Thursday, 19 June 2014

NOKTAH CINTA (PT. 19)

TANGANNYA BERTEPUK SEBELAH?

Riana sedang bersiap-siap bila ada suara memberi salam dari depan rumah sewanya. Dia menjenguk dari tingkat atas rumah. Hafiz tersengeh-sengeh di bawah bersama basikal dan satu bungkusan besar.

Hari itu adalah hari terakhir peperiksaan. Riana sedang bersiap-siap untuk berjumpa pelajar-pelajarnya seperti yang dijanjikan. Zakwan akan datang mengambilnya di rumah. Selepas istikharah malam itu, hati Riana terbuka untuk menerima pinangan Zakwan. Emak dan Ayah sangat gembira dengan keputusan Riana. Akhirnya baru Riana tahu Zakwan telah lama menaruh hati padanya, tetapi perasaannya dipendamkan kerana dia tahu dia tidak setanding Idham.

Walaupun begitu, Riana meminta tempoh masa untuk mengenali Zakwan sebelum diijabkabulkan. Sebab itulah hari ini, dia meminta Zakwan menemaninya. Dia ingin memperkenalkan Zakwan dengan anak-anak muridnya dan yang penting dia ingin Zakwan mengenali Hafiz. Riana ingin Zakwan mengenali orang-orang yang penting di dalam hidupnya.

Berkerut dahi Riana, “Kenapa Hafiz datang pulak, kan aku yang dah janji nak ke sekolah jumpa dia di sana?” hatinya berdetik sendiri. Riana segera berlari turun dan membuka pintu.
Senyumannya melebar.

“Hafiz…..”

“Cikgu… wahhh, cantiknya.”

Riana ketawa sambil mempelawa Hafiz duduk di kerusi besi yang diletakkan di porch rumahnya.

“Kenapa Hafiz datang, Cikgu kan nak ke sana?”

“Nanti kat sana, ramai orang, saya mesti tak ada peluang nak bagitahu Cikgu.”

Riana sedikit kehairanan, “Hafiz nak bagitahu apa?”

Hafiz tampak sedikit gugup, “Ni, saya buat untuk Cikgu,” sambil menghulurkan bungkusan yang dibawanya.

“Apa ni?” wajah Riana penuh teruja, segera dia mengoyak bungkusan itu dan matanya bersinar-sinar bila melihat isi bungkusan itu.

“Hafiz buat ni untuk Cikgu?” mengagumi apa yang ada dihadapannya – lukisan tangan potret dirinya yang dibingkai cantik.

Hafiz mengganguk.

“Ya Allah Hafiz…cantiknya. Maksud Cikgu lukisan ni, cantik sangat. Terima kasih. Ya Allah, Hafiz, Cikgu tak tahu nak cakap apa. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Riana dengan perasaan cukup terharu.

Hafiz tidak menjawab, hanya matanya merenung Riana.

“Kenapa pandang Cikgu macam tu?”

Hafiz tidak dapat menyembunyikan perasaan gugupnya, tetapi dia tahu dia mesti memberitahu Riana perasaan hatinya.

“Cikgu, saya…saya sukakan Cikgu.”

“Hahhhh…??”

“Saya cintakan Cikgu!”

Hampir sahaja Riana terjatuh dari kerusinya kerana terperanjat mendengar pengakuan Hafiz.

“Hafiz tahu tak apa yang Hafiz cakap ni?”

“Hafiz tahu Cikgu dan Hafiz tahu Cikgu pun merasa yang sama.”

Airmata mula bergenang di mata Riana. Sungguh dia tidak percaya apa yang didengarinya. Riana menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tidak Hafiz, perasaan Hafiz tu tak benar. Itu hanya ilusi Hafiz. Hafiz tak cintakan Cikgu. Hafiz cuma perlukan seseorang untuk Hafiz luahkan perasaan. Tapi itu bukan cinta.”

Muka Hafiz bertukar merah.

“Cikgu bohong! Cikgu cakap Cikgu sayang Hafiz”

“Hafiz, Cikgu tak bohong… Memang Cikgu sayang Hafiz tapi bukan seperti itu...”

Hafiz menggeleng-gelengkan kepalanya tidak percaya. Dia mula rasa ingin menangis.

“Cikgu bohong…Cikgu malu nak mengaku kan??”

“Hafiz…”

Belum sempat Riana menghabiskan ayatnya, kereta Zakwan muncul di hadapan pagar rumah. Serentak Riana dan Hafiz memandang Zakwan yang keluar dari kereta dengan sejambak mawar ditangannya.

Hafiz memandang Riana. Matanya berkaca-kaca. Bingkas dia berlari mencapai basikalnya dan mengayuh laju memintas Zakwan yang baru menuju ke arah mereka berdua. Secepat itu juga Riana berlari mengejar Hafiz dan melupakan kehadiran Zakwan.

“Hafizzz!!! Hafizzz!!”

Pandangan Hafiz berbalam-balam. Airmata mengaburi penglihatannya. Dia terus mengayuh laju tanpa memandang sekeliling. Di hujung simpang, sebuah kereta membelok laju. Bunyi hon yang nyaring dan dentuman yang kuat tiba-tiba menggangu ketenangan petang itu.

Riana yang sedang mengejar Hafiz, terhenti, jantungnya berhenti…”HAFIZZZZZZZZZZZZ!!!”

NOKTAH CINTA (PT. 18)

MERISIK BAHAGIA

Sudah tiga hari Riana berada di kampung. Di saat-saat akhir, Riana terpaksa memohon dikecualikan dari menjaga peperiksaan tahun ini kerana Emak beriya-iya menyuruh dia pulang ke kampung.

“Apa kata Doktor, Riana?” tanya Emak semasa mereka sama-sama duduk di serambi rumah sambil minum petang.

“Macam tu lah jugak,” jawab Riana pendek.

“Tak ada cara lain?”

Riana menggeleng.

 “Alah Mak…jangan risau lah, teknologi kan dah makin maju sekarang ni. Treatment yang lepas tu macam sesuai jer dengan Riana. Insya Allah ada cara nak sembuhkan sakit Riana ni. Dan Riana tahu Tuhan akan bagi Riana hidup banyak tahun lagi untuk jaga Mak ngan Ayah,” Riana cuba menceriakan Emak.

“Ayah takut kitaorang yang tak hidup lama untuk jaga kamu Riana,” sampuk Ayah, tiba-tiba muncul entah dari mana.

“Awak dah bagitau Riana?” tanya Ayah pada Emak.

Emak menggelengkan kepala. Tiba-tiba dada Riana berdebar, “Bagitau apa Mak, Ayah?”

Perlahan Emak menarik nafasnya, “Riana masih ingat Zakwan?”

Riana tersenyum menampakkan lesung pipit manisnya, “Mesti lah ingat Mak, kenapa? Dia dah nak kahwin e?”

Otaknya segera mengingati wajah lelaki berkulit cerah bernama Amir Zakwan yang sangat dibencinya semasa kecil hingga remaja, kawan sepermainannya yang juga sepupu Idham. Zakwan sangat suka mengusiknya. Kadang-kadang usikannya sangat melampau sehingga menyebabkan Riana menangis. Masa itu, Idham lah yang selalu memujuknya. Zakwan dan Idham memang berbeza. Idham lemah lembut penuh kasih sayang, Zakwan sangat kasar, cakapnya pun tak pernah bertapis. Sejak mereka menginjak dewasa, Riana sudah jarang bertemu Zakwan. Kalau berjumpapun, mesti tak tahu nak cakap apa.

“Pak Uteh dengan Mak Uteh ada datang dua minggu lepas, merisik Riana untuk Zakwan.”

Senyuman di wajah Riana terhenti. Amir Zakwan merisik aku? Uhh?? Seingat aku, dulu, dia dah ada girlfriend. Bising Mak Uteh bercerita tentang teman wanita Zakwan semasa bertandang ke rumah Emak waktu tu. Tapi itu, tiga tahu dulu…

“Riana fikirlah baik-baik. Ayah dengan Mak tak paksa tapi kami risau sampai bila Riana nak hidup seorang. Dah tiba masanya Riana bahagia macam orang lain. Lagipun Pak Uteh itu adik Ayah, sekurang-kurangnya bila Ayah dengan Mak tak ada, kami tahu kami dah serahkan Riana pada orang yang kami boleh harap untuk jaga Riana,” panjang Ayah berhujah.

Riana mengeluh perlahan, “Riana boleh jaga diri sendiri lah, Ayah. Lagipun Riana tak bersedia lagi.”

“Sampai bila-bilapun kamu tak kan pernah bersedia Riana. Ayah tahu sangat apa yang kamu fikirkan. Idham dah ada dua anak dah. Tak payah lah kamu harapkan dia lagi,” nasihat Ayah.

“Mana ada Riana tunggu Abang Idham!” sedikit meninggi suara Riana. Bingkas dia bangun, berlari ke biliknya. Airmatanya mengalir laju.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>> 

Riana mengunci dirinya di dalam bilik. Puas Emak cuba memujuk tapi tidak diendahkannya. Kata-kata Ayah betul-betul menghiris hatinya. Bertahun-tahun Riana menyulam kasih, bukan mudah untuk dilupakan sekelip mata. Tapi Riana tak pernah harapkan Abang Idham lagi. Riana tak harapkan sesiapapun. Riana terus menangis.

Sebenarnya sudah lama Riana tidak memikirkan Idham. Kalaupun Riana teringat, ingatan itu tidak lagi menyakitkan hatinya. Ya…sudah lama wajah Idham tidak lagi mengganggu emosinya. Sejak dia berpindah ke Temenggung Aziz. Sejak Hafiz datang dalam hidupnya. Gelak tawa, senyuman manis, lirikan nakal anak itu yang menghiasi hari-harinya hingga bayangan Idham sudah tidak lagi membawa makna. Hafiz yang suka mengusiknya. Hafiz yang sentiasa cuba menyenangkan hatinya.

“Apa sahaja untuk Cikgu,” ungkapan Hafiz itu tiba-tiba terngiang di telinga Riana.

Bingkas Riana bangkit dari katil sambil mengelengkan kepalanya, cuba mengusir ingatannya pada Hafiz. Dia mengadap meja soleknya dan melihat mukanya di cermin. Matanya bengkak akibat menangis terlalu lama. Fikirannya menerawang ke zaman remajanya.

“Kau tak rasa pelik ke bertunang dengan abang sendiri,” tanya Zakwan yang mulutnya memang tak ada insuran seusai majlis pertunangannya.

Riana merenggus geram, “Abang angkat ok! And we love each other.”

“Ye lah, tapi kau membesar dengan dia, tiba-tiba nak jadi laki engkau pulak.”

 “Aku tak kesah, yang kau sibuk kenapa?”

“Bukan sibuk…tapi kau tak sayang ke masa remaja kau ni, berjanji setia hanya untuk satu cinta. Idham pun dah nak pergi oversea. Kau ingat dia tak kan terpikat ke kat minah-minah saleh yang cun dan seksi kat sana.”

“Apahal kau dok meracun tunang aku ni,” Idham tiba-tiba muncul sambil memeluk bahu Zakwan. “Kau jealous kan sebenarnya?”

Zakwan mencebik, “Uhh, tak nak aku budak hitam ni.”

Riana menjegilkan matanya, mentang-mentanglah kulit dia cerah, selamba jer cakap orang hitam.

“Bukan hitam tapi sawo matang,” Idham membetulkan sambil ketawa dan mengenyitkan matanya pada Riana. Zakwan hanya selamba, tidak tersenyum dan tidak juga tertawa.


Riana kembali ke dunia nyatanya. Dia mengeluh perlahan dan bangun dari kerusinya. Dia terus ke bilik air dan mengambil wuduk. Tak lama selepas itu, dia bersimpuh di sejadahnya seusai solat istikharah, memohon petunjuk dari yang Esa.

NOKTAH CINTA (PT. 17)

BERPISAH SEKETIKA

Hari itu adalah hari terakhir sesi persekolahan. Peperiksaan STPM akan bermula tiga hari lagi.

“Cikgu doakan kamu semua dapat menjawab soalan dengan baik dan lulus dengan cemerlang. Jangan nervous. Bila nak jawab soalan tu, tenangkan diri, baca soalan betul-betul, pilih soalan yang kamu betul yakin boleh jawab,” panjang Cikgu Riana memberi nasihat.

“Cikgu jaga periksa kat sekolah mana Cikgu?” soal Erin.

“Tahun ni Cikgu tak jaga periksa, ada hal, terpaksa mintak excuse.”

“Habis, lepas ni kita tak jumpa lagi lah Cikgu?” giliran Yazid pula bertanya.

Riana tersengeh, “Mmm…Insya Allah kita jumpa lagi. Jika tiada aral, hari terakhir awak periksa, Cikgu datang sini dan belanja awak semua makan, ok?”

“Yeay!!” Kelas 6 Atas Syafiee bersorak riang.

Bila kelas hari itu berakhir, seorang demi seorang pelajar 6 Atas Syafiee bersalaman dengan Riana memohon maaf dan restu supaya ilmu mereka diberkati dan dipermudahkan untuk menghadapi peperiksaan. Riana sebak tapi dia menahan airmatanya dari mengalir, tapi bila Hafiz bersalam dan mencium tangannya, titis jernih dari matanya tak dapat ditahan lagi.

<<<<<<<>>>>>>>>> 

Hafiz mengetuk pintu bilik kaunseling seraya memberi salam.

“Boleh jumpa Cikgu kejap?”

Riana tersenyum mengangguk. Hafiz menarik kerusi di hadapan meja Riana dan duduk.

“Kenapa ni? Nervous breakdown?” Riana mengusik.

“Ish Cikgu ni, mana ada nervous…bukannya first time masuk exam. Tadi tu kat kelas, saya tak sempat nak cakap apa-apa dengan Cikgu”

“Hafiz nak cakap apa?”

“Saya sayang Cikgu,” jawab Hafiz di dalam hatinya, “Err…saya nak cakap terima kasih sebab Cikgu sentiasa ada untuk saya. Apa yang Cikgu lakukan untuk saya memang tak terbalas Cikgu.”

“Kamu boleh balas…”

“Huh? Macam mana?”

“Buat yang terbaik dan lulus dengan cemerlang. Itu jer.”

“Insya Allah Cikgu. Apa sahaja untuk Cikgu,” jawab Hafiz dalam nada menggoda sambil matanya tersenyum nakal.

“Bukan untuk Cikgu, tapi untuk masa depan awak,” cebik Riana.

Hafiz ketawa, “Oklah Cikgu, saya balik ke kelas dulu.”

“Ok, ingat pesan Cikgu tau.”

Hafiz mengangguk dan bangun dari kerusinya. Seketika dia berdiri dan teragak-agak sambil memandang Riana yang kembali meneliti laporan di atas mejanya, “Cikgu…”

Riana mengangkat mukanya.

“I’m gonna miss you.”


Belum sempat Riana membalas, Hafiz terus melangkah keluar.

NOKTAH CINTA (PT. 16)

KEMBALI TERJALIN

“Antara soalan popular yang kerap keluar dua-tiga tahun kebelakangan ini adalah mengenai punca-punca kenaikan dan kejatuhan harga saham,” terang Cikgu Ramli sambil pelajarnya khusyuk mendengar dan mencatat nota.

“Jadi, penting untuk menghurai setiap faktor dengan terperinci, berserta dengan contoh sediada dari pekembangan pasaran saham di peringkat tempatan ataupun antarabangsa. Sebagai contoh, kejatuhan harga saham kerana krisis kewangan global pada tahun 1997-1998.”

“Apalagi contoh yang kita boleh guna? Mmmm….Yazid?” soal Cikgu Ramli secara rambang.
“Kenaikan harga bahan bakar Cikgu seperti yang berlaku pada tahun 2008 bila PM mengumumkan kenaikan harga minyak.”

“Bagus Yazid, selain daripada tu?”

“Saham pun boleh jatuh disebabkan faktor ‘exclusivity’,” celah Hafiz dari tempat duduknya.

“Exclusivity? Ummmm….contoh?” berkerut dahi Cikgu Ramli, mana pulak datang teori ni…?

“Contohnya saham seorang kasanova akan jatuh bila dia dah declare ada girlfriend, so saham kasanova tu dah jadi hak eksklusif girlfriend dia dah” sambung Hafiz disambut gelak ketawa rakan-rakannya.

Cikgu Ramli ikut ketawa, “Kamu ni Hafiz, saya ingat ada teori baru yang saya tak tahu,” sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.  “Ok… ok kelas, kita teruskan, abaikan teori pak lawak tadi tu.”

Akim tersenyum, hatinya berasa lega, dia tahu marah Hafiz padanya sudah hilang.
Sebaik sahaja selesai kelas Cikgu Ramli, Akim terus menyapa Hafiz, “Bengkak muka aku tak hilang lagi tau.”

“Bagus lah…pengajaran untuk kau. Kalau kau sakitkan hati Aisyah, lagi teruk kau kena,” jawab Hafiz selamba.

“Jadi kau approve lah?” tanya Akim sambil tersengeh-sengeh.

“Belum dapat cop SIRIM lagi,” jawab Hafiz berlagak serius.

“Takper, cop lilin ajer pun tak per…yang penting kau bagi aku peluang.”

“Iye…Iye… kot ye pun, tak payah lah kau nak tersengeh-sengeh macam kerang busuk tu, buruk wehh…”

Akim ketawa besar dan terus memeluk Hafiz, “Terima kasih Abang…!!”

“Oiiiii…oiiiii…apa ni peluk-peluk!” Hafiz menolak badan Akim, “dan jangan panggil Abang…at least not for now.” Akim terus ketawa dan Hafiz tidak berupaya menyembunyikan senyumannya.

Aril hanya memerhatikan telatah dua sahabatnya sambil ikut ketawa riang. Akhirnya 3A bersatu kembali.

<<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>>> 

Peperiksaan STPM tinggal sebulan sahaja lagi. Pelajar-pelajar 6 Atas Temenggung Aziz kembali fokus kepada pelajaran. Banyak aktiviti ko-kurikulum sudah dihentikan. 3A tidak terkecuali. Bersama-sama Erin dan Zizi, mereka meneruskan “study group” yang dibentuk sebelum ini. Sesekali Cikgu Riana menyertai kumpulan mereka.

“Kamu semua dah pilih course apa nak ambik nanti?” tanya Cikgu Riana suatu petang.

“Cikgu ni macam confirm jer kitaorang masuk universiti,” kata Erin tidak menjawab soalan.

“Memanglah Cikgu yakin, kamu semua adalah antara pelajar-pelajar Cikgu yang terbaik.”

“Saya nak ambil undang-undang Cikgu, memang cita-cita saya dari kecik nak jadi lawyer,” Zizi menjawab pertanyaan Riana.

“Ha ah, memang sesuai ngan kau, bercakap tak berenti macam loyar buruk kan…?” usik Akim disahut dengan ketawa besar rakan-rakannya. Zizi memuncungkan mulutnya merajuk.

“Ish tak baik kamu, bagus apa pilihan Zizi tu. Akim, kamu pulak macam mana?”

“Muzik,” Akim menjawab pantas.

Aril dan Erin pula meminati bidang yang sama iaitu perguruan.

“Wahhh...bagus! Nanti kita jadi rakan sejawatanlah pulak kan? ” komen Riana sambil ketawa, “Itupun kalau saya masih ada lagi lah.”

“Eh, Cikgu nak pergi mana?” pantas Hafiz bertanya.

Riana hanya tersenyum membiarkan soalan Hafiz tanpa jawapan, “Hafiz pulak nak pilih bidang apa?”

“Ekonomi ataupun Business Admin kot… Nanti bolehlah saya buka galeri baru untuk Daddy.”

“Wow! Ambitious! Mmm..Daddy pandai melukis….Hafiz boleh melukis?”

“Ahhh…sikit-sikit jer Cikgu, tak leh lawan Daddy,” jawab Hafiz merendah diri.

“Hek eleh, merendah diri lah pulak. Cikgu, kalau nak tahu mural bangunan sekolah ni, Hafizlah yang lukis,” cepat Aril mencelah.

Riana memandang Hafiz penuh kagum, “Wahhh…sangat berbakat rupanya.” Hafiz tersipu-sipu bila Riana memandangnya begitu.

“Oh! by the way, sebelum Cikgu terlupa, Cikgu akan bercuti seminggu minggu depan.”
“Kenapa?” cepat Hafiz bertanya.

“Balik kampong”

“Balik bertunang ke Cikgu?” usik Akim.

Cikgu Riana ketawa, “Belum ada calon lagi lah”

“Ada yang menunggu tu Cikgu, Cikgu jer tak tahu.” Akim terus mengusik sambil matanya mengerling Hafiz. Hafiz memandang ke tempat lain dan buat-buat tak faham.

Cikgu Riana hanya ketawa, tidak menghiraukan usikan Akim.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>> 

Riana tersenyum sendirian. Berkali-kali dia mengulang baca SMS yang diterimanya dari Hafiz.
Hafiz: Salam. Cikgu apa khabar?
Riana: Salam. Cikgu sihat, Alhamdulilah. Hafiz macam mana?
Hafiz: Ok jer tapi rindulah…
Riana: Uhh? Rindu apa?
Hafiz: Lesung pipit

Sejak krisis 3A, hubungan Riana dan Hafiz semakin rapat. Seboleh mungkin Riana cuba menjaga profesionalismenya dalam hubungan itu tapi entah kenapa hatinya merasa sangat dekat dengan Hafiz. Sejak masalah kemurungan yang dihadapinya selepas putus tunang tiga tahun lepas, inilah kali pertama Riana merasa kekosongan hatinya kembali terisi. Hafiz memang nakal tapi tingkahlaku dan keletahnya sangat menyenangkan hati Riana. Kadang-kadang dadanya berdebar bila Hafiz melirik nakal dan memuji lesung pipitnya. “Hai Hafiz…nasib baik lah kau ni budak lagi, kalau tak mesti aku dah jatuh cinta dah,” bisik hati Riana sambil tertawa kecil.

“Apa hal ketawa sorang-sorang ni?”

“Eh, Doktor...no it’s nothing, just teringat kat anak-anak murid yang nakal kat sekolah. Kesian diaorang, saya tak ada, periksa tak lama lagi”

Dr. Syafi segera menggelengkan kepala bersekali dengan isyarat tangan, “No..no.. you cannot think about work right now. I purposely asked you to be warded so that you can get a good rest”

“I feel ok lah Doktor. When can I be discharged?”

“Riana, you baru admitted dua hari. Ada banyak test lagi and dear… you are not getting any better,” serius suara Dr. Syafi.

“Belum ada calon yang sesuai ke?” tanya Riana perlahan.


Dr. Syafi memandang Riana sayu dan menggelengkan kepalanya.