Sunday 23 December 2012

I AM SINGLE: LOSING ANOTHER SINGLED FRIEND

I don’t have many same aged friends who are still single. But I used to have two closed singled friends – L and B.


 B, aku dan L, kitaorang memang HOT kan? Hehehe

L  was my friend since high school. We lost contact after SPM and met again in 2009 when I moved to KL. It was a pleasant surprise to know that she was still single at that time. We used to hang out and spent a lot of time together. I always lepak at her house since she was living alone. I see her as someone really successful and content with her life. She was in a steady but complicated relationship and I have nobody (which I mean, “men’) in my life. Nonetheless, we never look down on each other. Being single and living on our own was fun. No worries. No heartache. 

One day, she has arranged a date for me, with our ex-school mate, C, who I never knew. I only met him once during our school reunion. At first glance, when I saw him during the reunion, he was clad in jeans and white shirt and she looked ‘not bad’ lah…so to say. But I never speak with him.

On one fine night, C called me and asked me out. L pun apa lagi…encouraged me to meet him. So, for L’s sake, I pun agree lah to meet this C. But then, when I met C, that spark that I have when I met him for the first time has gone. I totally couldn’t get along with him. So, no second date after that.

 Kitaorang tak minum air tu ok...haram. But we bored each other....oh God!

Months had gone, I already forgot about C and due to my busyness, I seldom get in touch with L. Then, I saw on Facebook status that L was having a relationship with C. I also knew about their engagement from Facebook and I also got invited to their wedding through facebook. Facebook rules uhhh??


My feeling?  I don’t know. I wasn’t disheartened with their relationship at all. I memang tak ada hati kat C langsung. So I was so happy when C and L were together.  I just felt so sad, that I was losing my one closed singled friend. Entahlah….tiba-tiba je, I felt alone and lonely.

Last Saturday, another closed singled friend, B, got married. B was my friend since uni days. Sadly due to my father’s demise, I could not attend her beautiful wedding. I am so very happy for B but the same feeling that I used to feel about L getting married lingered around and about me. Tiba-tiba, rasa macam nak nyanyi lagu Don’t Speak dari No Doubt. Sedih ok….

You and me...we used to be together....everyday together...always

Anyway, to B, I know, one fine day when you are not busy with your husband *wink*wink, you gonna read this entry. I just want you to know that I am truly happy for you. I pray for your happiness and your marriage to last until Jannah. Both of you complement each other as God has fated. Be patient with challenges of being married. Selamat membina keluarga dear. I love you and proud of you.

Ok, now, I am going to cry…………..


p/s: tak tahu kenapa entry ni ditulis dalam bahasa omputeh yang haru biru….*tekup muka dengan bantal*

HATI SEORANG ANAK (BAHAGIAN 3)

Pemergiaan Pak sangat mudah. Tiada perkara yang pelik berlaku. Pak pergi ketika alunan yasin berterusan dibacakan anak-anaknya. Pak pergi ketika kalimah Allah dibacakan di telinganya tanpa henti. Jenazah Pak diuruskan oleh anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu lelaki dengan bantuan ustaz di kampong kami. Alhamdulilah. Terima kasih Ya Allah kerana memberikan kemudahan ini kepada bapaku.


Wajah Pak seakan bayi yang tidur nyenyak, dengan kulit yang putih kuning seakan bercahaya. Sungguh ayahku sangat nyenyak tidurnya. Bibirnya menguntum senyum. Air mukanya tenang. Alhamdulilah, kami semua adik-beradik dapat mengucup dahi Pak dan menatapnya untuk kali terakhir.

Aku menangis semahuku. Ya Allah!! Kenapa secepat itu Kau ambil bapaku? Ya Allah…aku belum sempat memohon ampun dari Pak atas semua kesalahanku. Ya Allah….aku belum benar-benar menjaganya dengan baik. Ya Allah….aku masih ingin memeluk dan mencium ayahku. Ya Allah…….!!!!

Pak memang sayangkan aku. Antara anak-anak perempuannya aku dianggap paling mudah mendengar kata. Aku memang tidak melawan kata-katanya walaupun akal dan hatiku tidak dapat menerima apa yang diomonginya. Banyak kali Pak menggelarkan aku anak solehah.
  
Tapi bukan!! Aku bukan anak yang baik apatah lagi solehah! Di dalam diam aku menyimpan kemarahan terhadap kesakitan dan kesengsaraan Umi. Kemuncak kemarahanku seperti yang aku coretkan sebelum ini. Sungguh aku bukan anak yang baik apatah lagi solehah!!

Aku menangis semahuku. Aku menyesali egoku sebagai seorang anak. Ketika Pak beberapa kali memohon maafnya daripadaku, tiada sekali terucap dimulutku memohon ampun darinya.

Egonya aku sebagai anak yang merasakan hanya aku yang teraniaya dan Pak yang bersalah tanpa menilai dari sudut pandang Pak yang berbeza dan mengingati setiap kesusahan Pak membesarkan aku.

Egonya aku sebagai seorang anak yang meletakkan sumbangan materi sudah mencukupi sebagai tanda membalas jasa, sedangkan sentuhan kasih jarang kuberikan pada Pak. Soal menjaga Pak yang sakit, aku serahkan bulat-bulat pada Umi dan Mak Su Dah. 

Egonya aku Ya Allah….!!!

Aku masih ingat beberapa hari sebelum Pak meninggal, dia meminta aku tidur di biliknya tapi permintaan kubiarkan tanpa dipenuhi. Aku hanya tidur disisi Pak ketika Pak sudah lagi tidak dapat merasai hangatnya pelukanku atau lembutnya urutan tanganku.

Masih aku ingat di Jumaat yang terakhir itu, aku, adikku Kak Teh dan Umi duduk dekat dengan Pak sambil mengurut badannya perlahan. Pak membuka mata dan memandang kami seperti orang asing.

Pantas, aku memperkenalkan diri, “Pak, ni Na…Pak ingat dok Na?” 

Lantas Pak tersenyum lebar seakan lucu dengan soalanku, “ingat…..” dan menghulur tangannya menyalami aku dan memegang mukaku. Dan itulah huluran tangannya yang terakhir untukku.

Kalaulah aku tahu…masaku tak panjang bersama Pak, pasti aku gunakan sebaik-baiknya masa itu bersama Pak. Kalaulah aku tahu....waktu Pak telah terlalu hampir, pasti setiap huluran tangannya aku balas dengan ciuman kasih sayang. Kalaulah aku tahu....

Ah...tak baik berkata “kalau”, aku tahu itu.  Apa yang terjadi itulah yang takdir yang terbaik yang telah ditentukan Allah untuk hambanya.Tapi sungguh aku tidak mampu membendung rasa kesal terhadap masa-masa yang aku bazirkan tanpa memberikan sepenuhnya perhatian dan kasih sayangku pada Pak.

Kini, bila Pak sudah tidak ada, aku selalu menjenguk ke biliknya dan berharap dia masih ada di tilamnya menyambut ceria setiap kali aku menyapa. Aku tak kisah kalau Pak terus bercerita memuji Ma dan Mak Su Dah dan melupakan cerita tentang Umi, asalkan aku boleh terus mendengar suaranya dan melihat rasa cinta dan bangga di matanya. Aku tak peduli kalau Pak hanya terus terbaring ditilamnya asalkan aku tahu dia masih ada untuk aku peluk dan cium pipinya setiap pagi sebelum ke pejabat.

Tapi Pak sudah tidak ada dan Pak takkan pernah kembali…..!!

Apa yang tinggal hanya kenangan pahit manis aku bersama Pak yang akan aku kenang sampai bila-bila. Walau apapun Pak, buruk atau baiknya….dia lah bapaku dunia dan akhirat dan aku redha dia menjadi bapaku. Hanya doa mampu aku titipkan buat Pak dan hanya bacaan Quran yang mampu aku sedekahkan. Ketika waktu yang Allah berikan itu telah berlalu, penyesalan apapun pasti tidak akan berguna lagi.

Ya Allah, aku mohon padaMu, Kau ampunilah dosa-dosa bapaku. Kau lapang dan terangilah kuburnya. Kau jauhilah dia dari siksa kubur dan azab api neraka. Kau tempatkan dia bersama-sama hamba-hambaMu yang soleh. Kau sampaikanlah kepadanya setiap titipan doa dan sedekah kami kepadanya dan aku mohon kepadaMu Ya Allah, berkatilah kedua ibubapaku dengan menjadikan kami, anak-anak yang soleh dan solehah. Amin.

Al-Fatihah.


(Dalam kenangan: Ghazali bin Embong 10.12.1939 - 17.12.2012)

HATI SEORANG ANAK (BAHAGIAN 2)

Tanggal 17 Disember 2012, Isnin, lebih kurang jam 1.20 pagi, Pak telah pergi meninggalkan kami semua untuk selama-lamanya. Alhamdulilah, aku berada disisi Pak sehingga ke akhir hayatnya.
 
Keadaan Pak semakin teruk sejak hari Sabtu lagi. Pak sudah mula tidak bercakap, makan atau minum. Bila kami check gulanya, bacaannya sudah mencapai 21. Ya Allah! Masa tu tak tahu nak cakap apa. Umi minta pendapat kami semua sama ada nak hantar Pak ke hospital atau tak. Kami semua sepakat untuk merawat dan menjaga Pak di rumah. Masa Pak masih sihat pun, Pak memang enggan ke hospital. Jadi dalam waktu-waktu kritikal seperti ini, kami yakin kami mengambil langkah yang betul dengan memenuhi hajat Pak untuk terus berada di rumah.

Walau bagaimanapun, kami panggil juga doktor ke rumah untuk periksa keadaan Pak. Kata doktor tu, memang tak ada cara lain, kena juga bawa Pak ke hospital. Hati kami mula berbelah bagi. Kami cuba memujuk Pak untuk membawanya ke hospital. Dalam keadaannya sedar tak sedar, Pak mengangkat kedua tangannya seperti orang meminta maaf dan dengan lemah dia berkata, "Allah dah tentukan semuanya...."

Segera, aku pegang kedua tangan, "ok..ok...Pak...kita tak pergi hospital"

Ya Allah....tak tahu lah apa perasaan aku lihat keadaan Pak begitu. Sedih, pilu, pasrah... kami seolah-olah menunggu masa Pak pergi tanpa berusaha untuk berbuat apa-apa. Tapi demi Allah, bukan itu niat kami. Pak tahu masanya telah tiba....Pak memang dah tahu...

Seperti malam-malam sebelumnya, bersilih ganti kami adik beradik, Umi dan Mak Su Dah membaca Al-Quran di bilik Pak setiap kali selesai solat dengan harapan bacaan-bacaan itu akan menguatkan semangat Pak dan juga semangat kami. Seusai bacaanku, perlahan Umi berbisik, "tengok ni, cuping telinga Pak, dah jatuh..."

Entah apa rasanya waktu itu, aku lupa, tapi yang pasti, aku tidak ingin percaya apapun tanda yang manusia kata kerana ajal itu, rahsia Allah.

Pagi Ahad datang dan aku pergi kerja seperti biasa. Tidak sempat kujenguk ke bilik Pak kerana sudah agak kelewatan. Waktu aku balik dari kerja, ada banyak kereta di hadapan rumah kami. Rupanya saudara-mara Pak datang melawat. 

Aku masuk ke bilik Pak, dan Umi bagitahu, Pak masih tak bercakap, makan atau minum. Pada sepanjang masa Pak hanya tidur dan sesekali dia mengerang kesakitan. Entah apa rasa Pak. Aku tak tahu. Walau sebanyak mana, aku urut dan gosok badannya, sungguh aku tak tahu bagaimana rasa sakitnya. Atau mungkin, Pak sudah tidak merasa sakit lagi....

Malam itu, bila semua tetamu sudah pulang, seperti biasa kami mengaji dan cuba bercakap dengan Pak. Sesekali aku baca kalimah Allah di telinga Pak. Setiap dari kami cuba memberitahu Pak kehadiran kami. Kami nak Pak tahu yang kami sentiasa disisinya, mengaji untuk dia dan doakan dia sepanjang masa. Malam itu, kami sepakat untuk sama-sama tidur di bilik Pak.

Bila Umi dan Mak Su Dah sudah bersiap-siap untuk tidur, dan lampu bilik dipadamkan, aku keluar sekejap untuk ke bilik air dan uruskan anak saudara yang matanya masih galak walaupun jam sudah lebih 12.30 tengah malam. 

Bila aku kembali ke bilik Pak, lampu bilik telah dibuka semula. Umi mengelap belakang Pak dengan air. Adikku Cha dan suaminya membaca Yasin tanpa putus. 

"Kenapa Mie?" tanyaku

"Badan Pak panas. Demam kot," jawab Umi

Pantas aku bersama-sama Umi, mengelap dan menggosok belakang Pak. Kurasa badannya sedikit panas.

"Ambil air zamzam," Umi bersuara lagi.

Umi mula mengelap belakang Pak dengan air zamzam. Mak Su Dah sapu air zamzam di muka dan bibir Pak.  Seketika, badan Pak kembali sejuk. Kupandang muka Umi, ada keanehan di situ.

Nafas Pak mula bertukar. Desahannya semakin kuat, turun dan naik seperti terkena serangan lelah.

"Mie, Pak lelah ke?" tanyaku.

Umi menggeleng, "tak tahu..."

Segera aku ke telinga Pak dan kusebutkan, "Pak ikut Na, sebut Allah!! Allah!! Allah!!"

Berulang kali kalimat suci itu aku bacakan ke telinga Pak. Desahan nafasnya tetap sama. Turun dan naik sekata.

"Na, cakap dengan Pak, Na dah maafkan Pak dan Na redha dengan Pak," suruh Umi.

Kuturuti kata Umi, "Pak....Na dah maafkan Pak. Na dah tak marah Pak. Na redha..." dan aku sudah tidak mampu berkata apa-apa lagi selepas itu. Air mataku tidak mampu dibendung lagi.

Tempatku diganti oleh kakakku..... "Dee pun redha Pak. Pak sebut Allah....Allah.....Allah....."

Aku tidak tahu selama mana waktu berlalu, mungkin seminit, atau tiga minit atau lima minit, tetapi desahan nafas Pak tiba-tiba sudah tidak lagi kedengaran.... kupegang tangan Pak, masih terasa nadi di tangannya. Kalimah Allah terus dibaca ke telinga Pak. Aku sendiri tidak tahu apa status Pak pada waktu itu. Selepas beberapa minit berterusan. Tiada lagi bunyi yang kedengaran, hanya kalimah Allah yang terus kami kumandangkan.

Selang beberapa minit, adik iparku memeriksa nadi Pak sekali lagi dan kali ini kami terpaksa menerima hakikat bahawa Allah sudah mengambil Pak kembali ke sisiNya.

 


Saturday 15 December 2012

IKLAN TAK MALU



Salam semua...

Dah agak lama Miss Lastique tak menulis sebab agak kesibukan. Hari ni weekend maka aku ada sikit kelapangan nak belek-belek belog. Tapi sebelum tu sambil brefkes aku belek-belek suratkhabar dulu.. mak aiiii............!! Iklan dalam suratkhabar ni memang sungguh keterlaluan..satu iklan yang aku paling sakit kepala tengok tu iklan tah apa "produk kesihatan" kesihatan la kununnya, sejenis minuman kesihatan dan juga ada jenis krim untuk sapu kat bahagian anggota badan.

Satu jer aku nak luahkan kat  tokey produk tu dan tukang iklan : Aku menyampah tau tak !!!

Boleh tak kalau guna ayat-ayat yang lebih bersopan dan molek sikit biar orang tak pikir yang anda hanya menjual barangan berunsurkan seks semata-mata ! Antara ayat-ayat yang diaorang guna lebih kurang macam ni :

- Adik ketat abang melekat-
-Isteri montok suami terpikat-
-Abang power adik puashati-
-Isteri kencang suami tak cari lain-

Eiiii menyampah dan menjengkelkan tau tak !!?? Pastu letak pulak gambar muka model orang-orang biasa yang dah guna produk tu kunun..tersengih-sengih tunjuk muka tunjuk dada dengan pakai baju ketat tapi pakai tudung.. Ada jugak yang gambar laki dah tua krepot diapit oleh dua bini tersenyum sumbing dengan tajuk "Abang sungguh power, malam ni giliran siapa?". Sungguh kurang ajar !

 Pada pendapat aku macam stigma pembuat iklan tu takde pikir lain, semua ke arah seks semata-mata. Jadi apa lah bezanya iklan tu dengan iklan sex toys atau adult's toys yang ditampal kat tiang lampu isyarat kat simpang-simpang jalan tu? 

Ok lah . Itu jer aku nak kata. Memang aku tak akan beli la benda-benda yang dijual tu kalau semata-mata berpandukan iklan yang memanipulasikan pengguna dengan sogokan fikiran macam tu. 

p.s : Entri ni takde gambar sebab tak sanggup aku nak tengok !   

Monday 10 December 2012

HATI SEORANG ANAK

Pagi-pagi lagi, Maksu Dah,masuk ke bilik, memberitahu Pak nak jumpa aku. Pantas aku mendengus, "kejap lah...orang tengah siap ni...."

Sengaja aku bersiap lama-lama.  Masih ada rasa marah yang tersisa dengan apa yang berlaku lima hari lepas. 

Tak lama selepas itu, telefonku pula berbunyi. Suara Umi, dihujung talian, meminta aku segera ke bilik Pak.

Tetapku lambatkan ikatan tudungku. Sungguh, aku masih rasa marah pada Pak.

Bila aku menjengah ke biliknya, kulihat Pak di dalam selimut, tubuhnya direngkokkan hampir terlipat dua. Matanya terpejam rapat. Umi dihujung kakinya mengurut badan Pak perlahan.

"Pak, Na dah datang ni..."

Perlahan Pak membuka matanya. Segera dihulurkan tangannya padaku, "Pak sakit sangat ni....Pak minta maaf ye."

Aku mencium tangannya tanpa rasa kasih. Aku memandangnya tanpa senyuman. Tiada rasa simpati. Tiada rasa belas. Sungguh hatiku masih marah.

Kehidupan keluargaku bukan seperti orang lain.Pak ada tiga isteri. Umi, ibuku adalah isteri yang pertama. Ma, isteri yang kedua dan Maksu Dah isteri yang ketiga. Maksu Dah dan anaknya, tinggal bersama keluarga kami sejak Pak sakit teruk hujung tahun lalu.

Aku rasa tak ada sebaik manusia seperti Umi yang penuh ikhlas dan redha menerima kehadiran madu di rumahnya. Aku tahu hatinya menangis. Aku tahu bebanan di bahunya. Tetapi demi suami tercinta, perasaan itu dikorbankan. Aku belajar erti redha dari Umi. Aku belajar menerima semua kepincangan dalam keluarga kami. Aku belajar untuk berbuat baik tanpa perlu mengharapkan balasan. Aku bersyukur kerana aku antara anak yang dipilih Allah untuk menjaga kedua ibu bapaku dan juga ibu tiri dan adik baruku.

Tetapi sejak lima hari lepas, hatiku sangat marah. Aku marah kerana Pak memilih untuk pulang ke rumah Ma, ketika aku masih di luar daerah kerana urusan kerja. Aku marah kerana aku memohon kepadanya supaya tidak ke mana-mana kerana keadaannya yang sangat uzur.

Memang sudah agak lama Pak di rumah Ma sebelum ini, sejak Mak Su Dah balik ke kampung kerana cuti sekolah. Tapi minggu lepas Ma sendiri yang hantar Pak balik ke rumah kami. Belum sempat seminggu, Pak sudah minta untuk balik semula ke sana.

Aku marah kerana Pak kata Umi tak boleh menjaganya dengan baik sebab ada cucu-cucu di rumah.

Tapi bila Maksu Dah balik semula ke rumah kami kelmarin, semalam juga Pak terus meminta kami mengambilnya semula.

Aku marah dengan alasan dan tindakan Pak yang sentiasa meletakkan Umi di tangga paling bawah dalam senarai isteri-isterinya.

Aku marah kerana dalam sakit-sakitnya, masih sempat Pak berceloteh hampir dua jam dengan kakak dan abang iparku yang melawatnya di rumah Ma tentang betapa baik dan solehahnya Ma dan Mak Su Dah. Betapa bangganya dia dengan anak Ma yang dijaga seperti anak sendiri dan betapa pandainya Mak Su Dah menjaga anaknya yang seorang itu sehingga diiktiraf sebagai anak soleh di sekolah. 

Dalam masa hampir dua jam itu, tidak ada satu cerita tentang Umi dan kami adik-beradik. Tiada langsung cerita tentang pengorbanan Umi yang melahirkan 8 orang anaknya. Tiada langsung cerita tentang kesabaran Umi mencari rezeki dan menjaga anak-anaknya, padahal waktu itu Pak memang jarang berada di rumah kerana urusan kerja. Tiada cerita kebanggaan tentang kejayaan kami adik beradik.

Siapa sebenarnya Umi dan kami di hati Pak?

Sungguh aku memang marah. Hati aku sangat sakit. Aku tidak mampu untuk bersimpati melihat keadaan Pak yang terlantar. Hati aku tidak lembut dengan permohonan maafnya. 

Tapi Ya Allah...memperlakukan Pak begitu, membuatkan hati aku bertambah sakit. Bagaimana kalau ini adalah hari-hari terakhir aku bersama dengan Pak? Apakah harus aku simpan rasa marah ini? Wajarkah aku terus rasa marah? Derhakakah aku?

Air mata ini tak mampu aku tahan dan sepanjang perjalanan ke pejabat, aku menangis sepuas-puasnya.

Sunday 9 December 2012

I AM SINGLE: MENGHADAPI PERSEPSI

I just had a hot conversation with my friends at our whatsapp group when one of our friend popped this exact question to me:

"Apa nak sedih tak ada jodoh?"
 
First of all, aku kena betulkan soalan tu. Jodoh itu tetap ada dan telah ditetapkan oleh Allah sejak di Loh Mahfuz lagi. Kalau jodoh manusia itu tidak ada di dunia, maka Allah telah tetapkan jodohnya di Akhirat kelak.

Next limb of the question. Apa nak sedih? Ok, cuba kita ubah situasi soalan. 

Cuba tanya soalan yang hampir sama kepada orang yang dilahirkan tidak ada tangan sedangkan kau sendiri ada dua tangan yang sempurna.

"Apa nak sedih tak ada tangan?"

Kau rasa dalam keadaan tu, apa orang yang tak ada tangan tu akan rasa? Oren?

***

Anyway to answer that question, relakan aku berleter panjang lebar kat blog ni.

YES. there were times that I feel sad but not all the times. Sila rujuk entry aku kat sini untuk faham apa yang aku rasa. Perasaan self pity itu akan sentiasa ada, datang dan pergi, but I live my life well. My life is not gloomy, in fact penuh warna warni. 

Tapi aku rasa sedih dengan soalan yang ditimbulkan. Kerana soalan itu adalah satu persepsi yang menganggap hidup aku tak bahagia, tak ceria, stressful dan depressed.

Dan aku akan bertambah sedih, bila rentetan daripada soalan itu, akan datang ayat-ayat consolation yang kononnya untuk menaikkan semangat aku supaya aku berfikir bahawa aku adalah lebih baik daripada mereka yang telah berkahwin.

LIKE SERIOUSLY?? 

Kalau perkahwinan itu suatu yang membebankan, kenapa Allah menghalalkan, bahkan pada satu tahap mewajibkan?

Kalau perkahwinan itu tidak seronok, kenapa setiap kali cuti sekolah tak cukup kaki aku nak kena pergi jemputan kahwin?

Kalau perkahwinan itu tidak perlu dan menyekat kehidupan korang, kenapa korang kahwin wehhh?? Kenapa korang tetap berdoa supaya perkahwina korang tetap kekal bahagia sehingga akhir hayat?

Kalau perkahwinan itu boleh menyebabkan kau merana kerana kemungkinan laki kau akan madukan kau dan sia-siakan kau, kenapa korang tetap setia dalam perkahwinan? Kenapa??

So, janganlah bagi ayat-ayat buku novel yang tak masuk akal.

Perkahwinan itu adalah perkongsian kasih sayang antara lelaki dan perempuan. Walau apa pun keadaan rumahtangga korang sekarang ini, korang mesti masih merasa manisnya saat diijabkabulkan menjadi suami isteri, saat indahnya berjalan berpimpinan tangan, saat kentutpun berbau wangi. Ya, kerana perkahwinan itu adalah manifestasi cinta korang.

Dan kerana itu, korang terus berada di dalam ikatan perkahwinan itu. Bohonglah kalau korang nak hidup berseorangan, kalau ada lelaki yang bergelar suami sanggup menemankan. Bohonglah kalau korang nak memilih untuk tidak berkahwin, dan melupakan peluang untuk menatap wajah-wajah comel anak-anak korang. 

Perkahwinan itu sunnah dan satu ibadat. Tapi seperti perkara-perkara lain, ada yang akan berjaya dan ada yang tidak. Ada yang berjaya mengemudi bahtera perkahwinan hingga sekarang, ada yang karam tengah lautan dan ada yang dapat penumpang tambahan. 

Tapi perkahwinan bukanlah sesuatu yang perlu dielakkan kerana perkahwinan itu adalah fitrah.

SO, JUST CUT THE CRAP!! 
 
Aku sendiri bukan memilih untuk tidak berkahwin, tetapi Allah belum memberikan izin untuk aku merasai nikmat perkahwinan itu. Jodoh itu rahsia Allah dan aku terima dugaan itu dengan penuh redha. 

Hidup aku OK. Yang tak OK adalah persepsi orang lain tentang hidup aku.

Friday 7 December 2012

CINTA YANG SATU





الرحمنالرحي - Ya-Rahmaan-Nu-Ya-Rahiim (Maha Pengasih, Maha Penyayang; The All Beneficent, The Most Merciful) (Berulang 100X)
Barang siapa yang mengulangi menyebut “Ya-Rahmaan-nu-Ya-Rahiim” 100 kali selepas solat subuh, setiap orang akan berbaik dengannya dan suka menolongnya apabila dalam kesusahan.

العزي - Ya-‘Aziz (Maha Gagah; The Almighty, the Self Sufficient) (Berzikir 40X Setiap hari selama 40 hari)
Barang siapa berzikir “Ya-‘Aziz” 40 kali tiap-tiap hari selama 40 hari dan sebaik-baiknya selepas solat subuh, insyAllah dirinya di kayakan dan di muliakan Allah dan tidaklah dia mengharapkan hajat kepada seseorang daripada makhluknya. Sebaik-baiknya selepas solat subuh.

الفتاح - Al-Fattaah (Maha Pembuka Rahmat; The Opener, the Victory Giver) (Berzikir 71X)
Barang siapa berzikir “Ya-Fattaah” 71 kali tiap-tiap lepas solat subuh dan menadahkan tangannya ke atas, insyallah bersih dan bercahaya hatinya, mudah pula pekerjaannya dan terhindar hatinya daripada perasaan cintakan dunia.

المجي - Ya-Majiid (Maha Mulia; The Illustrious, the Magnificent) (Berzikir 99X)
Barang siapa berzikir “Ya-Majiid” 99 kali setiap hari selepas solat subuh, lalu ditiupkannya kepada kedua-dua tangannya dan di sapukannya kedua-dua tangannya itu ke mukanya insyallah lahir kemuliaan dan kasih sayang antara keluarganya.

الحميد - Ya-Hamiid (Maha Terpuji; The All Praiseworthy) (berzikir 62X)
Barang siapa berzikir “Ya-Hamiid” 62 kali tiap-tiap lepas solat maghrib dan subuh, insyallah jadilah dia terpuji dalam perbuatan dan perkataannya.

الحميد - Ya-Hamiid (Maha Terpuji; The All Praiseworthy) (berzikir 99X)
Barang siapa berzikir “Ya-Hamiid” 99 kali selepas solat subuh, kemudian di tiupkannya pada kedua-dua tangannya lalu di sapukan ke mukanya, insyallah dirinya di muliakan, di bantu urusan hidupnya dan wajahnya bersih berseri.

السمي - Ya-Samii’ (Maha Mendengar; The All Hearing) (Membaca 100X)
Barang siapa yang membaca “Ya-Samii” 100 kali dan membisu kepada sesiapa pada hari Khamis selepas menunaikan solat zuhur, Allah akan makbulkan segala hajatnya.

Selepas Fardhu Maghrib

الرافع - Ya-R’ (Yang Meninggikan (makhluknya); The Exalter) (Berzikir 100X atau 40X) Mlm Isnin & Mlm Jumaat
Barang siapa berzikir “ Ya-Raafi’ ” 100 kali atau 40 kali pada setiap malam Isnin atau malam Jumaat, selepas solat maghrib dan isyak, insyallah dirinya menjadi hebat di kalangan para makhluk Allah.

المعز - Ya-Mu’izz (Yang Memuliakan (makhluknya); The Giver of Honor) (Menyebut 140X) Mlm Isnin & Mlm Jumaat
Barang siapa berzikir “Ya-Mu’izz” 140 kali selepas solat maghrib tiap-tiap malam Jumaat atau Isnin, insyallah dirinya kelihatan hebat pada pandangan makhluk lain, seumpama hebatnya harimau di hati haiwan yang lain di hutan, dan tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah Taala.

الحميد - Ya-Hamiid (Maha Terpuji; The All Praiseworthy) (Berzikir 62X)
Barang siapa berzikir “Ya-Hamiid” 62 kali tiap-tiap lepas solat maghrib dan subuh, insyallah jadilah dia terpuji dalam perbuatan dan perkataanya.

الرافع - Ar-Raafii’ (Yang Meninggikan (makhluknya); The Exalter) (Berzikir 100X atau 40X) Mlm Isnin & Mlm Jumaat
Barang siapa berzikir “ Ya-Raafi’ ” 100 kali atau 40 kali pada setiap malam Isnin atau malam Jumaat, selepas solat maghrib dan isyak, insyallah dirinya menjadi hebat di kalangan para makhluk Allah.

المعز - Ya-Mu’izz (Yang Memuliakan (makhluknya); The Giver of Honor) (Menyebut 140X) Mlm Isnin & Mlm Jumaat
Barang siapa yang menyebut “Ya-Mu’izz” 140 kali selepas solat isyak pada malam Isnin dan Jumaat, Allah akan memberinya kemuliaan pada pandangan orang lain dan dia tidak takut kepada sesiapa juga melainkan Allah.

الأخر - Ya-Aakhir (Maha Akhir; The Last) (Berzikir 100X)
Barang siapa berzikir “Ya-Aakhir” 100 kali tiap-tiap lepas solat isyak, insyallah hatinya bersih dan bertambah-tambah kebaikan pada akhir hayatnya.

الرشيد - Ya-Rasyiid (Maha Pandai; The Guide, Infallible Teacher, and Knower) (Berzikir 100X)
Barang siapa mengekalkan berzikir “Ya-Rasyiid” 100 kali tiap-tiap lepas solat isyak, insyallah segala amalannya di terima.

الله الحي - Ya-Allah-Ya-Haiyu (Tuhan Yg Maha Hidup; God, The Ever Living) (Berzikir 100X sebelum solat Jumaat)
Barang siapa berzikir “Ya-Allah-Ya-Haiyu” 100 kali pada setiap Hari Jumaat sebelum solat Jumaat dalam keadaan dirinya suci daripada hadas dan najis serta menghadirkan hati (khusyuk), di mudahkan baginya segala yang di tuntut dan di perjuangkan.

الظاهر - Ya-Dzoohir (Maha Nyata; The Manifest; the All Victorious) (Membaca 15X)
Barang siapa yang membaca “Ya-Dzoohir” 15 kali selepas solat Jumaat, insyallah cahaya (nur) Illahi akan menyinari hatinya.

Selepas Solat lima waktu 

الله - Ya-Allah (Tuhan, God) (Berzikir 66X setiap 66 hari)
Barang siapa berzikir “Ya-Allah” 66 kali selama 66hari tiap-tiap lepas solat fardhu, insyallah dirinya memperoleh kemuliaan dan kebaikan yang banyak dalam ilmu duniawi dan ukhrawi.

الرحمن - Ya-Rahmaan (Maha Pengasih; The All Beneficent) (Berzikir 100X)
Barang siapa berzikir “Ya-Rahmaan” 100 kali tiap-tiap hari setiap lepas solat fardhu, insyallah dirinya terhindar daripada sifat lupa dan lalai.

الرحمن - Ya-Rahmaan (Maha Pengasih; The All Beneficent) (Berulang 100X)
Barang siapa yang mengulangi menyebut “Ya-Rahmaan” 100 kali setiap selepas solat fardhu dirinya akan memperoleh ingatan yang baik, kesedaran yang mendalam dan memiliki hati yang bersih.

العليم - Ya-‘Aliim (Maha Mengetahui (Memiliki Ilmu); The All Knowing, the Omniscient) (Berzikir 100X)
Barang siapa berzikir “Ya-‘Aliim” 100 kali setiap lepas solat fardhu lima waktu, insyallah dia akan mendapat ilmu makrifat, kasyaf ( ertinya terbuka hijab : nampak sesuatu yang ghaib melalui pandangan hati, seolah-olah benda yang nampak itu terlihat nyata pada kedua-dua mata; misalnya diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. di perlihatkan Allah tentang jenazah Raja Najasyi yang bernama Asyahamah. Nabi (s.a.w.) pun solat ghaib ke atas raja itu ) dan memperoleh iman yang sempurna.

العدل - Ya-‘Adl (Maha Adil; The Utterly Just) (Berzikir 104X)
Barang siapa berzikir “Ya-‘Adl” 104 kali setiap lepas solat, insyallah dirinya masyhur banyak keadilan di lakukan lantas ramai yang tertarik kepadanya.

الحلي - Ya-Haliim (Maha Penyantun; The Forbearing, the Indulgent) (Berzikir 88X)
Barang siapa mengekalkan berzikir “Ya-Haliim” 88 kali tiap-tiap lepas solat, insyallah pangkat atau kedudukannya berkekalan.

الحميد - Ya-Hamiid (Maha Terpuji; The All Praiseworthy) (berzikir 100X)
Barang siapa berzikir “Ya-Hamiid” 100 kali setiap kali lepas solat fadhu lima waktu, insyallah dirinya menjadi orang yang soleh.

الرحي - AR-RAHIIM (Maha Penyayang; The Most Merciful)
Barang siapa berzikir “Ya-Rahiim” 100 kali tiap-tiap hari, insyallah lembut hatinya dan kasih sayang kepada makhluk.

الملك - AL-MALIK (Maha Merajai/Memerintah; The King, The Sovereign)
Barang siapa berzikir “Ya-Malik” 121 kali setiap hari selepas waktu fajar atau ketika gelincir matahari, insyallah di bukakan pintu rezeki luas untuknya.

القدوس - AL-QUDDUS (Maha Suci; The Most Holy)
Barang siapa berzikir “Ya-Quddus” 100 kali setiap hari, dirinya terlepas daripada segala kebimbangan dan kecemasan.

السلام - AS-SALAAM (Maha Memberi Kesejahteraan; Peace and Blessing)
Barang siapa yang mengulangi menyebut “Yaa-Salaam” 160 kali di tujukan kepada orang yang sedang sakit maka insyallah dapat menolong pesakit itu sembuh.
Barang siapa membaca “Salaam Mualaika Aiyuhan Nabiyu Warrah-matullah hiwabarakatuh” 100 kali setiap hari, insyallah dirinya mudah menghadapi sakratulmaut (kesukaran mengahadapi ajal yang akan berpisah dari badan) dan mudah pula baginya melakukan segala pekerjaan.
Barang siapa membaca “Salaamun Kau Lamin-Rabbir-Rahim” 28 kali setiap hari pada musim (wabak) penyakit melanda, insyallah dirinya terselamat daripada penyakit itu.

المؤمن - AL-MUKMIN (Yang Memberi Keamanan; The Guarantor)
Barang siapa mengulangi menyebut “Ya-Mukmin” insyallah dirinya terselamat daripada sebarang bencana.
Barang siapa berzikir “Ya-Mukmin” insyallah bertambah-tambah imannya.

الجبار - AL-JABBAAR (Maha Perkasa; The Powerful, the Irresistible)
Barang siapa yang mengulangi menyebut “Ya-Jabbaar”, insyallah dirinya terpelihara daripada membuat sesuatu yang bertentangan dengan larangan Allah dan terselemat daripada kejahatan, kekerasan, kesulitan atau paksaan.

المتكبر - AL-MUTAKABBIR (Maha Megah, Yang Memiliki Kebesaran; The Tremendous)
Barang siapa yang mengulangi menyebut “Ya-Mutakabbir” sebelum menyetubuhi isterinya, insyallah dirinya di kurniakan anak yang sihat dan soleh.

البارئ - AL-BAARI (Yang Melepaskan (Membuat, Membentuk, Menyeimbangkan); The Maker)
Barang siapa berzikir “ Ya-Baari’ ” 100 kali siang dan malam, selama tujuh hari berturut-turut, insyallah dirinya selamat daripada kebinasaan dan dia tidak berasa takut ketika dalam kuburnya kelak.
Barang siapa berzikir “ Ya-Baari’ “ 100 kali pada setiap malam hari selama tujuh malam berturut-turut, insyallah sembuh segala penyakit di hidapinya.

الغفار - AL-GHAFFAAR (Maha Pengampun; The Ever Forgiving)
Barang siapa yang berulang kali membaca “Ya-Ghaffaar” akan di ampuni Allah SWT segala dosanya.
Barang siapa inginkan kemewahan harta, anak dan di beri rezeki yang berkat, maka hendaklah di lazimkan membaca “Astaghfirullah Innahu Kana Ghaffaaran” sebanyak 70 kali setiap hari, insyallah di kabulkan segala keinginannya”.

الوهاب - AL-WAHHAAB (Maha Pemberi Karunia; The Bestower)
Barang siapa yang menyebut berulangan “Ya-Wahhaab” sebanyak 7 kali semasa memohon sesuatu daripada Allah, permohonannya dimakbulkan.

الرزاق - AR-RAZZAAQ (Maha Pemberi Rezeki; The Ever Providing)
Barang siapa berzikir “Ya-Razzaaq” 20 kali selama 20hari berturut-turut, di lakukan pada awal pagi sebelum makan dan minum, insyallah dia di beri kefahaman yang mendalam dan sempurna dalam sesuatu perkara (ilmu).
Barang siapa yang berulang kali menyebut “Ya-Razzaaq” maka Allah akan membantu usahanya agar berjalan lancar.

العليم - AL-‘ALIIM (Maha Mengetahui (Memiliki Ilmu); The All Knowing, the Omniscient)
Barang siapa yang berulang kali menyebut “Ya-‘Aliim”, insyallah hatinya akan di sinari cahaya nur yang suci.

القابض - AL-QAABIDH (Yang Menyempitkan (makhluknya) The Restrainer, the Straightener)
Barang siapa berzikir “Ya-Qaabidh” 100 kali setiap malam Jumaat, insyallah bertambah hampir hatinya kepada Allah.

الباسط - AL-BAASIT (Yang Melapangkan (makhluknya); The Expander, the Munificent)
Barang siapa menyebut “Ya-Baasit” 10 kali pada waktu fajar dengan menadah tangan, kemudian menyapu ke mukanya maka dia dapat berdikari ( tanpa bergantung kepada orang lain ).

الرافع - AR-RAAFI’ (Yang Meninggikan (makhluknya); The Exalter)
Barang siapa berzikir “ Ya-Raafi’ “ 70 kali setiap hari atau malam, insyallah dirinya terselamat daripada orang zalim dan pencuri.

المذل - AL-MUDZILL (Yang Menghinakan (makhluknya); The Giver of Dishonor)
Barang siapa yang menyebut “Ya-Mudzill” 75 kali, insyallah dirinya di jauhkan daripada bencana dan orang yang ingin membinasakannya.

العظي - AL-‘AZIIM (Maha Agung; The Magnificent, the Infinite)
Barang siapa yang membaca berulang kali, insyallah dirinya di muliakan.

الغفور - AL-GHAFUUR (Maha Pengampun; The All Forgiving)
Barang siapa yang menghidap pening kepala, demam dan berputus asa lalu di baca berulang kali “Ya-Ghafuur” insyallah sembuh penyakitnya.
Barang siapa yang mengamalkan sebanyak mungkin setiap hari, insyallah doa dan permohonannya di kabulkan.

الشكور - AS-SYAKUUR (Maha Pembalas Budi (Menghargai) The Grateful)
Barang siapa yang menghidap sesak nafas, lelah (penat) badan atau daif matanya lalu menulis “Ya-Syakuur” 40 kali dan di hapuskan dengan air lalu di sapukan ke badan atau matanya dan juga di minum, insyallah dia mendapat berkat daripadanya.
Barang siapa yang susah hati lalu membaca “Ya-Syakuur” 41 kali dan menghembuskan nafas ke dalam segelas air kemudian membasuh mukanya dengan air itu, insyallah hatinya akan terang dan dia akan dapat menguasai dirinya.

الكبير - AL-KABIIR (Maha Besar; The Great)
Barang siapa yang membaca “Ya-Khabiir” 100 kali setiap hari, insyallah akan beroleh penghormatan.

الحفيظ - AL-HAFIIZ (Maha Menjaga; The Preserver)
Barang siapa yang membaca “Ya-Hafiiz” 16 kali setiap hari akan di jauhi Allah daripada sebarang kecelakaan. Apabila seseorang ditimpa bahaya atau berada di hutan belantara bacalah “Ya-Hafiiz” 99 kali, dirinya selamat daripada bahaya binatang buas berkat penjagaan Allah SWT.

المقيت - AL-MUQIIT (Maha Pemberi Kecukupan The Nourisher)
Barang siapa yang membaca “Ya-Muqiit” berulang kali dalam segelas air lalu di beri minum kepada anak yang nakal, insyallah perangai anak itu akan bertukar baik.

الحسيب - AL-HASIIB (Maha Membuat Perhitungan; The Reckoner)
Barang siapa berzikir (mulai hari Khamis) “Ya-Hasiib” 77 kali selama tujuh hari dan pada awal pagi sebelum terbit matahari dan selepas waktu maghrib, insyallah dirinya di amankan daripada segala yang di takutinya.

الكري - AL-KARIIM (Maha Pemurah; The Bountiful, the Generous)
Barang siapa yang berulang kali membaca “Ya-Kariim”, insyallah dia mendapat kemuliaan di dunia dan akhirat.

الرقيب - AR-RAQIIB (Maha Mengawasi The Watchful)
Barang siapa yang membaca “Ya-Raqiib” 7 kali, keluarga dan harta bendanya akan di jaga oleh Allah SWT.
Barang siapa berzikir “Ya-Raqiib” 50 kali dengan niat meminta di pelihara daripada kejahatan yang tersembunyi, insyallah dirinya terpelihara.
Barang siapa takut isterinya keguguran maka bacalah “Ya-Raqiib” 7 kali insyallah janin (bayi) di dalam kandungan itu tiada gugur.

المجيب - AL-MUJIIB (Maha Mengabulkan; The Responsive, the Answerer)
Barang siapa yang membaca “Ya-Mujiib” berulang kali dan memohon sesuatu daripadanya, nescaya akan di terima Allah SWT.
Barang siapa berzikir “Ya-Mujiib” 55 kali lalu berdoa terutama ketika terbit matahari, insyallah di kabulkan doanya.

الحكيم - AL-HAKIIM (Maha Bijaksana; The Wise)
Barang siapa yang berulang kali membaca “Ya-Hakiim” tanpa henti-henti dari semasa ke semasa, insyallah dirinya tidak akan menemui kesulitan dalam setiap pekerjaannya.

المجي - AL-MAJIID (Maha Mulia; The All Glorious)
Barang siapa yang menyebut “Ya-Majiid” berulang kali, Allah akan menerangi jiwanya.

الباعث - AL-BAA’ITS (Maha Membangkitkan; The Raiser of the Dead)
Barang siapa yang membaca “Ya-Baa’its” berulang kali, nescaya dirinya berasa takut kepada kekuasaan Allah SWT.
Barang siapa berzikir “Ya-Baa’its” 100 kali ketika hendak tidur lalu melekapkan tangan di atas dadanya insyallah di terangkan hatinya dan di beri ilmu dan hikmat.

الشهيد - AS-SYAHIID (Maha Menyaksikan; The Witness)
Barang siapa mempunyai anak yang nakal dan selalu melawan ibubapa, apabila membaca “Ya-Syahiid” berulang kali kepada anaknya, insyallah anak itu akan menurut perintah.

الحق - AL-HAQQ (Maha Benar; The Truth, the Real)
Barang siapa yang hilang sesuatu lalu menyebut “Ya-Haqq” berulang kali, insyallah akan di temui semula barangnya yang hilang itu.
Barang siapa memperbanyakkan berzikir “Ya-Haqq” pada tiap-tiap malam insyallah di tetapkan hatinya berbuat taat.

الوكيل - AL-WAKIIL (Maha Memelihara; The Trustee, the Dependable)
Barang siapa takut angin kencang (ribut), petir dan seumpamanya, amalkan membaca “Ya-Wakiil” sebanyak mungkin, insyallah dirinya terhindar daripada bahaya tersebut.
Barang siapa berzikir “Ya-Wakiil” 66 kali hingga 1000 kali pada setiap hari atau malam, insyallah di bukakan baginya segala pintu kebaikan dan rezeki.

المتين - AL-MATIIN (Maha Kukuh; The Firm, the Steadfast)
Barang siapa berzikir “Ya-Matiin” 10 kali keatas anak-anak kecil lelaki atau perempuan, insyallah mereka terpelihara daripada kejahatan zina.
Barang siapa yang menghadapi kesusahan lalu menyebut “Ya-Matiin” berulang kali, insyallah kesusahan yang di alaminya itu akan terhapus.

- AL-WALIY (Maha Melindungi; The Protecting Friend, Patron, and Helper)
Barang siapa yang berulang kali menyebut “Ya-Waliy”, insyallah dirinya berkemungkinan menjadi waliyyullah (orang yang menjadi kekasih Allah).
الحميد - AL-HAMIID (Maha Terpuji; The All Praiseworthy)
Barang siapa yang menyebut “Ya-Hamiid” berulang kali insyallah dirinya akan di kasihi dan di hormati.

المبدئ - AL-MUBDI’ (Maha Memulai; The Producer, Originator, and Initiator of all)
Barang siapa yang membaca “ Ya-Mubdi’ ” sambil menghembuskan nafas ke arah perempuan mengandung yang takutkan keguguran, insyallah dia akan terhindar daripada bahaya tersebut.
Barang siapa membanyakkan berzikir “ Ya-Mubdi’ ” setiap hari siang dan malam dengan tiada terhitung banyaknya selama sebulan, insyallah hartanya di banyakkan dengan tiada terkira jumlahnya.

المعي - AL-MU’IID (Maha Mengembalikan Kehidupan; The Reinstater Who Brings Back All)
Barang siapa yang membaca “Ya-Mu’iid” 70 kali di tujukan untuk seorang yang berjauhan dengan keluarganya, insyallah orang itu akan pulang dengan selamat.

المحيى - AL-MUHYI (Maha Menghidupkan; The Giver of Life)
Barang siapa yang menanggung beban yang berat lalu membaca “Ya-Muhyi” 7 kali setiap hari, insyallah bebannya akan di ringankan atau terhapus sama sekali.

الحي - AL-HAYY (Maha Hidup; The Ever Living)
Barang siapa yang berulang kali membaca “Ya-Hayy”, insyallah di panjangkan umurnya.
Barang siapa memperbanyakkan zikir “Ya-Hayy”, Allah berkenan memberikan penerang hati dengan cahaya tauhid dan iman, sehinggakan si pengamalnya selamat daripada sifat munafik, syirik, dengki, bongkak, dendam dan lain-lain sifat seumpamanya.

القيوم - AL-QAYYUUM (Maha Berdiri; The Self Subsisting Sustainer of All)
Barang siapa yang membaca “Ya-Qayyuum” berulang kali, insyallah dirinya tidak akan menjadi lalai.
Barang siapa memperbanyakkan berzikir “Ya-Qayyuum”, insyallah di hilangkan daripadanya tabiat tidur yang keterlaluan atau lalai.

الواحد - AL-WAAHID (Maha Esa; The One, the All Inclusive, the Indivisible)
Barang siapa yang membaca “Ya-Waahid” berulang kali ketika keseorangan dan di tempat yang sunyi, insyallah dirinya terselamat daripada perasaan takut dan khayalan.

الصمد - AS-SAMAD (Maha Dibutuhkan, Tempat Meminta; The Self Sufficient, the Impregnable, the Eternally Besought of All, the Everlasting)
Barang siapa berzikir “Ya-Samad” 125 kali waktu sahur, insyallah zahir kebenaran pada hatinya.
Barang siapa berzikir “Ya-Samad” 150 kali tiap-tiap hari, insyallah kuat kehendaknya dan di tolong atas kebaikan dan tidak merasakan sakit dan kelaparan.
Barang siapa yang membiasakan berzikir “Ya-Samad” dan secara kebetulan dia kehilangan sesuatu barang, insyallah barang yang hilang itu akan di perolehi kembali.

القادر - AL-QAADIR (Maha Menentukan, Maha Menyeimbangkan; The All Able)
Barang siapa yang lazim membaca “Ya-Qaadir” berulang kali, insyallah semua permintaannya akan di terima Allah.

المقتدر - AL-MUQTADIR (Maha Berkuasa; The All Determiner, the Dominant)
Barang siapa mengekalkan berzikir “Ya-Muqtadir” 100 kali setiap ketika bangun tidur, insyallah dirinya dalam inayah dan petunjuk Allah Taala SWT.

المؤخر - AL-MUAKHKHIR (Maha Mengakhirkan The Delayer, He who puts far away)
Barang siapa membaca “Al-Muakhkhir” 100 kali dalam hatinya setiap hari, dirinya hanya menaruh cinta kepada Allah. Dia tidak akan di ganggu oleh perasaan yang lain.

الأول - AL-AWWAL (Maha Awal; The First)
Barang siapa memperbanyakkan berzikir “Ya-Awwal” ketika memulai tiap-tiap pekerjaan, insyallah pekerjaan yang di lakukannya mencapai kesempurnaan.

الأخر - AL-AAKHIR (Maha Akhir; The Last)
Barang siapa membaca “Ya-Aakhir” berulang kali, insyallah dirinya akan memperoleh kehidupan yang baik. Pada akhir penghidupan, dia akan menemui maut dengan keadaan yang baik juga.

الباطن - AL-BAATIN (Maha Ghaib; The Hidden; the All Encompassing)
Barang siapa yang membaca “Ya-Baatin” 3 kali setiap hari, insyallah dirinya akan dapat melihat kebenaran sesuatu perkara.
Barang siapa berzikir “Ya-Baatin” 33 kali tiap-tiap hari, insyallah dirinya di jadikan daripada golongan ahli yakin.

الوالي - AL-WAALI (Maha Memerintah; The Patron)
Barang siapa membanyakkan berzikir “Ya-Waali” ketika takut bahaya atau petir, insyallah dirinya berasa aman.

البر - AL-BARR (Maha Penderma; The Most Kind and Righteous)
Barang siapa yang membaca “Ya-Barr” berulang kali kepada anaknya, insyallah dirinya akan terlepas daripada sebarang bahaya.
Barang siapa membanyakkan berzikir “Ya-Barr”, insyallah berhasil baginya kebaikan yang besar.

التواب - AT-TAWWAAB (Maha Penerima Tobat; The Ever Returning, Ever Relenting)
Barang siapa membaca “Ya-Tawwaab” berulang kali, nescaya taubatnya di terima Allah SWT. Sesiapa yang membanyakkan membaca “Ya-Tawwaab”, nescaya di permudahkan baginya jalan kembali yang benar dan di redhai Allah SWT.

العفو - AL-‘AFUWW (Maha Pemaaf; The Pardoner, the Effacer of Sins)
Barang siapa yang membaca “Ya-‘Afuww” berulang kali, nescaya semua dosanya di ampunkan oleh Allah SWT.
Barang siapa membanyakkan berzikir “Ya-‘Afuww” 156 kali atau lebih tiap-tiap hari siang atau malam, insyallah di bukakan baginya pintu kemaafan dan keampunan.

مالك الملك - MAALIKUL-MULK (Penguasa Kerajaan (Semesta); The Owner of All Sovereignty)
Barang siapa membaca “Ya-Maalikul-Mulk” berulang kali, insyallah dirinya akan mendapat penghormatan daripada orang ramai.

الرؤوف - AR-RAAUUF (Maha Pengasih; The Compassionate, the All Pitying)
Barang siapa berzikir “Ya-Raauuf” 10 kali ketika marah atau di marahi orang ataupun berada di sisi orang marah lalu membaca selawat “Allahumas Sali-aala-Muhammad” 10 kali, insyaAllah di hilangkan perasaan marahnya atau kemarahan orang lain.
Barang siapa yang banyak berzikir “Ya-Raauuff” setiap hari pada waktu siang dan malam, insyallah sesiapa sahaja yang melihat mukanya akan menaruh simpati dan mereka bersedia memberikan pertolongan. Zikir ini amat berguna bagi semua peringkat masyarakat golongan manusia yang mencari keredaah Allah di muka bumi ini.

الجامع - AL-JAAMI’ (Maha Mengumpulkan; The Gatherer, the Unifier)
Barang siapa kehilangan sesuatu, maka hendaklah dia berzikir “ Ya-Jaami’ ” sebanyak-banyaknya, insyallah di kembalikan atau di gantikan sesuatu yang hilang itu dengan segera.
Bagi ibubapa yang kehilangan anak, sama ada lari dari rumah atau merantau tanpa pengetahuannya (ibubapa), jika ibubapa itu membaca “ Ya-Jaami’ ” sebanyak mungkin, nescaya anaknya akan pulang semula ke pangkuannya berkat pertolongan Allah SWT.

المغنى - AL-MUGHNI (Maha Memberi Kekayaan; The Enricher, the Emancipator)
Barang siapa yang membaca “Ya-Mughni” 10 kali selama 10 kali Jumaat, insyallah dirinya akan beroleh rezeki yang cukup.
Barang siapa berzikir “Ya-Mughni” dalam hatinya ketika hendak berjimak (bersetubuh) dengan isterinya, insyallah kian mendalam kasih isterinya.

الضار - AD-DHAAR (Maha Memberi Derita; The Distressor, the Harmer)
Barang siapa yang tergolong dalam golongan bawahan, jika mereka membaca “Ya-Dhaar” berulang kali pada malam Jumaat, darjatnya ditinggikan oleh Allah SWT.
Barang siapa berzikir “Ya-Dhaar” 100 kali tiap-tiap malam Jumaat, insyallah dirinya di hampirkan kepada rahmat Allah SWT.

الناف - AL-NAAFI’ (Maha Memberi Manfaat The Propitious, the Benefactor)
Barang siapa membaca “ Ya-Naafi’ ” selama empat hari beberapa banyak yang boleh, insyallah dirinya tidak akan di timpa bencana.
Barang siapa (suami) berzikir “ Ya-Naafi’ ” dalam hati ketika berjimak (bersetubuh) dengan isterinya, insyallah bertambah kasih isterinya dengan mendalam dan di berikan Allah anak yang soleh. Sesiapa yang berdukacita dan di jangkiti penyakit, cubalah amalkan membaca “ Ya-Naafi’ ”, insyallah perasaan dukacita akan segera hilang dan jika sakit akan segera sembuh.

النور - AN-NUUR (Maha Bercahaya (Menerangi, Memberi Cahaya) The Light)
Barang siapa membaca “Ya-Nuur” berulang kali akan mendapat cahaya Illahi dalam dirinya.
Barang siapa berzikir “Ya-Nuur” tiap-tiap hari, siang atau malam, insyallah di terangkan hati dan anggotanya.

الباقي - AL-BAAQI (Maha Kekal; The Ever Enduring and Immutable)
Barang siapa yang membaca “Ya-Baaqi” 100 kali sebelum matahari terbit, insyallah dirinya terhindar daripada sebarang bencana sepanjang hayat dan akan kekal beroleh keampunan di akhirat kelak.
Barang siapa berzikir “Ya-Baaqi” sebanyak yang termampu pada setiap pagi dan petang, siang atau malam, insyallah kedudukannya (pangkat) tidak tergugat dan jika dia sebagai usahawan, perniagaannya tidak mudah bankrap. Dan banyak lagi khasiat yang tidak terkira oleh manusia.

الوارث - AL-WAARIS (Maha Pewaris The Heir, the Inheritor of All)
Barang siapa membaca “Ya-Waaris”, insyallah umurnya panjang. Barang siapa mengekalkan berzikir “Ya-Waaris” 100 kali sebelum terbit matahari tiap-tiap hari, insyallah tiada sesuatu pun yang dapat memberi mudarat pada jasadnya (anggotanya).

الصبور - AS-SABUUR (Maha Sabar The Patient, the Timeless)
Barang siapa berzikir “Ya-Sabuur” 100 kali pada tiap-tiap hari sebelum terbit matahari, insyallah dirinya terhindar daripada bala pada hari itu.


Nota Miss Lastique : Sama-samalah kita amalkan dan beroleh keberkatanNya.