Monday 14 October 2013

NOKTAH CINTA (PT. 15)



MENEMUI KEBENARAN

“Tok..tok..” bunyi ketukan di biliknya. Aisyah merengus malas, menanggalkan MP3 di telinganya dan membuka pintu bilik. Hafiz menunggunya di depan pintu.

“Boleh Abang masuk?”

“Aisyah tengah sibuk lah,” balas Aisyah di balik pintu sambil menolak daun pintu. 

Hafiz pantas menahan, “Please dik….”

Aisyah mengalah dan membiarkan Hafiz masuk tapi mukanya terus mencuka. Dia terus menghempaskan dirinya ke katil. Hafiz duduk di sebelah adiknya, perlahan tangan Aisyah diraih, “Dulu masa kita duduk jauh, hari-hari Aisyah nak bercakap dengan Abang. Sekarang dah duduk dekat, Aisyah tak nak bercakap ngan abang pulak? Janganlah buat macam ni dik, mati Abang…Aisyah tahu Abang sayang Aisyah sangat-sangat kan?”

Aisyah segera menarik tangannya dari genggaman Hafiz dan menutup mukanya. Dia mula menangis tersedu-sedu. Tak tahan dia mendengar pujukan abangnya. Hafiz segera memeluk Aisyah erat, “Abang tahu Abang salah, Abang mintak maaf yer?”

Sedu-sedan Aisyah makin kuat. Hampir dua minggu Aisyah melancarkan perang dingin dengan abangnya. Aisyah akui dia amat merindui gurau senda Hafiz, tapi dia merasakan Hafiz perlu diajar untuk menghormati pendapat dan pendiriannya.

“Abang jahat…” rengek Aisyah manja dalam sedunya sambil memukul-mukul dada Hafiz.

Hafiz membiarkan, “Ye..ye…Abang jahat…tapi Abang sayang Aisyah. Tapi nampaknya Aisyah lebih sayang Akim dari Abang. Abang jealous tau...”

“Mana ada…” Aisyah hampir tertawa, pantas dia mencubit lengan Hafiz.

Hafiz ketawa dan mendakap Aisyah dekat ke dadanya. Kepala adiknya dicium berkali-kali. 

“Maafkan Abang kerana salah menilai hubungan Aisyah dan Akim. Walau apapun tanggapan Abang tentang Akim, Abang tahu dia sahabat yang baik dan Abang yakin demi Abang, dia takkan menyakiti Aisyah. Mungkin Abang cemburu kot. Adik Abang menyayangi lelaki lain selain Abang dan Daddy.”

Aisyah ketawa kecil mendengar pengakuan Hafiz.

“Dalam dunia ni, Abang cuma ada Aisyah dan Daddy. Abang tak boleh kehilangan Aisyah.”

“Mummy?” pantas Aisyah bertanya.

Hafiz melepaskan pelukannya dan mengeluh perlahan.

“Abangpun salah menilai Mummy tau...” kata Aisyah lembut. Sudah lama dia ingin menceritakan perkara sebenarnya kepada Hafiz, mungkin inilah masanya.

<<<<<<>>>>>> 

Dua tahun sebelum Mummy dan Daddy bercerai, galeri lukisan Daddy ditutup kerana masalah kewangan. Untuk menampung perbelanjaan keluarga, Mummy terpaksa mencari pekerjaan kerana Daddy berkeras untuk terus melukis. Uncle Adlin, kawan lama Mummy, telah membantu Mummy mendapat pekerjaan di syarikatnya sebagai pegawai pemasaran. Bila perniagaan Uncle Adlin makin maju, masa kerja Mummy juga makin tidak menentu. Daddy selalu marah-marah bila Mummy pulang lewat.

“Tapi Abang masih ingatkan, walau macam sibuk pun Mummy, dia tak pernah mengabaikan kita kan?” Hafiz hanya mengangguk perlahan.

Hubungan Mummy yang rapat dengan Uncle Adlin dan kenaikan kerjaya Mummy yang agak mendadak menyebabkan ada staff yang irihati. Untuk menjatuhkan Mummy, satu komplot telah dirancang sehingga pada satu malam, Mummy dan Uncle Adlin ditangkap khalwat di pejabat Uncle Adlin.

“Padahal malam itu, secretary Uncle Adlin ada bersama, cuma dia keluar sekejap membeli makanan,” lancar Aisyah bercerita.

Daddy sangat marah dan tak mahu mendengar penjelasan Mummy. Mummy terus diceraikan dengan talak tiga. Demi menjaga maruah Mummy, Uncle Adlin mengahwini Mummy dan menjual semua sahamnya di Malaysia dan membuka cawangan baru di Singapura. 

“Tapi Aisyah tahu Mummy tak pernah mencintai Uncle Adlin sebagaimana Mummy mencintai Daddy. Abang takkan rasa kasih-sayang antara mereka kat rumah tu bang… Mostly it was all about business.”

“Sebenarnya keputusan Mahkamah memutuskan kita berdua dijaga oleh Mummy tapi Mummy tahu Daddy akan merana kalau berpisah dengan kita. Jadi Mummy menyerahkan Abang pada Daddy. Untuk memastikan hidup Daddy dan Abang terbela, sebab Abangpun tahukan macam mana susahnya nak jual sebuah lukisan, Mummy membeli semua lukisan-lukisan Daddy secara rahsia. Bila Mummy dan Uncle Adlin nak migrate ke Australia untuk kembangkan lagi perniagaannya, bukan Aisyah tak nak ikut tapi Mummy yang suruh Aisyah stay ngan Abang dan Daddy. Mummy rela berpisah dengan Aisyah semata-mata nak bahagiakan Abang dan Daddy.”

Airmata Hafiz bergenang di matanya.

<<<<<<<>>>>>>>>>>>> 

Hafiz berteluku di tikar sembahyang sejak lama. Airmatanya tidak berhenti mengalir. Dia merasa sangat berdosa pada Mummy.

Nasihat Cikgu Riana tidak lama dulu semasa dia mengomel pasal Mummynya dan cerita Aisyah bersilih ganti dalam benaknya.

“Tak ada mak yang tak sayang anak Hafiz. Mesti ada sebabnya Mummy Hafiz bertindak macam tu. Hafiz tak boleh bersangka buruk dengan Mummy. Hafiz patut bersyukur sebab masih ada ibu. Berapa ramai orang kat luar sana yang tak kenal pun ibu diaorang siapa.”

“Mungkin Mummy susah nak tunjukkan perasaannya pada Abang, sebab Abang selalu dingin bila bersama Mummy. Tapi percayalah bang, Mummy sayangkan Abang lebih dari apa yang fikir.”

“Mummy…maafkan Hafiz,” rintih Hafiz perlahan.

NOKTAH CINTA (PT. 14)



MERUNGKAI YANG TERSIMPUL

Pertelingkahan 3A adalah gossip terhangat di Temenggung Aziz sejak lebih seminggu yang lalu. Hafiz, Akim dan Aril saling tidak bertegur sapa. Masing-masing dengan hal masing-masing. Tiada lagi keriuhan di kelas 6 Atas Syafiee seperti biasa.

Hampir setiap petang selepas waktu persekolahan, Hafiz menghabiskan masanya bersama Cikgu Riana, sama ada di bilik kaunseling atau di perpustakaan. Selain teman belajar, Rianalah tempat dia bercerita setelah kawan-kawan karibnya tiada di sisi.

“Aisyah pun tak nak bercakap dengan saya, Cikgu. Semuanya dah berubah sekarang, dah serba tak kena,” keluh Hafiz. 

“Hafiz tak mahu betulkan balik keadaan ni?”

“Macam mana? Saya buntu lah Cikgu.”

“Meminta maaf dan memaafkan. Itu jer caranya,” lembut Riana bersuara.

“Aril yang salah sangka dengan saya, Akim yang mengorat adik saya, Aisyah yang tak pasal-pasal merajuk, kenapa saya pulak nak kena minta maaf?” Hafiz bersuara sedikit tinggi.

“Hafiz tak bersalah langsung ke? Jangan biarkan ego yang tinggi tu memakan diri sendiri, Fiz.”

Hafiz terdiam. Mukanya menunjukkan riak protes.

Riana memandang Hafiz dengan matanya beriak nakal, “Cikgu ada kenal seorang budak. Cooomel sangat. Nama dia Hafiz. Dia ni seorang yang pandai, baik hati, nakal…” Riana sedikit tertawa dan menyambung ayatnya seperti seorang ibu sedang bercerita kepada anak kecilnya, “dan penyayang…Dia saaangat sayang adik dia, kawan-kawan dia. Suatu hari mereka bergaduh sampai bertumbuk. Hummh…Dia sangat marah tapi demi menyatukan kawan-kawan dia dan menggembirakan adik yang dia sayang, dia sanggup mengalah dan meminta maaf. Dia mengalah kerana dia “gentleman”. Dia sanggup ketepikan ego dia untuk kebahagiaan semua.”

Hafiz tertawa melihat keletah Riana tetapi dadanya terasa sebak, dia memandang gurunya, matanya bersinar terharu, “terima kasih Cikgu. Saya mesti tak tahu bagaimana nak menghadapi semua ni kalau Cikgu tak ada.”

<<<<<<<>>>>>>> 

Dari jauh Hafiz melihat Aril berseorangan di belakang kantin sekolah. Sepertinya tempat itu menjadi persinggahan wajib Aril sepanjang mereka tidak bertegur sapa. Hatinya masih berkira-kira, patutkah dia menegur Aril dahulu. Bagaimana nanti kalau Aril tidak mengendahkannya. Langkahnya tetap diteruskan walaupun hatinya penuh ragu.

“Kau tunggu makcik kantin bagi kau makanan lebih jualan hari ni ke?” Hafiz cuba berlagak selamba.

Aril memandang sekilas pada empunya suara yang amat dikenalinya. Pandangan segera dialihkan. Hatinya bercampur-baur. Aril tahu dia rindukan sahabatnya itu, namun dia tiada keberanian untuk memulakan bicara.
Hafiz duduk di sebelah Aril dan menolak bahu Aril dengan bahunya.

“Ustazah Linda kata munafik tau bergaduh lebih dari tiga hari.”

Aril memandang ke hadapan, matanya hampir berkaca, “Aku... Salah aku tak dapat kawal marah aku…aku tak sepatutnya tumbuk kau hari tu.”

“Memang…nak tercabut rahang aku kau tahu tak? Kuat giler!” Hafiz cuba berlawak.

Aril memandang Hafiz dan ketawa, “tangan aku pun sakit dowh!”

Kedua sahabat itu sama-sama ketawa.

Hafiz menghulurkan tangannya kepada Aril, “friends?”

Aril menyambutnya dengan senyuman lebar, “forever!!”

Hafiz mengambil peluang menceritakan kepada Aril perkara sebenarnya yang berlaku di antara dia dan Erin.
“More or less, aku tahu sangkaan aku salah Fiz...tapi entah apa yang merasuk aku hari tu,” kata Aril penuh kesal.

“Habis tu kau dan Erin macam mana?”

Aril hanya mengangkat bahu, “belum ada keberanian untuk aku bersemuka dengan Erin. Tapi Ummi aku selalu cakap, nak buat apapun kena ukur baju di badan sendiri. Aku bukan lelaki yang selayaknya untuk Erin. Kalau dia suka kau, aku pun suka jer, janji dia happy.”

“Ish…sumpah aku tak ada apa-apa perasaan kat Erin. Kau jangan pandai-pandai pulak nak kenen-kenen.”
Aril ketawa, “habis kau ada perasaan pada siapa? Riana?”

Hafiz ketawa gugup, “obvious” sangat ke perasaan aku ni, bisiknya di dalam hati, pantas Hafiz membidas “Gila kau...mana ada!!”

“Aku risau pasal Aisyah,” Hafiz cepat-cepat mengubah tajuk perbualan.

“Aku rasa kau patut bagi Akim peluang. Aku tengok dia murung sangat bila kau sisihkan dia. Dia kawan baik kita Fiz. Dah lama dah kita berkawan.  Tak mungkinlah di saja-saja nak mainkan Aisyah dan buat kau marah,” berhati-hati Aril cuba meyakinkan Hafiz.
Hafiz hanya diam.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>> 

Erin sangat gembira hari ini kerana tiga perkara. 

Yang pertama Hafiz telah bersemuka dengannya dan meminta maaf walaupun Hafiz tak salah apa-apapun sebenarnya. Erin sangat tak sangka budak terencat akal itu akan menjadi sebegitu gentleman.

“Tolong jangan malu dengan Hafiz. Tak ada salahnya perasaan Erin tu. Hafiz hargai sangat-sangat, tapi mungkin bukan sekarang masanya. Perjalanan kita masih jauh lagi. Kita tak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan kan? Sekarang, baik kita tumpukan pada STPM dulu. Kot-kot nanti memang ada jodoh kita mana tahu kan?” kata Hafiz sambil tersengeh-sengeh dengan lirikan matanya yang nakal.

Perkara kedua dan ketiga adalah tentang Aril. Setelah kejadian hari tu, Aril akhirnya menegurnya dan Aril juga membawa berita tentang Isma. Erin tak sangka, “in a way” dia bersaudara dengan Aril. Hehehe, macam lawak pulak, ketawa Erin di dalam hatinya.

“Diaorang dah ada dua anak. Ni nombor Abang Zul dan Kak Isma. Last sekali Aril call diaorang minggu lepas. Tapi Aril tak ada cerita pasal Erin. Nanti Erin call Kak Isma sendiri lah.” 

Muka Erin berseri-seri, “Terima kasih banyak-banyak Aril. You don’t know what it really means to me. Dah lama Erin cuba mencari berita tentang Kak Isma. Akhirnya…Alhamdulilah. Thanks Aril. Thank you very much. Tak sangka kita bersaudara kan?”

Aril hanya tersenyum. Dia tidak pasti samada talian “persaudaraan” itu menggembirakannya tetapi melihat gadis pujaannya tersenyum girang, mmm… “priceless!”.

“Erin belum ucapkan terima kasih untuk bunga-bunga tu...”

Aril tersenyum malu, “Ahhhh…no sweat, satu loripun Erin nak, Aril pun boleh beli.”

Erin ketawa mengekek, “Aril tak marah?” Aril menggelengkan kepalanya dengan senyuman yang tak lekang dari bibirnya. 

“Mencintai bukan bererti mesti memiliki. Bila kita mencintai dengan ikhlas, apapun halangannya, kita tetap akan merasa bahagia” begitu kata Ummi yang Aril pegang kemas.

NOKTAH CINTA (PT 13)



BICARA DARI HATI

“Riana, boleh you tolong handle Hafiz tak?” tiba-tiba Cikgu Aris muncul dari balik pintu bilik guru wanita.

“Hah?”

“Hafiz dengan Akim bertumbuk. Dua-dua pun tak nak bercakap sekarang ni. You tolong handle Hafiz, I handle Akim. I dah suruh Hafiz masuk bilik kaunseling,” pantas Cikgu Aris memberi penjelasan kepada Riana yang agak terpinga-pinga.

“Ok!” Hati Riana resah, segera ditinggalkan kerja yang sedang dibuatnya dan melangkah laju ke bilik kaunseling.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>> 

Riana mendongakkan dagu Hafiz sedikit ke atas dengan hujung jarinya sambil memeriksa luka dan lebam kesan tumbukan Aril dan Akim di mukanya. Jejari itu terasa sejuk di kulit Hafiz. Menggunakan ketulan ais yang dibungkus di dalam tuala, dengan berhati-hati, guru muda itu menuam kawasan yang lebam di pipi kanan Hafiz. 

“Shhhehh…..” Hafiz mendesah sakit.

“Oppss…tahan sikit yer,” kata Riana simpati.

Hafiz memandang gurunya tanpa kelip. Belum pernah dia berada sedekat itu dengan Riana. Jantungnya berdegup kencang. Seakan merasai degupan jantung Hafiz, Riana mengalihkan perhatian ke mata Hafiz dan tiba-tiba pandangan mereka bertaut. Hafiz terpana. Sinar lembut penuh kasih sayang dari mata itu menggetarkan hati lelakinya. Dia seperti tidak berupaya mengalihkan pandangannya. Masa seakan terhenti seketika. 

Sengaja Riana membiarkan Hafiz merenungnya lama. Dia ingin membaca apa yang ada di dalam hati anak muda itu melalui matanya.  Dia mengesan riak kesedihan dan kekeliruan di mata pelajar kesayangannya itu.

“Hafiz nak cerita dengan Cikgu tak?” soal Riana, mengembalikan Hafiz ke dunia nyata. Segera pandangannya dialihkan.

Hafiz menggelengkan kepalanya, “saya tak biasa bercerita masalah saya dengan sesiapa pun Cikgu.”

“Hafiz tak percayakan Cikgu?” tanya Riana lembut. 

Hafiz menundukkan kepalanya, tiba-tiba dia teringatkan Mummynya. Sudah lama dia tidak percayakan sesiapapun sejak Mummy meninggalkannya. Tiba-tiba Hafiz rindu pada sejuk renungan Mummy yang sudah lama tidak dirasainya.  Setitis air jernih gugur dari matanya. Hafiz segera menekup tangannya ke muka. Badannya terhenjut-henjut menahan esakan. 

Kuat sekali keinginan Riana untuk memeluk anak muda di hadapannya, melerai semua kesedihan yang terbuku di hati, tapi profesionalismenya menahan dia berbuat demikian. Dia membiarkan Hafiz menangis semahunya. 

Bila sedu sedan itu mula reda, Hafiz mengangkat mukanya dan bertanya sinis, “kenapa Cikgu kesah? Mummy saya pun tak pernah kesah.” 

“Sebab saya sayang awak,” jawab Riana pendek.

Tanpa cuba menyembunyikan perasaan gembiranya dengan jawapan Riana, Hafiz tersenyum, makin lebar dan makin lebar dan kemudian dia tertawa besar dalam tangis yang masih bersisa.

“Kenapa ketawa?” tanya Riana kehairanan tapi dalam masa yang sama gembira melihat anak muridnya itu kembali ceria. 

“Tak percaya lah,” sengaja Hafiz menduga dengan harapan dia akan mendengar ucapan sayang dari mulut Riana lagi.

“Tak percaya sudah!” cebik Riana sambil ketawa. 

“So, apa masalah sebenarnya?” tanya Riana kembali serius bila ketawa mereka mula reda sambil tangannya terus menuam lebam di muka Hafiz.

Hafiz mula bercerita tentang Aril yang salah sangka dengannya, tentang kemarahannya pada Akim kerana menggoda Aisyah, tentang Erin yang menyimpan perasaan padanya. Riana mendengar penuh khusyuk. Dia membiarkan Hafiz meluahkan semua rasa yang terbuku di dadanya.

 “3A pernah berjanji untuk tidak jatuh cinta. Sekurang-kurangnya sepanjang kitaorang masih bersekolah. Akim lah yang beriya-iya. Baru lah macho katanya, boleh test power tapi tak payah commit apa-apa,” cerita Hafiz sambil tertawa kelat.

“Sebab tu, Hafiz tak percaya Akim betul-betul sukakan Aisyah? Perasaan manusia boleh berubah tau..!”

“Saya tahu dia tak serius Cikgu. Aisyah lah satu-satu adik saya Cikgu. Saya tak nak Aisyah kecewa”

“Akim kawan Hafiz. Cikgu tak kenal Akim sebagaimana Hafiz kenal Akim. Tapi Cikgu yakin bertumbuk dan bergaduh bukan caranya untuk selesaikan masalah. Apa yang Hafiz nak buktikan? Yang Hafiz paling kuat? Bukankah orang yang paling kuat adalah orang mampu menahan amarahnya?” 

“Akim sahabat yang baik kan? Hafiz rasa Akim berniat untuk kecewakan Aisyah dan rosakkan persahabatan korang? Bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi sayang… Hafiz fikir tak apa perasaan Aisyah?”

“Sayang… dia panggil aku sayang” hati Hafiz berbunga bahagia. Bicara Riana ibarat air di telinganya, tak tahulah mana satu yang masuk ke otaknya. 

“Cinta bukan sesuatu yang boleh dipaksa. Ia datang tanpa kita mencari. Tapi bila ia hadir, rasanya sangat indah dan tak mampu kita tolak. Apa yang Akim rasa atau Aril rasa tak akan mampu dihalang dengan perjanjian bodoh kamu bertiga.”

Hafiz tersengeh, lidahnya kelu untuk membalas kata-kata gurunya.

“Bercinta, bergaduh, berpisah semuanya pengajaran yang akan menjadi pengalaman yang paling berharga dalam hidup. Betapa susahnya mencari cinta sejati, begitulah susahnya untuk menemui sahabat sejati. Hafiz sanggup melupakan sebuah persahabatan yang dah bertahun-tahun Hafiz ikat hanya kerana mementingkan ego sendiri?”

Hafiz diam membatu. Dia tahu tindakannya sangat melampau tadi. Ada garis kekesalan terpancar di wajahnya.

Riana menyentuh bahu Hafiz dengan lembut, “balik nanti solat hajat, minta petunjuk dari Tuhan. Kadang-kadang bila kita buntu, hanya Tuhan yang mampu membantu.”

Hafiz mengangguk. Alamak, Cikgu dah nak suruh aku balik ni. Dia ingin menghabiskan masanya lebih lama bersama Riana. Ligat otaknya berfikir untuk melanjutkan perbualan.

“Cikgu…” tekaknya tiba-tiba terasa kering, soalannya tersangkut tidak berpenghujung.

“Mmmm….?”

“Cikgu pernah jatuh cinta?” 

Riana tergelak kecil, “mesti lah pernah.” Matanya tersenyum nakal.

“Habis tu kenapa Cikgu tak kahwin? Atau masih dalam perancangan sekarang ni?” 

“Kenapa nak tahu? Bukan Cikgu yang ada masalah sekarang ni, tapi awak?” Riana sengaja menjegilkan matanya yang sedang tertawa.

“Saja nak tahu……” jawab Hafiz agak kecewa kerana gagal mengorek rahsia.

“Akim suka Aisyah, Aril suka Erin tapi Erin suka Hafiz. Hafiz macam mana?” tanya Riana menduga hati Hafiz.

“Saya suka yang berlesung pipit…” Hafiz menjawab nakal sambil cuba mengeyitkan matanya, tetapi lebam kesan tumbukan Akim menyebabkan kenyitannya tidak menjadi.

“Ouch..!!” Hafiz mengaduh sambil mengosok-gosok pipinya.

Riana ketawa. Hafiz ikut ketawa.