Wednesday, 3 July 2013

NOKTAH CINTA (PT. 5)

KANTOI

3A rancak berborak tanpa menghiraukan Ustazah Linda Jasmine yang sedang mengajar di hadapan kelas. Bergilir-gilir komik manga yang dibawa oleh Aril bertukar tangan di antara mereka. Sesekali mereka ketawa kecil. 

“Pang!!!!” Ustazah Linda memukul meja Hafiz dengan rotannya. Komik manga yang baru dibeli oleh Aril semalam dirampas dari tangan Hafiz. 

“Kalau kamu bertiga rasa dah cukup pandai, tak nak dengar saya mengajar, tak payah datang sekolah! Berdiri di luar kelas sekarang!!” jerit Ustazah Linda sambil menjegilkan matanya. Merah padam mukanya yang putih melepak itu menahan geram dengan kenakalan 3A yang memang tak pernah serik melakukan kesalahan yang sama.

Hafiz, Aril dan Akim perlahan-lahan bangun dari tempat duduk mereka dan berdiri di luar kelas. Puas hati Ustazah Linda dapat melihat muka monyok ketiga-tiga pelajarnya itu. Dia kemudian meneruskan pelajaran pagi itu.

“Koranglah!! Aku dah cakap tunggu rehat. Dah manga aku kena rampas,” getus Aril geram.

“Ustazah ni tengah naik bendara merah kot, lain macam jer dia meroyan hari ni,” bisik Akim yang berdiri di tengah-tengah di antara Hafiz dan Aril disambut ketawa mengekek rakan-rakannya.

“Hafiz, Rianalah..!!” separuh terjerit suara Aril apabila melihat susuk Riana yang baru keluar dari kelas 6 Atas Hanafi – selang 3 kelas dari 6 Atas Syafiee.

“Woii cepat, cepat cover aku!!” kata Hafiz panik. Cepat-cepat dia mengambil tempat di tengah-tengah di antara Aril dan Akim, dengan harapan susuk Akim yang tinggi dapat menyembunyikannya dari pandangan Riana. 

Semua guru di Temenggung Aziz sudah lali dengan kenakalan 3A. Sudah biasa sangat mereka melihat 3A dihukum samada di dalam kelas, di padang sekolah atau semasa perhimpunan hari Isnin. 3A juga jarang mengambil iktibar, sebaliknya menjadikan hukuman-hukuman yang diterima sebagai bahan lawak mereka bertiga. Tapi tidak kali ini! Hafiz tidak mahu Riana melihatnya dalam keadaan ini. Entah kenapa dia berasa perlu menjaga reputasinya di mata Riana.

Aril dan Akim tidak dapat menahan ketawa melihat kepanikan Hafiz walaupun agak pelik bagi mereka sebenarnya.

“Ya Allah!! Kamu ni memang tak pernah insafkan?? Kat dalam kamu buat bising, mengganggu kawan-kawan kamu sedang belajar. Di suruh berdiri di luar pun, masih tak boleh diam??” nyaring suara Ustazah Linda menyebabkan Cikgu Riana menoleh kebelakang dan terpandang mereka bertiga. Muka Riana serius dan sedikit berkerut. Hafiz merasa sangat tidak selesa.

3A menundukkan kepala mereka, sedikit segan! Bila Ustazah Linda masuk semula ke dalam kelas, perlahan Hafiz bersuara, “Adoiii…kantoi!!” sambil menepuk dahinya. Akim dan Aril menutup mulut dan bahu mereka terhenjut-henjut menahan gelak.

RIANA

Lagu “Noktah Cinta” berlagu merdu di telefon bimbit Riana. Segera Riana menyelesaikan doanya yang panjang seusai solat isyak. Sekilas dia melihat nama yang muncul di skrin telefonnya sebelum dia menekan butang “answer”.

“Assalamualaikum Dr. Syafi”

“Wa’alaikumussalam. Lamanya saya tak dengar berita awak. Riana apa khabar?” gembira Dr. Syafi bila mendengar suara Riana yang ceria.

“Alhamdulilah, saya sihat. Dr. macam mana pulak?” jawab Riana mesra.

“Hahaha, saya ok tapi saya sentiasa risaukan awak di sana. Awak gembira dengan tempat baru?” tanya Dr. Syafi lagi. 

“Happy sangat!. Tempat baru yang permai, sekolah yang best dan anak-anak murid yang happening sangat. Memang betul cakap Dr. saya memang memerlukan “environment” baru,” panjang Riana bercerita.

Di hujung talian, Dr. Syafi menarik nafas lega, “Baguslah. Lega saya mendengarnya”.

Agak lama juga mereka berbual sebelum Dr. Syafi mengakhiri perbualan.

“Awak kena terus buat rawatan susulan Riana dan tak boleh skip makan ubat”, pesan Dr. Syafi berkali-kali.
“Ye lah Dr. Saya ingat tu. Insya Allah!” Riana meyakinkan Dr. Syafi.

Riana menghela nafas dengan panjang. Perlahan dia mengurut dadanya. Panggilan Dr. Syafi menyebabkan Riana terkenang kembali kenangan lama yang ingin dilupakan. “Idham Haikal,” tanpa sengaja, nama itu terpacul dari mulut Riana dan satu-persatu helaian memori itu terpapar di ruang matanya.

<> 

Majlis perkahwinannya tinggal seminggu lagi. Semua persiapan sudah hampir selesai. Emak dan Ayah beriya-iya mahukan majlis perkahwinan ini dijalankan secara besar-besaran walaupun Riana lebih senang jika bersederhana sahaja. Tapi menolak keinginan Emak dan Ayah pasti akan mengecilkan hati mereka. Lagipun Idham anak tunggal mereka. 

Muka Riana berseri-seri. Hari ini tunangannya akan pulang dari New York. Sudah enam tahun Riana tidak berjumpa Idham Haikal, hanya e-mail menjadi penghubung kasih mereka walaupun dua tahun kebelakangan ini, tunangannya agak sibuk dengan kerja dan pengajian PhD.nya hingga jarang mengutus berita.

Riana tidak sabar untuk menatap wajah Idham yang terkini secara “live”. Riana tersenyum sendirian. Dia tak dapat menyembunyikan rasa terujanya. Kata Emak, tak elok bertemu tunangan di minggu terakhir sebelum menikah tapi Riana tak mahu mempercayainya.

“Kolot lah Emak ni, lagipun Abang Idham tetap akan balik rumah ni jugak, takkan nak suruh dia tidur Hotel. Riana rindu Abang la Mak” ujar Riana manja.

“Ye lah..ye lah,” Emak mengalah dan ketawa melihat anak perempuan kesayangannya yang tidak malu langsung mempamerkan perasaan rindu dan terujanya. Tapi Riana akur arahan Emak supaya tidak menjemput Idham di lapangan terbang.

“Tunggu kat rumah jer…tak manis bakal pengantin keluar jemput tunangnya sendiri,” kata Emak.

Dibiliknya, Riana cuba menyiapkan baki bunga telur yang perlu diselesaikan tapi satu pun tak berjaya.  Dadanya berdebar-debar, fikirannya tak keruan. Berkali-kali dia beraksi di hadapan cermin berangan tentang dialog pertama yang akan diucapkan kepada Idham bila bertemu nanti.

Deruan enjin kereta di hadapan rumah menyedarkan Riana dari anganannya. Segera dia berlari keluar menuju ke pintu rumah. Bibirnya menguntum senyuman paling manis, matanya mula berkaca menahan kerinduan sekian lama. “Abang Idham sudah pulang,” desis hatinya gembira.

Emak sudah keluar dari kereta tapi kenapa mata Emak merah? Ayah tidak mematikan enjin kereta dan kepalanya ditelengkupkan ke stering. Riana kehairanan. Apa yang telah berlaku? Pintu kereta dibuka dari tempat penumpang dan Idham keluar dari kereta. Mata Riana membulat, senyumannya makin lebar, “ohhh…dia masih kacak seperti dulu.” 

Belum sempat Riana meluru ke arah Idham, dari pintu yang sama keluar seorang wanita cantik berbangsa Inggeris. Wanita itu segera memeluk lengan Idham. Jantung Riana berdegup kencang. Sandiwara apakah ini? Idham dan wanita cantik itu menghampiri Riana.

Idham menghulurkan tangannya kepada Riana. Dalam terpinga Riana menyambut dan mengucup tangan lelaki yang dirinduinya itu. Idham tersenyum sambil menggosok-gosok kepala Riana seperti yang selalu dilakukannya waktu kecil. 

“Makin cantik adik abang ni. Kenalkan ini Olivia, isteri abang,” bersahaja Idham bersuara tanpa ada sedikitpun rasa bersalah.

Mulut Riana terlopong. Huluran tangan Olivia tidak bersambut. Pandangannya tiba-tiba bertukar kabur, kepalanya terasa pusing dan belum sempat dia berbuat apa-apa, Riana sudah terjelepuk di halaman rumah. Sayup, Riana mendengar jeritan Emak, “Rianaaaaaaaaaaaaaa!!!!”  

No comments:

Post a Comment