mulutnya tiba-tiba laju bercerita
tentang Kak Isma, kakak kesayangannya kepada Aril. Aril terdiam, hatinya
berkeluh penuh simpati. Tak sangka gadis manis yang disangkakan mempunyai
segala-galanya juga mempunyai kisah sedih dalam hidupnya.
“Aril buat apa tu?”
terjahan Ummi membuat Aril terperanjat.
“Hah..tak ada apa. Saja jer
Aril tengok album lama ni.”
Ummi tersenyum, perasan ada
sesuatu yang tak kena dalam nada suara itu. Segera dia mengambil tempatnya di
sebelah Aril. Perlahan tangannya menggosok kepala anak kesayangannya itu, “Ada
apa ni?”
Aril menarik nafasnya. Dia
selalu kalah dengan pujukan Ummi dan betul kata Hafiz, apapun yang
difikirkannya mesti terpamer di wajahnya. Tak boleh nak tipu langsung, duhh!
Gambar milik Erin dihulurkan kepada Umminya. “Kak Isma… kakak Erin.”
Tiada riak terperanjat di
wajah Ummi, tenang Ummi berbicara, “Ummi tahu sayang. Sebab itu Ummi tak sokong
apa yang Aril rasa pada Erin. Bukan Ummi membantah tapi Ummi tak nak perasaan
Aril akan menyusahkan Erin. Sama seperti apa yang berlaku pada Isma. Keluarga
kita tak setanding keluarga mereka, Aril”
<<<<<<>>>>>>>>>
Malam itu hujan lebat.
Ketukan di pintu berbunyi bertalu-talu. Terkocoh-kocoh Ummi mengejutkan Aril
dari tidur. Bimbang ada sesuatu yang tidak elok di luar. Berhati-hati, Aril
membuka pintu rumahnya. Di depan pintu tercacak Abang Zul dan seorang perempuan
cantik. Kedua-duanya kuyup ditimpa hujan.
“Ya Allah Zul, apa kena
kamu ni. Cepat masuk, bawak kawan kamu tu,” berkerut muka Ummi menahan risau.
Ummi membawa Isma ke biliknya
dan Zul menumpang di bilik Aril.
“Siapa tu bang?” tanya Aril
yang tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.
“Itu Kak Isma, isteri
abang.”
“Hah? Bila abang kawin? Tak
jemput kitaorang pun.”
“Nantilah abang cerita.
Abang perlu berbincang dengan Ummi.”
Abang Zul adalah anak Mak
Usu Khatijah, adik bongsu arwah Abi. Keluarga Abang Zul tinggal di Pendang,
Kedah. Bila Abang Zul menyambung pelajarannya di UKM, banyak waktu cutinya
dihabiskan di rumah Aril, kerana itu hubungan Abang Zul dengan Ummi dan Aril
rapat.
“Zul, mari minum,” jemput
Ummi dari luar bilik.
Zul dan Aril segera keluar
ke ruang tamu. Aril nampak mata Kak Isma merah.
“Aril, pergi masuk tidur,
ini hal orang dewasa,” perintah Ummi.
“Ummi…….” Aril ingin
membantah tetapi bila melihat Ummi menjegilkan matanya, segera dia kembali ke
biliknya.
<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>
Ummi mula membuka cerita
tentang Zul dan Isma.
Hubungan Zul dan Isma
ditentang hebat oleh papa Isma. Bagi Tan Sri Hashim, anak petani seperti Abang
Zul tak layak untuk membahagiakan anaknya. Apatah lagi pada masa itu, Abang Zul
masih lagi di tahun akhir pengajiannya, apalah yang dia ada untuk memberi makan
anak dara orang.
Sebenarnya Isma akan
ditunangkan dengan Dato’ Farid Ridzuan, duda pertengahan usia yang baru
kematian isteri. Kerana tidak mahu ditunangkan, Isma lari bersama Zul dan berkahwin
di sempadan Siam. Bila dah berkahwin, Isma dan Zul balik semula ke sini untuk
meminta restu keluarganya. Malangnya mereka dihalau dan Isma terus dibuang
keluarga.
“Ingatkan orang dulu-dulu
je pentingkan darjat,” keluh Aril.
Umminya tersenyum sambil merangkul
bahu Aril, “Dulu dan sekarang tiada bezanya sayang. Yang berbeza hanya cara
kita melihatnya. Zul dan Isma percaya pada cinta mereka dan Alhamdulilah,
mereka bahagia. Tapi kerana mengejar cinta, Isma terpaksa korbankan keluarga
yang menyayanginya. Aril rasa Kak Isma 100% bahagia?”
Perlahan Aril menggeleng.
“Perasaan yang ada dalam
hati Aril tu sangat indah. Ummi tahu. Ummipun pernah merasainya dan Ummi masih
merasainya walaupun Abi dah tak ada, kerana Ummi ada Aril, hadiah yang tak
ternilai dari cinta Ummi dan Abi. Ya, cinta itu sangat indah sayang. Tapi dalam
mengejar cinta kenapa harus ada orang yang terluka? Bukankah cinta itu
sepatutnya membahagiakan semua orang?”
Aril diam. Dadanya sebak.
Aril memandang Ummi, faham apa maksud tersirat yang cuba Ummi sampaikan. Segera
tangan Ummi digapai dan dicium lembut, “Aril akan jadi lelaki yang budiman
Ummi, sepertimana yang Abi pesan.”
Ummi tersenyum. Matanya
berkaca. Terima kasih Tuhan kerana menganugerahkan anak yang soleh ini kepadaku.
<<<<<<<<<>>>>>>>>>
Di biliknya Aril kembali
berfikir. Dia tahu dia perlu lakukan sesuatu untuk Erin.
No comments:
Post a Comment