Sunday, 7 July 2013

NOKTAH CINTA (PT. 7)



PESONA KASANOVA

Di bawah pokok, spot biasa 3A, Aisyah sendirian melayan perasaannya. Dia masih belum bisa menyesuaikan diri di sekolah itu walaupun Hafiz sentiasa adanya untuknya. Telinganya disumbat dengan MP3 nyanyian Yuna – “Yang Sebenarnya”. Tanpa sedar, suaranya agak kuat mengalun lagu mengikut nyanyian Yuna di telinganya.

Akim yang bersendirian ke port biasanya waktu rehat agak terkejut melihat Aisyah. Agak jarang ada pelajar lain mengganggu port 3A itu, tapi mungkin dia boleh memberi pengecualian kepada Aisyah kerana dia adik Hafiz. Akim menghampiri dan terkesima seketika mendengar kemerduan suara Aisyah melagukan Yang Sebenarnya. Perlahan, Akim duduk di sebelah Aisyah dan ikut menyanyi bersama.

Perasan seperti ada orang disebelahnya, Aisyah menoleh dan tidak dapat menyembunyi aksi terperanjatnya. Akim ketawa besar melihat muka Aisyah yang terlopong seperti orang nampak hantu. “Sorry…” kata Akim dalam tawanya.

Aisyah mengurut dadanya, “Akim ni, terperanjat Aisyah,” pantas tangannya mencubit lengan Akim. Akim tidak cuba mengelak dan meneruskan ketawanya.

“Sedap suara Aisyah,” puji Akim.

Aisyah mencebik, “Alah, tak sedap mana pun.”

“Sungguh!” Akim menyakinkan Aisyah, “mesti Akim tak boleh tido malam ni, teringat suara Aisyah.”

“Akim ni….” rengek Aisyah manja, malu bila diusik begitu oleh Akim. 

Berderau darah Hafiz apabila melihat aksi mesra Akim dan Aisyah dari kejauhan. Sedari tadi dia mencari Akim untuk mengajaknya berjumpa dengan Cikgu Aris untuk berbincang mengenai latihan futsal mereka. 

“Patutlah tak jumpa, tengah jual minyak kat sini rupanya,” Hafiz merenggus geram.

Laju langkah Hafiz menghampiri mereka, “Aisyah, masa rehat dah nak habis, gi masuk kelas,” kelat muka Hafiz mengarahkan adiknya.

Aisyah agak hairan dengan reaksi Hafiz, namun dia bingkas bangun menuruti arahan abangnya, “Ok Akim, jumpa lagi!”

Akim turut bangun dan menepuk bahu Hafiz, “eh, kau dah jumpa Cikgu Aris?”

Hafiz tidak menjawab soalan Akim sebalik memandang Akim dengan tajam, “kau boleh mainkan perasaan mana-mana perempuanpun kat sekolah ini tapi bukan adik aku. Kau ingat tu!!” Garang suara Hafiz memberi amaran.

Belum sempat Akim membalas, Hafiz segera berlalu meninggalkan rakannya yang masih terkulat-kulat mencari jawapan yang sesuai. Akim menelan air liur. Tidak pernah dia melihat Hafiz begitu marah.

AKIM

Akim dibesarkan dalam keluarga sederhana yang cukup bahagia. Kedua-dua ibubapanya menyandang profession perguruan tapi tidak mengajar di Temenggung Aziz. Akim anak tengah dari lima beradik. Memang di rumah, mereka adik-beradik diasuh untuk sentiasa mengekspresikan perasaan masing-masing. Sebab itu Akim sangat “vocal” dan hebat bila berhujah. Minatnya yang utama adalah gitar dan note muzik. Memang cita-citanya ingin menjadi penyanyi. 

Akim berbaring di katil bujangnya. Entah kenapa malam itu terasa sangat panas. Wajah manja Aisyah dan muka bengis Hafiz silih berganti muncul di benaknya. “Ahhhhh!!!!” getusnya sambil bangun mencapai gitar tua di tepi katilnya. Perlahan-lahan tali-tali halus itu dipetik dan fikirannya pantas menembusi serombong masa ke dua tahun yang lepas.
<> 

Seusai kelas tuisyen malam itu, hujan turun dengan lebatnya. “Alamak…hujan pulak! Macam mana nak balik ni,” getus Akim. Dia terpaksa meredah hujan untuk ke tempat dia meletakkan motorsikalnya. Sedang dia berkira-kira samada untuk menunggu atau meredah sahaja hujan lebat itu, tiba-tiba satu suara serak-serak basah menyapanya,”nak tumpang?” Akim menoleh dan melihat Stacy tersenyum manis sambil menunjukkan payung besarnya. Itulah detik pertama perkenalan mereka dan berterusan hingga membuahkan bibit-bibit cinta.

Akim dan Stacy sama-sama belajar di pusat tuisyen itu, walau bagaimanapun mereka bukan satu sekolah. Itu lah kali pertama Akim merasa manisnya mencintai dan dicintai. Stacy adalah sumber inspirasinya. Bersama-sama, Akim dan Stacy memasang cita-cita untuk berjaya cemerlang di dalam SPM dan menyambung pelajaran ke luar negara.

Malang cinta yang disemai, putus di tengah jalan. Dua bulan sebelum SPM bermula, Stacy memutuskan hubungan mereka.

“Tapi kenapa??” tanya Akim tak puas hati.

“Buka mata Akim, tengoklah betapa berbezanya kita, keturunan kita, agama kita,” kata Stacy tegas.

“Kenapa baru sekarang semua halangan itu diungkit Stacy?? Kenapa tidak dulu, sebelum kita berjanji setia?” desak Akim lagi.

Stacy terdiam seketika sebelum bersuara, “Apapun yang Akim cakap, my decision is final.”

Sejak itulah Akim berubah menjadi kasanova. Dia tahu wajah tampannya mampu menggoda siapa sahaja yang diingini. Dia hanya ingin berseronok tapi dia tidak pernah menjanjikan cinta.

No comments:

Post a Comment