Thursday, 19 June 2014

NOKTAH CINTA (PT.21)

KASIHNYA TIADA SYARAT

Hafiz membuka matanya perlahan. Semuanya kelihatan putih. Aku di mana? Cikgu… Cikgu Riana mana? Apa yang aku dah buat…? Hafiz cuba mengingati semua.

“Sayang…” lembut suara itu di telinga, tetapi bukan suara Riana. Tangannya terasa hangat digenggam tangan yang halus lembut. Hafiz memandang ke arah suara itu.

“Syukurlah Hafiz dah sedar….Ini Mummy sayang, Hafiz ingat Mummy kan??” Airmata Mummy bercucuran. Sudah dua hari dia di tepi katil itu menemani Hafiz. Sekelip pun dia tidak mahu melepaskan Hafiz dari pandangannya.

“Mummy…” lemah suara Hafiz, titis jernih mengalir perlahan membasahi pipinya.

“Mummy…” ulangnya lagi, seolah-olah nama itu bisa merawat kerinduannya selama ini.

Mummy segera memeluk Hafiz erat, “Maafkan Mummy sayang, maafkan Mummy….”

Dan kedua beranak itu terus menangis sambil berpelukan.

Daddy dan Aisyah yang memerhatikan dari pintu kaca di luar juga tidak dapat menahan tangis mereka.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Dua belas jam setelah sedar dari pembedahan, wajah Hafiz mula merona kembali. Kawan-kawan baiknya datang melawatnya petang itu. Mereka berbual-bual kosong. Hafiz hairan kerana tiada seorangpun bercerita tentang Riana kepadanya. Adakah pengakuan cintanya membuat Riana benci padanya?

“Cikgu Riana tak datang ke?”

Akim dan Aril saling berpandangan sebelum memandang Aisyah, Mummy dan Daddy yang berdiri berdekatan, meminta bantuan.

“Ehem..Cikgu Riana datang masa Hafiz belum sedar,” jawab Daddy.

“Cikgu Riana dah tahu Hafiz dah sedar?”

Sebelum Daddy menjawab lagi, Mummy segera menahan dan menggelengkan kepala, “Jangan berbohong lagi…cukuplah! Hafiz perlu tahu apa yang sebenarnya berlaku.”

Hafiz terpinga-pinga. Hatinya berdebar-debar. “Kenapa dengan Cikgu Riana?”

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>> 

Di sebalik cermin kaca itu, air mata Hafiz berguguran. Hatinya remuk melihat wanita yang dicintainya itu terbaring di katil putih, tidak sedarkan diri, dengan wayar berselirat di tubuhnya.

Hafiz ingin masuk, tetapi apabila melihat lelaki muda itu di sisi Riana, dia membatalkan niatnya.

Mummy yang tidak pernah berenggang dengan Hafiz sepanjang Hafiz dirawat, memeluk bahu Hafiz yang terhenjut-henjut. Tanpa diberitahu, dia faham gelora apa yang mengganggu jiwa anak bujangnya itu.

“Kalau Hafiz tak nak masuk, jom kita balik ke bilik ye… Hafiz pun bukannya kuat lagi untuk berdiri lama-lama,” lembut Mummy memujuk sambil memimpin Hafiz.

“Mummy, kita pergi jumpa Doktor yang rawat Cikgu.”

Mummy kehairanan tetapi permintaan Hafiz diturutinya.

<<<<<<<<<>>>>>>>> 

Dr. Haidar tidak bersetuju tetapi Dr. Syafi tetap dengan pendiriannya.

“Syafi, he’s only 19. Beside dia baru lepas operation.”

“We have studied all the consequences, right? He is young and from the record, beside the accident, his body is fit and healthy. God, Haidar, berapa lama lagi kita nak tunggu penderma yang sesuai. Riana cannot wait that long.”

Haidar terdiam, hatinya masih ragu, bimbang ada komplikasi lain kepada penderma.

<<<<<<<<<<>>>>>>> 

“Daddy tak setuju!! Ini bukan perkara main-main Hafiz. Derma darah dengan derma hati tak sama tahu? And look at you, nak berdiripun kena dibantu. What the hell are thinking?” Daddy bersuara tegas.

“Apa Cikgu Riana beri pada Hafiz lebih dari hanya darah Daddy. Cikgu Riana bagi Hafiz nyawa dia….”

Daddy menahan airmata, “Tidak!! Daddy tetap tak setuju.”

Hafiz memandang Mummynya yang membisu dari tadi. Mummy dan Aisyah tidak berhenti menangis sejak Hafiz menandatangani persetujuan untuk mendermakan hatinya kepada Cikgu Riana.

“Mummy faham kan…..? Mummy tahu kan kenapa Hafiz perlu lakukan semua ni? Mummy faham kan…bila kita perlu berkorban untuk orang yang kita sayang? Mummy….??” Hafiz merayu.

Mummy memeluk Hafiz erat dengan tangisan yang makin kuat, “Ya sayang…Mummy faham..” Aisyah yang sedari tadi hanya memerhatikan turut memeluk Abang dan Mummynya sambil menangis tersedu-sedu.

Daddy terduduk ke lantai dan menangis semahu-mahunya.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>> 

Esok pagi pembedahan akan dijalankan. Hafiz sudah mula berpuasa malam itu. Daddy, Mummy, Aisyah, Akim dan Aril semuanya berkampung di hospital. Seusai solat magrib, mereka sama-sama membaca yasin memohon kemudahan dan kejayaan pembedahan yang akan dijalankan esok.

Tiada langsung riak takut atau bimbang di wajah Hafiz. Sesungguhnya dia sangat bersedia untuk menghadapi hari esok.

“Korang, janganlah buat muka monyok tu..” kata Hafiz kepada kawan-kawan akrabnya.
Akim dan Aril tersenyum kelat.

“Koranglah kawan-kawan baik aku dunia akhirat. Aku minta maaf kalau selama kita berkawan, aku selalu sakitkan hati korang. Apa yang terambil, termakan, terpakai, korang tolong halalkan yer…”

Mata kedua-dua sahabat itu mula berkaca, tak mampu mereka membalas kata-kata Hafiz.

“Akim, kau kena jaga Aisyah tau. Dia tu asyik menangis jer… Sejak kau ada ni, pujukan aku dah tak jalan dah. Kalau aku tahu kau sakitkan hati Aisyah, siap kau. Kalau aku matipun, aku akan jadi hantu buru engkau,” Hafiz berlawak.

“Hafiz, kau jangan cakap yang bukan-bukan boleh tak?” marah Akim. Dadanya terasa berat menahan sebak.

Hafiz ketawa kecil, “Sejak bila korang tak pandai bergurau ni?”

“Assalamualaikum,” suara lelaki mengganggu perbualan tiga sahabat itu.

Hafiz mengenali lelaki itu. Lelaki yang sama berada di sisi katil Riana. Lelaki yang sama juga ditemuinya di rumah Riana. Di belakang lelaki itu, ada pasangan yang lebih berusia.
Segera salam itu dijawab.

“Maaflah mengganggu. Nama saya Zakwan..errr..tunang Riana. Ini Emak dan Ayah Riana,” tenang Zakwan memperkenalkan diri. Hafiz tersenyum menyambut huluran tangan Zakwan dan ibubapa Riana dan memperkenalkan ahli keluarga dan kawan-kawannya.

“Terima kasih nak, makcik tak tahu macam mana nak balas budi Hafiz,” kata emak Riana dengan air mata yang berlinangan.

“Makcik, jangan lah macam tu. Hafiz tak mintak apa-apa. Yang penting Cikgu sembuh.”

Agak lama juga Zakwan dan ibubapa Riana di bilik Hafiz sebelum meminta diri
.
“Forever, I will be indebted to you, young man,” kata Zakwan.

“Abang, jaga cikgu saya baik-baik ya…”


Zakwan memandang mata Hafiz yang berkaca. Dia mengangguk dan membalas, “Insya Allah, sebaik awak menjaga dia.”

No comments:

Post a Comment