Wednesday, 3 July 2013

NOKTAH CINTA (PT. 5)

KANTOI

3A rancak berborak tanpa menghiraukan Ustazah Linda Jasmine yang sedang mengajar di hadapan kelas. Bergilir-gilir komik manga yang dibawa oleh Aril bertukar tangan di antara mereka. Sesekali mereka ketawa kecil. 

“Pang!!!!” Ustazah Linda memukul meja Hafiz dengan rotannya. Komik manga yang baru dibeli oleh Aril semalam dirampas dari tangan Hafiz. 

“Kalau kamu bertiga rasa dah cukup pandai, tak nak dengar saya mengajar, tak payah datang sekolah! Berdiri di luar kelas sekarang!!” jerit Ustazah Linda sambil menjegilkan matanya. Merah padam mukanya yang putih melepak itu menahan geram dengan kenakalan 3A yang memang tak pernah serik melakukan kesalahan yang sama.

Hafiz, Aril dan Akim perlahan-lahan bangun dari tempat duduk mereka dan berdiri di luar kelas. Puas hati Ustazah Linda dapat melihat muka monyok ketiga-tiga pelajarnya itu. Dia kemudian meneruskan pelajaran pagi itu.

“Koranglah!! Aku dah cakap tunggu rehat. Dah manga aku kena rampas,” getus Aril geram.

“Ustazah ni tengah naik bendara merah kot, lain macam jer dia meroyan hari ni,” bisik Akim yang berdiri di tengah-tengah di antara Hafiz dan Aril disambut ketawa mengekek rakan-rakannya.

“Hafiz, Rianalah..!!” separuh terjerit suara Aril apabila melihat susuk Riana yang baru keluar dari kelas 6 Atas Hanafi – selang 3 kelas dari 6 Atas Syafiee.

“Woii cepat, cepat cover aku!!” kata Hafiz panik. Cepat-cepat dia mengambil tempat di tengah-tengah di antara Aril dan Akim, dengan harapan susuk Akim yang tinggi dapat menyembunyikannya dari pandangan Riana. 

Semua guru di Temenggung Aziz sudah lali dengan kenakalan 3A. Sudah biasa sangat mereka melihat 3A dihukum samada di dalam kelas, di padang sekolah atau semasa perhimpunan hari Isnin. 3A juga jarang mengambil iktibar, sebaliknya menjadikan hukuman-hukuman yang diterima sebagai bahan lawak mereka bertiga. Tapi tidak kali ini! Hafiz tidak mahu Riana melihatnya dalam keadaan ini. Entah kenapa dia berasa perlu menjaga reputasinya di mata Riana.

Aril dan Akim tidak dapat menahan ketawa melihat kepanikan Hafiz walaupun agak pelik bagi mereka sebenarnya.

“Ya Allah!! Kamu ni memang tak pernah insafkan?? Kat dalam kamu buat bising, mengganggu kawan-kawan kamu sedang belajar. Di suruh berdiri di luar pun, masih tak boleh diam??” nyaring suara Ustazah Linda menyebabkan Cikgu Riana menoleh kebelakang dan terpandang mereka bertiga. Muka Riana serius dan sedikit berkerut. Hafiz merasa sangat tidak selesa.

3A menundukkan kepala mereka, sedikit segan! Bila Ustazah Linda masuk semula ke dalam kelas, perlahan Hafiz bersuara, “Adoiii…kantoi!!” sambil menepuk dahinya. Akim dan Aril menutup mulut dan bahu mereka terhenjut-henjut menahan gelak.

RIANA

Lagu “Noktah Cinta” berlagu merdu di telefon bimbit Riana. Segera Riana menyelesaikan doanya yang panjang seusai solat isyak. Sekilas dia melihat nama yang muncul di skrin telefonnya sebelum dia menekan butang “answer”.

“Assalamualaikum Dr. Syafi”

“Wa’alaikumussalam. Lamanya saya tak dengar berita awak. Riana apa khabar?” gembira Dr. Syafi bila mendengar suara Riana yang ceria.

“Alhamdulilah, saya sihat. Dr. macam mana pulak?” jawab Riana mesra.

“Hahaha, saya ok tapi saya sentiasa risaukan awak di sana. Awak gembira dengan tempat baru?” tanya Dr. Syafi lagi. 

“Happy sangat!. Tempat baru yang permai, sekolah yang best dan anak-anak murid yang happening sangat. Memang betul cakap Dr. saya memang memerlukan “environment” baru,” panjang Riana bercerita.

Di hujung talian, Dr. Syafi menarik nafas lega, “Baguslah. Lega saya mendengarnya”.

Agak lama juga mereka berbual sebelum Dr. Syafi mengakhiri perbualan.

“Awak kena terus buat rawatan susulan Riana dan tak boleh skip makan ubat”, pesan Dr. Syafi berkali-kali.
“Ye lah Dr. Saya ingat tu. Insya Allah!” Riana meyakinkan Dr. Syafi.

Riana menghela nafas dengan panjang. Perlahan dia mengurut dadanya. Panggilan Dr. Syafi menyebabkan Riana terkenang kembali kenangan lama yang ingin dilupakan. “Idham Haikal,” tanpa sengaja, nama itu terpacul dari mulut Riana dan satu-persatu helaian memori itu terpapar di ruang matanya.

<> 

Majlis perkahwinannya tinggal seminggu lagi. Semua persiapan sudah hampir selesai. Emak dan Ayah beriya-iya mahukan majlis perkahwinan ini dijalankan secara besar-besaran walaupun Riana lebih senang jika bersederhana sahaja. Tapi menolak keinginan Emak dan Ayah pasti akan mengecilkan hati mereka. Lagipun Idham anak tunggal mereka. 

Muka Riana berseri-seri. Hari ini tunangannya akan pulang dari New York. Sudah enam tahun Riana tidak berjumpa Idham Haikal, hanya e-mail menjadi penghubung kasih mereka walaupun dua tahun kebelakangan ini, tunangannya agak sibuk dengan kerja dan pengajian PhD.nya hingga jarang mengutus berita.

Riana tidak sabar untuk menatap wajah Idham yang terkini secara “live”. Riana tersenyum sendirian. Dia tak dapat menyembunyikan rasa terujanya. Kata Emak, tak elok bertemu tunangan di minggu terakhir sebelum menikah tapi Riana tak mahu mempercayainya.

“Kolot lah Emak ni, lagipun Abang Idham tetap akan balik rumah ni jugak, takkan nak suruh dia tidur Hotel. Riana rindu Abang la Mak” ujar Riana manja.

“Ye lah..ye lah,” Emak mengalah dan ketawa melihat anak perempuan kesayangannya yang tidak malu langsung mempamerkan perasaan rindu dan terujanya. Tapi Riana akur arahan Emak supaya tidak menjemput Idham di lapangan terbang.

“Tunggu kat rumah jer…tak manis bakal pengantin keluar jemput tunangnya sendiri,” kata Emak.

Dibiliknya, Riana cuba menyiapkan baki bunga telur yang perlu diselesaikan tapi satu pun tak berjaya.  Dadanya berdebar-debar, fikirannya tak keruan. Berkali-kali dia beraksi di hadapan cermin berangan tentang dialog pertama yang akan diucapkan kepada Idham bila bertemu nanti.

Deruan enjin kereta di hadapan rumah menyedarkan Riana dari anganannya. Segera dia berlari keluar menuju ke pintu rumah. Bibirnya menguntum senyuman paling manis, matanya mula berkaca menahan kerinduan sekian lama. “Abang Idham sudah pulang,” desis hatinya gembira.

Emak sudah keluar dari kereta tapi kenapa mata Emak merah? Ayah tidak mematikan enjin kereta dan kepalanya ditelengkupkan ke stering. Riana kehairanan. Apa yang telah berlaku? Pintu kereta dibuka dari tempat penumpang dan Idham keluar dari kereta. Mata Riana membulat, senyumannya makin lebar, “ohhh…dia masih kacak seperti dulu.” 

Belum sempat Riana meluru ke arah Idham, dari pintu yang sama keluar seorang wanita cantik berbangsa Inggeris. Wanita itu segera memeluk lengan Idham. Jantung Riana berdegup kencang. Sandiwara apakah ini? Idham dan wanita cantik itu menghampiri Riana.

Idham menghulurkan tangannya kepada Riana. Dalam terpinga Riana menyambut dan mengucup tangan lelaki yang dirinduinya itu. Idham tersenyum sambil menggosok-gosok kepala Riana seperti yang selalu dilakukannya waktu kecil. 

“Makin cantik adik abang ni. Kenalkan ini Olivia, isteri abang,” bersahaja Idham bersuara tanpa ada sedikitpun rasa bersalah.

Mulut Riana terlopong. Huluran tangan Olivia tidak bersambut. Pandangannya tiba-tiba bertukar kabur, kepalanya terasa pusing dan belum sempat dia berbuat apa-apa, Riana sudah terjelepuk di halaman rumah. Sayup, Riana mendengar jeritan Emak, “Rianaaaaaaaaaaaaaa!!!!”  

Monday, 1 July 2013

NOKTAH CINTA (PT. 4)



ANEHNYA PERASAAN ITU

Dari tengah padang, Hafiz melihat Cikgu Riana sedang melakukan stretching dengan pasukan bola jaring yang dilatihnya. Berseluar trek biru, berbaju T kuning dan bertudung bunga-bunga warna senada, Cikgu Riana tampak sangat ringkas dengan wajah polos tanpa mekap. Sesekali suara halus Cikgu Riana bertukar nyaring ketika memberi arahan. Dalam apa keadaanpun senyum dibibirnya tidak pernah lekang dan dua lesung pipit itu menjadi pelengkap gaya. Hafiz tersenyum sendirian. Memang lesung pipit itu sentiasa menjadi igauan malamnya.

“Woii…main betul-betul lah,” jerit Akim. Marah bila hantaran bolanya tidak disambut Hafiz.

Hafiz segera sedar dari anganannya dan kembali menumpukan perhatian pada permainannya. Tamat separuh masa pertama, Hafiz segera mencapai sebotol air mineral dan berlari menuju ke gelanggang bola jaring, diikuti oleh Akim dan Aril dan beberapa rakan sepasukan lain. Masa rehat untuk mencuci mata katanya.
“Cikgu, air?” pelawa Hafiz kepada Riana.

“Oh, terima kasih! Latihan awak dah habis ke?” tanya Riana sambil menyambut botol air mineral yang dihulurkan Hafiz.

“Belum lagi. Time rehat ni…cuci mata dulu.” Jawab Hafiz sambil tergelak.

“Oh…mata siapa yang awak cuci?” Riana cuba mengorek rahsia pemuda comel itu.

“Cikgulah,” jawab Hafiz tapi jawapan itu hanya berbunyi di dalam hati. Mulutnya menjawab nakal, “siapa lagi kalau bukan si sexy Claudia.”

“Ohh suka yang seksi. Tapi sayang kawan kamu dah kebas dulu,” sambil kepalanya terarah kepada Akim dan Claudia yang rancak berbual di tepi padang. Hafiz hanya ketawa kecil. “Saya tak kisahpun Cikgu,” tutur Hafiz di dalam hati.

“Kalau macam tu, saya cuci mata tengok Akim je lah.” Hafiz terus melawak.

Hampir tersembur air yang diteguk Riana mendengar kata-kata Hafiz. Tanpa sedar, Riana terus ketawa besar. Hafiz hanya tersenyum tapi matanya tidak lepas memandang wajah Riana yang kemerahan ketawakan lawaknya yang tidak seberapa. Dan ada perasaan aneh menyelinap di hatinya mendengar ketawa Riana yang berirama seperti muzik indah di telinganya.

Erin di bangku simpanan menggetap bibir menahan geram melihat kemesraan Hafiz dan Riana. Aril yang sedari tadi memerhatikan Erin, memberanikan diri mendekatinya.

“Hai!” sapa Aril lembut.

“Hai!” jawab Erin di dalam senyum kelat.

“Kenapa tak main hari ni? Sakit ke?” perlahan Aril membuka bicara.

“Kaki injured”, jawab Erin pendek.

“Aril minta maaf pasal diari tu,” Aril menyambung bicara. 

“hmmm….” Erin mengangguk sambil matanya tunduk memandang bumi.

“Erin, Aril..mmm…Aril…mmm….”

Belum sempat Aril menghabiskan ayatnya, Erin bingkas bangun, “Ok, saya nak jumpa Zizi kejap. Bye!”. Erin terus bergegas ke hujung gelanggang tanpa menoleh ke arah Aril.

“Erin mesti sangat membenciku,” desis hati Aril.

Kedengaran di tengah padang, Cikgu Aris membunyikan wisel. Dengan segera Aril, Akim, Hafiz dan rakan-rakan pasukan berlari meninggalkan gelanggang bola jaring dan meneruskan latihan mereka.

Usai latihan, Aril dan Hafiz bergandingan pulang ke rumah. Akim tidak bersama-sama mereka berdua petang itu. Ada dating dengan Claudia katanya. Aril dan Hafiz telah masak dengan perangai kasanova Akim. Pantang ada peluang, mesti tak dilepaskan. Tapi tak boleh nak salahkan Akim juga, kalau Akim tak mencari, gadis-gadis pula yang mencarinya. Jejaka hot lah katakan.

“Kau rasa kita ada peluang ke nak menang minggu depan?” tanya Hafiz memecah kesunyian.

 “Ada kot…” jawab Aril acuh tak acuh. Fikirannya masih lagi memikirkan Erin yang dingin melayannya.

Tidak puas hati dengan tingkah Aril, Hafiz terus menyoal, “Engkau kenapa, sejak dua menjak ni aku tengok lain macam jer…”

“Mana ada apa-apa. Aku ok,” jawab Aril.

“Engkau dengan Erin ada apa-apa ke? Tadi aku tengok bukan main lagi kau berborak ngan dia,” Hafiz terus menduga.

“Uhh??!! Borak jer terus ada apa-apa ke??” Aril mencebik, risau rahsia hatinya terbongkar.
Hafiz ketawa mengekek. “Kot-kot lah kau lupa janji 3A. Tapi boleh jer kalau nak test power macam Akim. Jangan bila aku test power aku nanti, Erin terlepas kat aku pulak.”

“Habis Riana, kau nak letak mana?” Aril mengejek.

“Dalam poket aku, time exam baru keluarkan, senang nak tolong aku jawab soalan,” jawab Hafiz dalam ketawa yang masih bersisa. 

“Jadi kau memang suka Riana lah. Ooooooiiii…Hafiz jatuh cinta kat cikgu sendiri!!!” pekik Aril walaupun tiada orang di jalanan melainkan mereka berdua.

“Woii…woiiit..woiiit..Gila kau!!” secepat kilat satu tumbukan tipis hinggap di bahu Aril.

Dalam tawa, Aril mengaduh kesakitan tapi tumbukan Hafiz tidak dibalas. Hafiz turut ketawa. Hatinya terasa sangat bahagia.

HAFIZ

Gelak ketawa Cikgu Riana siang tadi masih terngiang-ngiang di telinga Hafiz. Wajah manis cikgu muda itu bermain-main dimindanya. Sesekali dia tertawa sendiri. Entah kenapa seperti ada satu fasa baru telah tercetus di dalam dirinya. 

Figura Cikgu Riana yang periang, sporting, penyayang dan bijak sangat menyenangkan hatinya. Cikgu Riana suka ketawa dan Hafiz sangat gembira bila leluconnya yang tidak seberapa menyebabkan Riana ketawa bersungguh-sungguh. Cikgu Riana juga sabar melayan kerenahnya, tatapan matanya lembut penuh keibuan walaupun Hafiz tahu kadang-kadang tingkahlakunya agak keterlaluan. Senyuman Riana tampak ikhlas dengan lesung pipit yang manis menggetarkan kalbunya. Lontaran suaranya yang lembut dan halus serta aksi-aksinya di kelas yang kadang-kadang agak keanak-anakan menyebabkan Hafiz terkesima. 

“Perasaan apakah ini? Astaghfirullahalazim, ampuni aku Ya Allah… Riana adalah guruku!! Tapi lesung pipit itu…ahhhh……. “ Hafiz tersenyum nakal sambil menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba menguis perasaan aneh itu dari hati dan fikirannya.

Hafiz sudah lama tidak merasai sentuhan kasih seorang perempuan di rumahnya.  Di rumah hanya ada dia dan Daddy. Daddynya seorang pelukis. Masanya banyak dihabiskan di studio kecil di bahagian atas rumah dua tingkat itu. Seminggu sekali Makcik Siti Hajar, jirannya yang diupah oleh Daddy datang membasuh pakaian dan membersihkan rumah. Makan pula selalunya di”order” terus dari Warung Wak Askrul yang terletak tidak jauh dari rumahnya. 

Daddy dan Mummynya telah lima tahun bercerai. Mummynya telah berkahwin lain dan berpindah ke Singapura. Atas arahan Mahkamah, Hafiz dijaga oleh Daddy dan Aisyah, adiknya dijaga oleh Mummy. Hafiz hanya dapat berjumpa Mummy dan Aisyah setahun sekali, itupun ketika Hari Raya Haji. Namun begitu hubungan Hafiz dan Aisyah sangat rapat. Telefon dan internet menjadi penghubung mereka setiap hari. Aisyah yang muda setahun dari Hafiz adalah perempuan yang paling Hafiz sayangi di dunia. 

Sunday, 23 June 2013

NOKTAH CINTA (PT. 3)



ADA RASA TAK TERDUGA


“Melayu adalah jati diri. Apa yang tertulis di dalam Perlembagaan adalah terlalu general dan tidak melambangkan maksud melayu yang sebenar. Kalau macam tu senang lah kaum-kaum lain nak masuk melayu,” lantang Akim menzahirkan pendapatnya.


“Habis, kamu rasa apa interpretasi yang lebih baik menggambar Melayu mengikut fahaman kamu?” Soal Riana. 


“Aaaa……..oiii, tolong ar aku,” Akim tergagap sambil mencuit Hafiz yang ralit memandang Riana, minta pertolongan.


 “Kenalah tengok keturunan Cikgu,” Hafiz menjawab yakin.


“Dan bagaimana kamu menentukan keturunan, Hafiz?” soal Riana lagi mencabar intektualiti pelajarnya. Dia memandang Hafiz lembut dengan senyuman sinis menampak dua lekuk manis di pipinya.


“Adoii…lesung pipit itu, nak fikir pun tak boleh dah”, hati Hafiz berbicara sendiri, tetapi dengan spontan bibirnya mengukir senyuman nakal dan menjawab, “keturunan boleh ditentukan dengan bentuk badan, warna kulit, raut wajah dan mmmm...mungkin juga lesung pipit”. 


Hafiz mengenyitkan matanya kepada Riana yang sedikit terperanjat dengan jawapan yang diberi sebelum ikut ketawa bersama-sama rakan-rakan sekelasnya.


Riana mengerutkan dahi menyembunyikan senyum dan cuba berlagak tenang. Namun pipinya terasa panas.

“Kita tengok juga kaum tu pernah bersunat atau tidak Cikgu,” sampuk Aril tiba-tiba.


Dan Riana tidak dapat menahan ketawanya lagi.  Sekali lagi kelas 6 Atas Syafiee hingar-bingar dengan hilai tawa pelajar dan gurunya. Subjek Pengajian Am tidak membosankan lagi.


Bila kelas hari itu berakhir, Riana berasa lega. Method pengajarannya berjaya menarik minat pelajar. Walau macam mana dia cuba memberikan perhatian secara sama rata kepada semua pelajarnya, dia tidak dapat menafikan kadang-kala perhatiannya lebih tertumpu kepada 3A terutamanya Hafiz. Tiba-tiba pipinya terasa panas kembali. Rasa malunya masih bersisa dengan usikan Hafiz tadi. 


Riana tahu Hafiz selalu curi-curi memandangnya ketika dia mengajar. Ada masa lirikan nakal Hafiz cuba menguji hati perempuannya. “Ah…anak itu memang sangat nakal,” bisik hati Riana sambil tertawa kecil. 

Sudah tentu Riana tidak melayan kenakalan Hafiz tetapi dia tidak dapat menafikan taman hatinya berputik gembira. Riana menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba mengusir perasaan manis itu dari mindanya.


Erin juga perasan perubahan sikap Hafiz semasa kelas Cikgu Riana. Hafiz lebih fokus dari biasa, padahal Pengajian Am bukan subjek kegemarannya. Erin juga perasan renungan Hafiz yang berbeza pada Cikgu Riana dan Erin tidak dapat menahan rasa cemburunya.


“Apalah yang dipandang pada anak dara tua tu..” getus hatinya marah sambil menggenggamkan tangannya.

“Erin, kau marahkan sape tu?? Kot yer pun, tahan-tahan la sikit, jangan bagi orang nampak” tegur Zizi, sahabat baik Erin sambil tertawa.


“Eh, Zizi, takder apalah. Aku dok fikir macam nak balas dendam kat 3A ni, tak habis diaorang ganggu aku,” bohong Erin.


“Kalau kau tak tahan sangat, mungkin kau patut bagitau cikgu pasal diaorang tu. Mintak injunksi supaya diaorang tak boleh mendekati kau dalam lingkungan radar 100m”, cadang Zizi yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.


“Hahaha..injunksi? Nak report kat mahkamah mana?” Erin tergelak manja.


“Eh, aku serius lah. Cikgu Riana kan cikgu kaunseling baru. Apa kata kau pergi jer mengadu kat dia,” Zizi terus memberi cadangan.


“Riana?? Uhhhhh…baik tak payah. Sah-sah dia akan menyebelahi 3A,” getus Erin, tiba-tiba rimas bila nama Riana disebut.


“Eh, engkau ni kenapa?? Tak baik kau cakap macam tu. Aku tengok Cikgu Riana tu ok jer,” nasihat Zizi yang kehairanan dengan jawapan teman baiknya itu.


Erin mengangkat bahu, diam dan terus melayan perasaan. Hatinya sakit setiap kali dia teringat cara Hafiz memandang Riana dan perasaan cemburunya pada Riana semakin membuak. 


ERIN


Berwajah bujur sirih dan berkulit putih bersih. Erin antara pelajar perempuan tercantik di Temenggung Aziz tapi bukan pelajar paling popular, mungkin kerana sikapnya yang pendiam dan merendah diri. Pun begitu pemujanya bukan sedikit. Namun hatinya tidak terbuka untuk sesiapapun yang cuba mendekati. Walaupun dilahirkan di dalam keluarga yang sangat berada, Erin dididik untuk hidup sederhana. Kerana itulah dia dihantar ke sekolah biasa bukan sekolah antarabangsa yang terkenal di ibukota. 


Kesibukan Mama dan Papanya, menyebabkan Erin sangat rapat dengan kakaknya Isma, sementalahan pula mereka hanya dua beradik. Jarak umur mereka yang jauh menyebabkan Erin sangat manja dengan kakaknya. Kadang-kadang Kak Ismalah pengganti Mama, tempat Erin bergantung kasih dan mencurahkan masalah remajanya. 


Segalanya cukup sempurna untuk Erin sehinggalah Isma meninggalkan rumah dua tahun lepas. Erin tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan Papa terlalu marah dan menghalau Kak Isma keluar dari rumah. Bila Kak Isma pergi, tiada siapapun dibenarkan untuk menyebut nama Kak Isma di dalam rumah. Mama sangat sedih, Erin tahu tapi Mama tidak berani membantah Papa. Erin juga tidak berani membantah Papa.


Kini, diari baldu merah, hadiah Kak Isma pada harijadinya yang ke 16 menjadi peneman setia. Diari itulah saksi semua luahan rindunya pada Kak Isma. Dairi itu juga tempat dia mencurahkan perasaan aneh yang dirasakan terhadap Hafiz. Rasa cemburunya pada Riana. Diari itu adalah rahsia hatinya yang paling dalam.

Tiba-tiba Erin rasa bersalah kerana merasa cemburu pada gurunya sendiri. 

“Ya Allah, tak berkat pelajaran aku nanti,” desis hati Erin. Diari baldu merahnya ditutup dan diletakkan di bawah bantalnya.