Tuesday 18 June 2013

NOKTAH CINTA (PT. 1)



SUAIKENAL


Suasana kelas hingar-bingar. Pelajar-pelajar Tingkatan 6 Atas Syafiee berborak sama sendiri. Ini adalah fenomena biasa sejak Puan Fatimah Abu Bakar dipindahkan ke Kementerian Pelajaran tiga minggu yang lalu. Kelas Pengajian Am yang merupakan subjek yang paling tidak digemari pelajar kini menjadi sangat “ceria” tanpa kehadiran guru.


“Ahhh!!” Erin mengeluh bosan sambil membelek helaian buku teks Pengajian Am dihadapannya. Kerisauan bersarang dibenaknya mengenangkan peperiksaan percubaan tidak lama lagi. Erin meneruskan pembacaannya tanpa mempedulikan aktiviti rakan sekeliling yang menyakitkan telinganya.


Tiba-tiba, “Adoi…!” Segumpal kertas singgah dipipinya diiringi hilai tawa dari hujung kelas. Erin mengangkat muka dan merenung tajam sekumpulan tiga pelajar lelaki yang membalas nakal renungannya dengan berterusan ketawa tanpa silu.


“Dasar cacat otak!!” jerit Erin sambil membaling semula gumpalan kertas ke arah mereka bertiga, malangnya sasarannya tidak mengena dan dibalas dengan hilaian tawa yang lebih kuat. “Uhhhh!” Erin menggetus geram.


Tiga pelajar itu, Aril, Akim dan Hafiz cukup gembira dapat mengusik Erin yang pendiam dan ulat buku. Ia bagaikan satu kepuasan melihat muka gadis manis itu bertukar kemerahan menahan marah. 


Aril, Akim dan Hafiz atau lebih dikenali sebagai Geng 3A merupakan pelajar paling nakal di Sekolah Temenggung Aziz. Ketiga-tiganya mempunyai aura dan pesona tersendiri hingga menjadi kegilaan pelajar-pelajar perempuan. Kenakalan dan kecemerlangan 3A beralun serentak sehingga sukar untuk guru-guru mengambil tindakan terhadap tindak-tanduk mereka yang kadang-kadang agak melampaui batas.


“Bangun!!!!” tiba-tiba Yazid, sang Ketua Kelas memberi arahan. Kelam kabut para pelajar mengambil tempat masing-masing.  Melangkah masuk ke Kelas 6 Atas Syafiee, seorang wanita muda, berbaju kurung merah jambu dan bertudung sedondon. Susuknya sederhana dengan wajah sawo matangnya dimekap tipis.


“Assalamualaikum Cikgu”


“Wa’alaikumussalam. Duduk semua!”


Wanita itu tersenyum manis menampakkan lesung pipit yang tidak berapa dalam di kedua belah pipinya. Hatinya agak berbunga melihat wajah-wajah polos dihadapannya yang melihatnya dengan pandangan yang teruja.


“Saya adalah guru Pengajian Am kamu yang baru, menggantikan Puan Fatimah. Nama saya Riana..mmm..Qaseh Riana Abdullah”.


“Cik ke Puan?” tiba-tiba terpacul suara nakal di barisan belakang kelas.


Riana mencari pemilik suara itu. Pandangannya terhenti pada wajah comel anak muda bermuka agak bulat yang memandangnya dengan mata yang nakal dan senyuman meleret.


“Cik”, Riana membalas tegas. Dia agak tidak selesa dan bosan dengan soalan wajib itu yang pasti diajukan oleh mana-mana orang yang baru mengenalinya.


“Yeay!” sahut anak muda itu sambil disahut dengan hilai ketawa oleh rakan-rakan sekelas. Riana turut ketawa, terperanjat dengan reaksi pelajarnya sambil menyembunyikan perasaan malunya.


“Apa yang Yeay! sangat…? Hmmm…” tanya Riana sambil cuba melihat tanda nama di dada pelajar nakal itu.


Tahu apa yang dicari Riana, segera dia memberitahu, “Nama saya Hafiz, Cikgu!” sambil menayangkan tanda nama di dada bajunya.


“Yeay sebab Cikgu tak kawin lagi lah,” sambungnya sambil ketawa dan disambut oleh rakan-rakan yang lain.


“Kamu ingat kamu boleh pikat Cikgu??” Riana mencabar di dalam tawa yang tidak berkurang.


“Kalau Cikgu sudi,” Hafiz terus menduga.


“Ewwww…..seluar dalam awakpun mak masih basuh lagi ada hati nak ngorat Cikgu” Riana membalas usikan Hafiz bersahaja dan Kelas 6 Atas Syafiee terus galak dengan hilai tawa. 


“Uhh…dasar gatal,” getus Erin, menyampah dengan gelagat Hafiz dan rakan-rakan sekelasnya. Sedikit rasa cemburu tersilang di hatinya.


Sesi kelas hari itu hanya diisi dengan acara suaikenal dan perbincangan tentang topik-topik yang akan diajar dalam kelas akan datang. 


Bila loceng berbunyi menandakan tamat masa pelajaran, Riana meninggalkan kelas 6 Atas Syafiee dengan senyuman yang tidak lekang dibibirnya. Sudah lama dia tidak ketawa seperti itu. Seperti ada beban yang terlepas dari hatinya melayan usikan pelajar-pelajar barunya. Dia pasti akan gembira di sini. Dia pasti akan memberikan khidmatnya yang terbaik di sekolah ini. Ya, di sinilah permulaan baru hidupnya. Dia pasti!


RIANA 


Riana tekun meneliti nota tentang Perlembagaan Malaysia, topik yang akan didebatkan di dalam kelasnya esok hari. Seboleh mungkin dia akan cuba menjadikan subjek tersebut menarik untuk pelajar-pelajarnya. Tiba-tiba dia rasa tak sabar menunggu hari esok. Riana tertawa kecil, hairan dan teruja dengan semangat baru yang meruap di jiwanya. 


“Alhamdulilah, terima kasih Ya Allah”, ucap syukurnya di dalam hati.


Setelah berpuas hati dengan persiapan untuk mengajar esoknya, Riana merebahkan dirinya ke katil beralaskan cadar “turquoise” warna kegemarannya. Usikan nakal Hafiz kembali memenuhi ruang ingatannya. Dia ketawa sendiri. Anak muda itu sangat comel di matanya. Ahhhh….dan dia ketawa lagi.


“Semoga hari esok lebih baik lagi, Ya Allah,” doanya perlahan.


Perlahan matanya ditutup. Riana berharap dapat tidur lena malam ini. Dia cuba mengosongkan fikirannya. Dalam keadaan separa sedar, berbalam-balam wajah-wajah itu cuba menjelma dalam deltanya. Riana terus memejamkan matanya. Sesekali dahinya berkerut. Namun dia tak akan benarkan wajah-wajah itu menggangu tidurnya. Tidak lagi! Wajah-wajah itu kian menghilang diganti dengan hilai tawa yang menyenangkan. Muncul wajah comel yang tersenyum nakal padanya….Riana terus memejamkan matanya tapi dahinya tidak lagi berkerut. Dan tak lama selepas itu, dia lena mengulit mimpi yang diciptanya sendiri…

No comments:

Post a Comment