Showing posts with label family. Show all posts
Showing posts with label family. Show all posts

Sunday, 23 December 2012

HATI SEORANG ANAK (BAHAGIAN 3)

Pemergiaan Pak sangat mudah. Tiada perkara yang pelik berlaku. Pak pergi ketika alunan yasin berterusan dibacakan anak-anaknya. Pak pergi ketika kalimah Allah dibacakan di telinganya tanpa henti. Jenazah Pak diuruskan oleh anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu lelaki dengan bantuan ustaz di kampong kami. Alhamdulilah. Terima kasih Ya Allah kerana memberikan kemudahan ini kepada bapaku.


Wajah Pak seakan bayi yang tidur nyenyak, dengan kulit yang putih kuning seakan bercahaya. Sungguh ayahku sangat nyenyak tidurnya. Bibirnya menguntum senyum. Air mukanya tenang. Alhamdulilah, kami semua adik-beradik dapat mengucup dahi Pak dan menatapnya untuk kali terakhir.

Aku menangis semahuku. Ya Allah!! Kenapa secepat itu Kau ambil bapaku? Ya Allah…aku belum sempat memohon ampun dari Pak atas semua kesalahanku. Ya Allah….aku belum benar-benar menjaganya dengan baik. Ya Allah….aku masih ingin memeluk dan mencium ayahku. Ya Allah…….!!!!

Pak memang sayangkan aku. Antara anak-anak perempuannya aku dianggap paling mudah mendengar kata. Aku memang tidak melawan kata-katanya walaupun akal dan hatiku tidak dapat menerima apa yang diomonginya. Banyak kali Pak menggelarkan aku anak solehah.
  
Tapi bukan!! Aku bukan anak yang baik apatah lagi solehah! Di dalam diam aku menyimpan kemarahan terhadap kesakitan dan kesengsaraan Umi. Kemuncak kemarahanku seperti yang aku coretkan sebelum ini. Sungguh aku bukan anak yang baik apatah lagi solehah!!

Aku menangis semahuku. Aku menyesali egoku sebagai seorang anak. Ketika Pak beberapa kali memohon maafnya daripadaku, tiada sekali terucap dimulutku memohon ampun darinya.

Egonya aku sebagai anak yang merasakan hanya aku yang teraniaya dan Pak yang bersalah tanpa menilai dari sudut pandang Pak yang berbeza dan mengingati setiap kesusahan Pak membesarkan aku.

Egonya aku sebagai seorang anak yang meletakkan sumbangan materi sudah mencukupi sebagai tanda membalas jasa, sedangkan sentuhan kasih jarang kuberikan pada Pak. Soal menjaga Pak yang sakit, aku serahkan bulat-bulat pada Umi dan Mak Su Dah. 

Egonya aku Ya Allah….!!!

Aku masih ingat beberapa hari sebelum Pak meninggal, dia meminta aku tidur di biliknya tapi permintaan kubiarkan tanpa dipenuhi. Aku hanya tidur disisi Pak ketika Pak sudah lagi tidak dapat merasai hangatnya pelukanku atau lembutnya urutan tanganku.

Masih aku ingat di Jumaat yang terakhir itu, aku, adikku Kak Teh dan Umi duduk dekat dengan Pak sambil mengurut badannya perlahan. Pak membuka mata dan memandang kami seperti orang asing.

Pantas, aku memperkenalkan diri, “Pak, ni Na…Pak ingat dok Na?” 

Lantas Pak tersenyum lebar seakan lucu dengan soalanku, “ingat…..” dan menghulur tangannya menyalami aku dan memegang mukaku. Dan itulah huluran tangannya yang terakhir untukku.

Kalaulah aku tahu…masaku tak panjang bersama Pak, pasti aku gunakan sebaik-baiknya masa itu bersama Pak. Kalaulah aku tahu....waktu Pak telah terlalu hampir, pasti setiap huluran tangannya aku balas dengan ciuman kasih sayang. Kalaulah aku tahu....

Ah...tak baik berkata “kalau”, aku tahu itu.  Apa yang terjadi itulah yang takdir yang terbaik yang telah ditentukan Allah untuk hambanya.Tapi sungguh aku tidak mampu membendung rasa kesal terhadap masa-masa yang aku bazirkan tanpa memberikan sepenuhnya perhatian dan kasih sayangku pada Pak.

Kini, bila Pak sudah tidak ada, aku selalu menjenguk ke biliknya dan berharap dia masih ada di tilamnya menyambut ceria setiap kali aku menyapa. Aku tak kisah kalau Pak terus bercerita memuji Ma dan Mak Su Dah dan melupakan cerita tentang Umi, asalkan aku boleh terus mendengar suaranya dan melihat rasa cinta dan bangga di matanya. Aku tak peduli kalau Pak hanya terus terbaring ditilamnya asalkan aku tahu dia masih ada untuk aku peluk dan cium pipinya setiap pagi sebelum ke pejabat.

Tapi Pak sudah tidak ada dan Pak takkan pernah kembali…..!!

Apa yang tinggal hanya kenangan pahit manis aku bersama Pak yang akan aku kenang sampai bila-bila. Walau apapun Pak, buruk atau baiknya….dia lah bapaku dunia dan akhirat dan aku redha dia menjadi bapaku. Hanya doa mampu aku titipkan buat Pak dan hanya bacaan Quran yang mampu aku sedekahkan. Ketika waktu yang Allah berikan itu telah berlalu, penyesalan apapun pasti tidak akan berguna lagi.

Ya Allah, aku mohon padaMu, Kau ampunilah dosa-dosa bapaku. Kau lapang dan terangilah kuburnya. Kau jauhilah dia dari siksa kubur dan azab api neraka. Kau tempatkan dia bersama-sama hamba-hambaMu yang soleh. Kau sampaikanlah kepadanya setiap titipan doa dan sedekah kami kepadanya dan aku mohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah kedua ibubapaku dengan menjadikan kami, anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.

Al-Fatihah.


(Dalam kenangan: Ghazali bin Embong 10.12.1939 - 17.12.2012)

HATI SEORANG ANAK (BAHAGIAN 2)

Tanggal 17 Disember 2012, Isnin, lebih kurang jam 1.20 pagi, Pak telah pergi meninggalkan kami semua untuk selama-lamanya. Alhamdulilah, aku berada disisi Pak sehingga ke akhir hayatnya.
 
Keadaan Pak semakin teruk sejak hari Sabtu lagi. Pak sudah mula tidak bercakap, makan atau minum. Bila kami check gulanya, bacaannya sudah mencapai 21. Ya Allah! Masa tu tak tahu nak cakap apa. Umi minta pendapat kami semua sama ada nak hantar Pak ke hospital atau tak. Kami semua sepakat untuk merawat dan menjaga Pak di rumah. Masa Pak masih sihat pun, Pak memang enggan ke hospital. Jadi dalam waktu-waktu kritikal seperti ini, kami yakin kami mengambil langkah yang betul dengan memenuhi hajat Pak untuk terus berada di rumah.

Walau bagaimanapun, kami panggil juga doktor ke rumah untuk periksa keadaan Pak. Kata doktor tu, memang tak ada cara lain, kena juga bawa Pak ke hospital. Hati kami mula berbelah bagi. Kami cuba memujuk Pak untuk membawanya ke hospital. Dalam keadaannya sedar tak sedar, Pak mengangkat kedua tangannya seperti orang meminta maaf dan dengan lemah dia berkata, "Allah dah tentukan semuanya...."

Segera, aku pegang kedua tangan, "ok..ok...Pak...kita tak pergi hospital"

Ya Allah....tak tahu lah apa perasaan aku lihat keadaan Pak begitu. Sedih, pilu, pasrah... kami seolah-olah menunggu masa Pak pergi tanpa berusaha untuk berbuat apa-apa. Tapi demi Allah, bukan itu niat kami. Pak tahu masanya telah tiba....Pak memang dah tahu...

Seperti malam-malam sebelumnya, bersilih ganti kami adik beradik, Umi dan Mak Su Dah membaca Al-Quran di bilik Pak setiap kali selesai solat dengan harapan bacaan-bacaan itu akan menguatkan semangat Pak dan juga semangat kami. Seusai bacaanku, perlahan Umi berbisik, "tengok ni, cuping telinga Pak, dah jatuh..."

Entah apa rasanya waktu itu, aku lupa, tapi yang pasti, aku tidak ingin percaya apapun tanda yang manusia kata kerana ajal itu, rahsia Allah.

Pagi Ahad datang dan aku pergi kerja seperti biasa. Tidak sempat kujenguk ke bilik Pak kerana sudah agak kelewatan. Waktu aku balik dari kerja, ada banyak kereta di hadapan rumah kami. Rupanya saudara-mara Pak datang melawat. 

Aku masuk ke bilik Pak, dan Umi bagitahu, Pak masih tak bercakap, makan atau minum. Pada sepanjang masa Pak hanya tidur dan sesekali dia mengerang kesakitan. Entah apa rasa Pak. Aku tak tahu. Walau sebanyak mana, aku urut dan gosok badannya, sungguh aku tak tahu bagaimana rasa sakitnya. Atau mungkin, Pak sudah tidak merasa sakit lagi....

Malam itu, bila semua tetamu sudah pulang, seperti biasa kami mengaji dan cuba bercakap dengan Pak. Sesekali aku baca kalimah Allah di telinga Pak. Setiap dari kami cuba memberitahu Pak kehadiran kami. Kami nak Pak tahu yang kami sentiasa disisinya, mengaji untuk dia dan doakan dia sepanjang masa. Malam itu, kami sepakat untuk sama-sama tidur di bilik Pak.

Bila Umi dan Mak Su Dah sudah bersiap-siap untuk tidur, dan lampu bilik dipadamkan, aku keluar sekejap untuk ke bilik air dan uruskan anak saudara yang matanya masih galak walaupun jam sudah lebih 12.30 tengah malam. 

Bila aku kembali ke bilik Pak, lampu bilik telah dibuka semula. Umi mengelap belakang Pak dengan air. Adikku Cha dan suaminya membaca Yasin tanpa putus. 

"Kenapa Mie?" tanyaku

"Badan Pak panas. Demam kot," jawab Umi

Pantas aku bersama-sama Umi, mengelap dan menggosok belakang Pak. Kurasa badannya sedikit panas.

"Ambil air zamzam," Umi bersuara lagi.

Umi mula mengelap belakang Pak dengan air zamzam. Mak Su Dah sapu air zamzam di muka dan bibir Pak.  Seketika, badan Pak kembali sejuk. Kupandang muka Umi, ada keanehan di situ.

Nafas Pak mula bertukar. Desahannya semakin kuat, turun dan naik seperti terkena serangan lelah.

"Mie, Pak lelah ke?" tanyaku.

Umi menggeleng, "tak tahu..."

Segera aku ke telinga Pak dan kusebutkan, "Pak ikut Na, sebut Allah!! Allah!! Allah!!"

Berulang kali kalimat suci itu aku bacakan ke telinga Pak. Desahan nafasnya tetap sama. Turun dan naik sekata.

"Na, cakap dengan Pak, Na dah maafkan Pak dan Na redha dengan Pak," suruh Umi.

Kuturuti kata Umi, "Pak....Na dah maafkan Pak. Na dah tak marah Pak. Na redha..." dan aku sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi selepas itu. Air mataku tidak mampu dibendung lagi.

Tempatku diganti oleh kakakku..... "Dee pun redha Pak. Pak sebut Allah....Allah.....Allah....."

Aku tidak tahu selama mana waktu berlalu, mungkin seminit, atau tiga minit atau lima minit, tetapi desahan nafas Pak tiba-tiba sudah tidak lagi kedengaran.... kupegang tangan Pak, masih terasa nadi di tangannya. Kalimah Allah terus dibaca ke telinga Pak. Aku sendiri tidak tahu apa status Pak pada waktu itu. Selepas beberapa minit berterusan. Tiada lagi bunyi yang kedengaran, hanya kalimah Allah yang terus kami kumandangkan.

Selang beberapa minit, adik iparku memeriksa nadi Pak sekali lagi dan kali ini kami terpaksa menerima hakikat bahawa Allah sudah mengambil Pak kembali ke sisiNya.

 


Monday, 10 December 2012

HATI SEORANG ANAK

Pagi-pagi lagi, Maksu Dah,masuk ke bilik, memberitahu Pak nak jumpa aku. Pantas aku mendengus, "kejap lah...orang tengah siap ni...."

Sengaja aku bersiap lama-lama.  Masih ada rasa marah yang tersisa dengan apa yang berlaku lima hari lepas. 

Tak lama selepas itu, telefonku pula berbunyi. Suara Umi, dihujung talian, meminta aku segera ke bilik Pak.

Tetapku lambatkan ikatan tudungku. Sungguh, aku masih rasa marah pada Pak.

Bila aku menjengah ke biliknya, kulihat Pak di dalam selimut, tubuhnya direngkokkan hampir terlipat dua. Matanya terpejam rapat. Umi dihujung kakinya mengurut badan Pak perlahan.

"Pak, Na dah datang ni..."

Perlahan Pak membuka matanya. Segera dihulurkan tangannya padaku, "Pak sakit sangat ni....Pak minta maaf ye."

Aku mencium tangannya tanpa rasa kasih. Aku memandangnya tanpa senyuman. Tiada rasa simpati. Tiada rasa belas. Sungguh hatiku masih marah.

Kehidupan keluargaku bukan seperti orang lain.Pak ada tiga isteri. Umi, ibuku adalah isteri yang pertama. Ma, isteri yang kedua dan Maksu Dah isteri yang ketiga. Maksu Dah dan anaknya, tinggal bersama keluarga kami sejak Pak sakit teruk hujung tahun lalu.

Aku rasa tak ada sebaik manusia seperti Umi yang penuh ikhlas dan redha menerima kehadiran madu di rumahnya. Aku tahu hatinya menangis. Aku tahu bebanan di bahunya. Tetapi demi suami tercinta, perasaan itu dikorbankan. Aku belajar erti redha dari Umi. Aku belajar menerima semua kepincangan dalam keluarga kami. Aku belajar untuk berbuat baik tanpa perlu mengharapkan balasan. Aku bersyukur kerana aku antara anak yang dipilih Allah untuk menjaga kedua ibu bapaku dan juga ibu tiri dan adik baruku.

Tetapi sejak lima hari lepas, hatiku sangat marah. Aku marah kerana Pak memilih untuk pulang ke rumah Ma, ketika aku masih di luar daerah kerana urusan kerja. Aku marah kerana aku memohon kepadanya supaya tidak ke mana-mana kerana keadaannya yang sangat uzur.

Memang sudah agak lama Pak di rumah Ma sebelum ini, sejak Mak Su Dah balik ke kampung kerana cuti sekolah. Tapi minggu lepas Ma sendiri yang hantar Pak balik ke rumah kami. Belum sempat seminggu, Pak sudah minta untuk balik semula ke sana.

Aku marah kerana Pak kata Umi tak boleh menjaganya dengan baik sebab ada cucu-cucu di rumah.

Tapi bila Maksu Dah balik semula ke rumah kami kelmarin, semalam juga Pak terus meminta kami mengambilnya semula.

Aku marah dengan alasan dan tindakan Pak yang sentiasa meletakkan Umi di tangga paling bawah dalam senarai isteri-isterinya.

Aku marah kerana dalam sakit-sakitnya, masih sempat Pak berceloteh hampir dua jam dengan kakak dan abang iparku yang melawatnya di rumah Ma tentang betapa baik dan solehahnya Ma dan Mak Su Dah. Betapa bangganya dia dengan anak Ma yang dijaga seperti anak sendiri dan betapa pandainya Mak Su Dah menjaga anaknya yang seorang itu sehingga diiktiraf sebagai anak soleh di sekolah. 

Dalam masa hampir dua jam itu, tidak ada satu cerita tentang Umi dan kami adik-beradik. Tiada langsung cerita tentang pengorbanan Umi yang melahirkan 8 orang anaknya. Tiada langsung cerita tentang kesabaran Umi mencari rezeki dan menjaga anak-anaknya, padahal waktu itu Pak memang jarang berada di rumah kerana urusan kerja. Tiada cerita kebanggaan tentang kejayaan kami adik beradik.

Siapa sebenarnya Umi dan kami di hati Pak?

Sungguh aku memang marah. Hati aku sangat sakit. Aku tidak mampu untuk bersimpati melihat keadaan Pak yang terlantar. Hati aku tidak lembut dengan permohonan maafnya. 

Tapi Ya Allah...memperlakukan Pak begitu, membuatkan hati aku bertambah sakit. Bagaimana kalau ini adalah hari-hari terakhir aku bersama dengan Pak? Apakah harus aku simpan rasa marah ini? Wajarkah aku terus rasa marah? Derhakakah aku?

Air mata ini tak mampu aku tahan dan sepanjang perjalanan ke pejabat, aku menangis sepuas-puasnya.