Thursday 19 June 2014

NOKTAH CINTA (PT. 22)

NOKTAH CINTA

Sudah empat jam berlangsung. Di luar dewan bedah, semua orangpun tidak senang duduk. Zakwan mundar-mandir di hadapan pintu dewan bedah tak tentu arah. Mummy bersama Emak di satu sudut membaca Yaasin tanpa henti. Aisyah, Akim dan Aril di satu sudut lain melayan perasaan. Daddy dan Ayah pula duduk di kerusi, berusaha menenangkan diri.

Selepas satu jam kemudian, Dr. Syafi keluar dan mereka semua segera menerpa.

Dr. Syafi tersenyum, “Alhamdulilah, operasi berjalan lancar. Kedua-dua murid dan guru selamat. Tapi kedua-duanya akan diletakkan di ICU dulu untuk pemerhatian lanjut. Kita perlu tengok samada Riana boleh bertindak balas atau tidak dengan hati barunya. Untuk Hafiz, Insya Allah, no complication. Dia akan sedar lepas kesan ubat bius hilang.”

Tiada kata yang mampu menggambarkan kegembiraan dua keluarga itu, hanya ucapan syukur kepada Tuhan dan airmata yang menceritakan segala-galanya.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>> 

Sudah dua hari Hafiz dipindahkan ke wad biasa. Riana juga sudah sedar, tetapi badannya sangat lemah hingga mengganggu sistem pernafasannya. Doktor terpaksa meletakkan Riana dalam keadaan koma untuk memudahkan tindakbalas badan dengan hati barunya.

“Keputusan Hafiz dah nekad?” tanya Mummy.

Hafiz mengganguk.

“Tak kisah berjauhan dengan Daddy..Aisyah…3A?”

Hafiz tersenyum sambil meraih tangan Mummy, “Daddy ada Aisyah. Aisyahpun dah ada Akim. Dan suka atau tak 3A akan tetap membawa haluan masing-masing. Sekarang masanya untuk Hafiz tebus semula masa-masa kita yang hilang dulu.”

Mummy tersenyum. Matanya berkaca. Sesungguhnya anak ini sangat matang melebihi usia mudanya.

<<<<<<<<<>>>>>>>> 

Hafiz meminta izin Zakwan untuk berduaan dengan Riana di biliknya. Airmatanya seakan tidak mahu berhenti mengalir. Wajah itu sangat pucat, nafasnya turun-naik dengan bantuan alat pernafasan.

Hafiz memegang tangan Riana. Sejuk.

“Cikgu, maafkan Hafiz….”

Hafiz tak pasti sama ada Riana dapat mendengar atau tidak tetapi dia terus bercakap dengan Riana.

“Kita mungkin tak kan jumpa lagi selepas ni Cikgu. Tapi sampai bila-bilapun, Hafiz akan ingat Cikgu… Sampai bila-bilapun Hafiz akan sayang Cikgu.”

Tangan Riana dikucupnya perlahan.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>

Akim, Aril, Erin dan Zizi berlari-lari anak menuju ke arah Hafiz dan keluarganya. Nasib baiklah mereka mereka sempat sampai. Kalau tak mesti tak sempat nak ucapkan selamat tinggal.

Melihat kawan-kawannya, wajah Hafiz segera bertukar ceria.

“Kenapa lambat dowh? Risau aku takut tak sempat jumpa korang!”

“Sorry lah, driver Erin ni, lembab…” Aril ketawa melihat muka Erin cuak.

Pengumuman penerbangan ke Melbourne bergema. Hafiz memandang kawan-kawannya.

“Ok geng, aku kena chow dulu! Group Hug!!”

Segera dia memeluk Aril dan Akim. Tiada suara yang keluar dari mereka bertiga hanya airmata yang berkata-kata.

“Okeh…gembeng lah korang ni!” Hafiz mengutuk kawan-kawannya walaupun matanya sendiri merah berair.

“Okey Erin, Zizi..take care. Jangan lupa kita berjumpa di facebook!” Hafiz berlawak sambil bersalam dengan mereka.

Akhir sekali, dia memeluk Aisyah dan Daddy. Sukar untuk Hafiz berpisah dengan keduanya, lebih-lebih lagi dengan Daddy.

“Ampunkan Hafiz Daddy…tolong jangan marah Hafiz. Hafiz pasti akan balik semula ke sini, Daddy jangan bimbang. Daddy jangan kerja sampai lewat malam ye. Jaga kesihatan. Hafiz sayang Daddy!"

Daddy hanya mengangguk lesu. Airmatanya seperti sudah kering. Hatinya seperti dirobek.
!

“Aisyah jaga Daddy yer…”

Aisyah mengangguk dalam sedu-sedannya, “Abang jaga Mummy tau…”

Dan drama airmata itu berlarutan sehingga Hafiz dan Mummy masuk ke balai perlepasan.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>>>>> 

“Hafiz..!! Hafiz…!!” Riana menjerit. Kakinya penat mengejar agak jauh, sebelum Hafiz berhenti dan menoleh melihat Riana. Riana terkesima melihat Hafiz yang tampak lebih dewasa dalam persalinan putihnya. Hafiz melambaikan tangannya. “Hafiz nak ke mana..?” Hafiz tidak menghiraukan Riana dan terus berjalan. Riana mempercepatkan langkahnya. ”Hafiz..Hafiz..Hafiz…”

“Riana..sayang…” tangan sasa menggoncang bahunya lembutnya.

Riana membuka matanya. Zakwan disisinya tersenyum lega, “Alhamdulilah!”

“Emak, Ayah?” tanya Riana.

“Diaorang pergi solat asar. Nanti diaorang datang balik.”

“Air…”

Zakwan menuangkan air dan menyuakan gelas ke mulut Riana.

“Saya pergi panggil doktor sekejap ye…”

Riana mengganguk.

<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>> 

Dr. Syafi membuat pemeriksaan pada hari itu dan tersenyum puas.

“Alhamdulilah Riana, badan awak menerima hati baru awak dengan baik. Insya Allah, tak lama lagi awak boleh keluar.”

“Doktor, siapa yang dermakan hati untuk saya?”

Dr. Syafi mengerling Zakwan, “Saya rasa biar Zakwan jer yang bagi tau awak.”

Bila Dr. Syafi keluar, Zakwan segera sebelah Riana dan memegang tangannya.

“You have made me worried like hell, tahu tak?” katanya sambil mencuit hidung Riana.

Riana tersenyum. Kata Emak, Zakwan tidak pernah meninggalkannya sepanjang dia berada di hospital.

“Siapa yang derma hati untuk saya, awak?”

Muka Zakwan sedikit berubah. Dia mengambil surat yang disimpan di dalam beg pakaiannya dan diserahkan kepada Riana.

“Surat ni dari Hafiz. Dia yang dermakan hatinya untuk awak.”

Riana terlopong. Airmatanya tumpah tanpa dipaksa, pantas dia mengoyak sampul surat itu.

<<<<<<<<<<<>>>>>>>>>>> 

Assalamualaikum Cikgu.

Ketika Cikgu membaca surat ini, saya sudah tiada di bumi Malaysia. Saya telah memulakan pengembaraan baru dalam hidup saya di dalam usaha mengejar cita-cita dan menebus kembali kasih-sayang ibu yang saya sangka telah hilang.

Maafkan saya Cikgu, atas keterlanjuran kata-kata saya tempoh hari. Saya tahu, saya tidak patut mengucapkannya. Salah untuk seorang murid mengucapkan kata-kata itu kepada gurunya sendiri. Tetapi Cikgu, jangan pernah bilang bahawa perasaan saya hanya ilusi. Saya tahu apa yang rasa dan saya yakin dengan perasaan saya.

Saya tahu saya tidak akan pernah memiliki cinta Cikgu, tetapi saya yakin cinta itu akan kekal selamanya di dalam diri saya, sebagaimana darah Cikgu akan terus mengalir di dalam badan saya. Dan bila Cikgu merasa ragu, hati saya yang bersatu dengan hati Cikgu akan segera mengingatkan bahawa perasaan saya adalah benar.

Perjalanan saya masih panjang. Saya pasti akan berjumpa dengan banyak lagi cinta. Tapi Cikgu, tiada satupun akan memberi kesan sebagaimana cinta pertama kan? Dan Cikgu adalah cinta pertama saya.

Saya doakan Cikgu segera sembuh dan kembali ceria seperti dulu. Saya pasti akan sentiasa rindukan lesung pipit itu.

Salam sayang,
HAFIZ


-------------- TAMAT ----------------

No comments:

Post a Comment