Thursday 19 June 2014

NOKTAH CINTA (PT. 18)

MERISIK BAHAGIA

Sudah tiga hari Riana berada di kampung. Di saat-saat akhir, Riana terpaksa memohon dikecualikan dari menjaga peperiksaan tahun ini kerana Emak beriya-iya menyuruh dia pulang ke kampung.

“Apa kata Doktor, Riana?” tanya Emak semasa mereka sama-sama duduk di serambi rumah sambil minum petang.

“Macam tu lah jugak,” jawab Riana pendek.

“Tak ada cara lain?”

Riana menggeleng.

 “Alah Mak…jangan risau lah, teknologi kan dah makin maju sekarang ni. Treatment yang lepas tu macam sesuai jer dengan Riana. Insya Allah ada cara nak sembuhkan sakit Riana ni. Dan Riana tahu Tuhan akan bagi Riana hidup banyak tahun lagi untuk jaga Mak ngan Ayah,” Riana cuba menceriakan Emak.

“Ayah takut kitaorang yang tak hidup lama untuk jaga kamu Riana,” sampuk Ayah, tiba-tiba muncul entah dari mana.

“Awak dah bagitau Riana?” tanya Ayah pada Emak.

Emak menggelengkan kepala. Tiba-tiba dada Riana berdebar, “Bagitau apa Mak, Ayah?”

Perlahan Emak menarik nafasnya, “Riana masih ingat Zakwan?”

Riana tersenyum menampakkan lesung pipit manisnya, “Mesti lah ingat Mak, kenapa? Dia dah nak kahwin e?”

Otaknya segera mengingati wajah lelaki berkulit cerah bernama Amir Zakwan yang sangat dibencinya semasa kecil hingga remaja, kawan sepermainannya yang juga sepupu Idham. Zakwan sangat suka mengusiknya. Kadang-kadang usikannya sangat melampau sehingga menyebabkan Riana menangis. Masa itu, Idham lah yang selalu memujuknya. Zakwan dan Idham memang berbeza. Idham lemah lembut penuh kasih sayang, Zakwan sangat kasar, cakapnya pun tak pernah bertapis. Sejak mereka menginjak dewasa, Riana sudah jarang bertemu Zakwan. Kalau berjumpapun, mesti tak tahu nak cakap apa.

“Pak Uteh dengan Mak Uteh ada datang dua minggu lepas, merisik Riana untuk Zakwan.”

Senyuman di wajah Riana terhenti. Amir Zakwan merisik aku? Uhh?? Seingat aku, dulu, dia dah ada girlfriend. Bising Mak Uteh bercerita tentang teman wanita Zakwan semasa bertandang ke rumah Emak waktu tu. Tapi itu, tiga tahu dulu…

“Riana fikirlah baik-baik. Ayah dengan Mak tak paksa tapi kami risau sampai bila Riana nak hidup seorang. Dah tiba masanya Riana bahagia macam orang lain. Lagipun Pak Uteh itu adik Ayah, sekurang-kurangnya bila Ayah dengan Mak tak ada, kami tahu kami dah serahkan Riana pada orang yang kami boleh harap untuk jaga Riana,” panjang Ayah berhujah.

Riana mengeluh perlahan, “Riana boleh jaga diri sendiri lah, Ayah. Lagipun Riana tak bersedia lagi.”

“Sampai bila-bilapun kamu tak kan pernah bersedia Riana. Ayah tahu sangat apa yang kamu fikirkan. Idham dah ada dua anak dah. Tak payah lah kamu harapkan dia lagi,” nasihat Ayah.

“Mana ada Riana tunggu Abang Idham!” sedikit meninggi suara Riana. Bingkas dia bangun, berlari ke biliknya. Airmatanya mengalir laju.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>>> 

Riana mengunci dirinya di dalam bilik. Puas Emak cuba memujuk tapi tidak diendahkannya. Kata-kata Ayah betul-betul menghiris hatinya. Bertahun-tahun Riana menyulam kasih, bukan mudah untuk dilupakan sekelip mata. Tapi Riana tak pernah harapkan Abang Idham lagi. Riana tak harapkan sesiapapun. Riana terus menangis.

Sebenarnya sudah lama Riana tidak memikirkan Idham. Kalaupun Riana teringat, ingatan itu tidak lagi menyakitkan hatinya. Ya…sudah lama wajah Idham tidak lagi mengganggu emosinya. Sejak dia berpindah ke Temenggung Aziz. Sejak Hafiz datang dalam hidupnya. Gelak tawa, senyuman manis, lirikan nakal anak itu yang menghiasi hari-harinya hingga bayangan Idham sudah tidak lagi membawa makna. Hafiz yang suka mengusiknya. Hafiz yang sentiasa cuba menyenangkan hatinya.

“Apa sahaja untuk Cikgu,” ungkapan Hafiz itu tiba-tiba terngiang di telinga Riana.

Bingkas Riana bangkit dari katil sambil mengelengkan kepalanya, cuba mengusir ingatannya pada Hafiz. Dia mengadap meja soleknya dan melihat mukanya di cermin. Matanya bengkak akibat menangis terlalu lama. Fikirannya menerawang ke zaman remajanya.

“Kau tak rasa pelik ke bertunang dengan abang sendiri,” tanya Zakwan yang mulutnya memang tak ada insuran seusai majlis pertunangannya.

Riana merenggus geram, “Abang angkat ok! And we love each other.”

“Ye lah, tapi kau membesar dengan dia, tiba-tiba nak jadi laki engkau pulak.”

 “Aku tak kesah, yang kau sibuk kenapa?”

“Bukan sibuk…tapi kau tak sayang ke masa remaja kau ni, berjanji setia hanya untuk satu cinta. Idham pun dah nak pergi oversea. Kau ingat dia tak kan terpikat ke kat minah-minah saleh yang cun dan seksi kat sana.”

“Apahal kau dok meracun tunang aku ni,” Idham tiba-tiba muncul sambil memeluk bahu Zakwan. “Kau jealous kan sebenarnya?”

Zakwan mencebik, “Uhh, tak nak aku budak hitam ni.”

Riana menjegilkan matanya, mentang-mentanglah kulit dia cerah, selamba jer cakap orang hitam.

“Bukan hitam tapi sawo matang,” Idham membetulkan sambil ketawa dan mengenyitkan matanya pada Riana. Zakwan hanya selamba, tidak tersenyum dan tidak juga tertawa.


Riana kembali ke dunia nyatanya. Dia mengeluh perlahan dan bangun dari kerusinya. Dia terus ke bilik air dan mengambil wuduk. Tak lama selepas itu, dia bersimpuh di sejadahnya seusai solat istikharah, memohon petunjuk dari yang Esa.

No comments:

Post a Comment