Thursday 20 June 2013

NOKTAH CINTA (PT. 2)



NAKAL SANG ARJUNA


Selesai makan nasi lemak dan milo ais, Hafiz melabuhkan dirinya di bawah pokok di belakang sekolah sementara menunggu habis waktu rehat. Pokok itu adalah spot kegemaran 3A. Aril dan Akim menghilang entah ke mana. Hafiz tidak berusaha mencari mereka. Entah kenapa dia berasa ingin bersendirian hari ini. Hafiz tersenyum dan bersiul kecil. Kelas Pengajian Am hari ini dua jam. Hatinya berbunga riang padahal Pengajian Am adalah amat membosankan baginya. 
 

“Hoii…kau berangan macam mana nak ngorat Qaseh Riana e??” sergah Akim mematikan lamunan Hafiz. Akim menyeringai comel menampakkan barisan giginya yang kecil tersusun unik.


“Bendul kau.!!” renggus Hafiz menepis tebakan Akim yang hampir kena.


“Tapi lesung pipit tu memang “taste” engkau kan???” Akim terus mengusik.


“Hahahaha! Baya nenek aku dowh lesung pipit tu. Tapi nama dia cantik, nanti boleh bagi nama anak aku macam tu”, balas Hafiz.


“Anak aku pun!” balas Akim.


“Anak aku pun!” sampuk Aril dari belakang Akim.


Mereka ketawa besar sambil meneruskan celoteh anganan mereka.


Dari jauh Erin memerhatikan gelagat ketiga-tiga sahabat baik itu sambil tangannya terus mencoret sesuatu di dalam diari baldu merah pemberian kakaknya. Diari itu adalah peneman setianya ke mana-mana sahaja dia pergi.


Di antara 3A, Erin paling menyenangi Aril. Walaupun nakal, Aril lebih sensitif dengan perasaannya. Kadang-kadang Erin terperasan mata Aril memandangnya simpati setiap kali usikan Hafiz dan Akim agak keterlaluan padanya. Antara mereka bertiga Aril paling matang bagi Erin.


Akim pula kasanova tersohor di Temenggung Aziz. Orangnya segak dengan susuk yang kurus tinggi. Lebih-lebih lagi dengan kepandaiannya memetik gitar dan berlagu indah memang bisa mencairkan hati mana-mana gadis yang dioratnya. Namun di dalam kenakalan Akim ada keseriusan di dalam tutur katanya. Pantang ada yang tidak berkenan di matanya, memang alamaknya kena “sound direct” lah.


Erin tersenyum lagi sambil tangan ligat menulis.


Tapi dia paling sukakan Hafiz walaupun Hafiz yang paling nakal dan paling kerap mengusiknya. Erin suka bila Hafiz merenungnya dengan matanya yang tersenyum. Dia sangat suka bila Hafiz ketawa terbahak-bahak hingga matanya tertutup menampak bulu matanya yang lentik. Dia meminati barisan gigi Hafiz yang putih bersih memaniskan senyumannya. Dadanya berdebar bila sesekali Hafiz memanggil namanya dengan lembut, ”Erin..” Perasaan apakah ini Tuhan….


“Erin!!” sergahan Hafiz mengejut Erin dan belum sempat dia memberi apa-apa respon, tangan Hafiz pantas merampas diari baldu merah dari ribaan Erin. 


“Hei..pulang kan!! Budak terencat akal!” jerit Erin marah. 


“Nah!” Hafiz menghulurkan diari itu kembali.


Tapi belum sempat Erin mengambil diarinya, segera Hafiz mencampakkannya kepada Akim.


“Alalalala…” kata Akim dan belum sempat Erin merebut diarinya kembali, sekali lagi diarinya bertukar tangan kepada Aril.


Dan begitulah bergilir-gilir diari baldu merah kesayangannya bertukar tangan dari Hafiz kepada Akim kepada Aril dan Erin seperti anak kecil berlari-lari di tengah-tengah lingkungan 3A yang mengilai ketawa mempersendakan aksinya. Letih dan geram, Erin akhirnya duduk dan airmatanya mengalir laju membasahi pipinya. 


Loceng menandakan tamat waktu rehat berbunyi.


 “Ok Aril, jom kita balik kelas, dah habis baca esok, baru kita pulangkan diari dia ni,” kata Hafiz tanpa simpati disambut dengan hilaian ketawa Akim.


Aril seakan tersentak. Diari di tangannya dipegang erat walaupun diminta berkali-kali oleh Hafiz. Butiran jernih yang jatuh di pipi putih gebu milik gadis manis itu adalah pemandangan terindah yang pernah dilihatnya. Degup jantung Aril seakan terhenti. Airmata itu terlalu meruntun hatinya.


Dia merapati Erin, memegang bahunya perlahan dan meletakkan diari baldu merah itu ditangan Erin… 


“Sorry…” bisiknya perlahan dan berlalu dari situ. 


“Awok sentimental sangat sehhh…………” ketawa Hafiz dan Akim memenuhi udara.


Aril terus meluru laju menuju kelas tanpa menghiraukan usikan teman-teman akrabnya. 


ARIL 


Aril adalah anak tunggal. Sejak kematian Abinya, sedaya-upaya Aril berusaha membahagiakan Umminya. Sedaya mungkin Aril tidak akan mengingkari setiap kata-kata Ummi. Aril sentiasa ingat pesan Abi sebelum Allah menjemput Abi ke syurga. Masa tu, Aril baru berusia 11 tahun.


“Aril kena sentiasa ingat, syurga di tapak kaki Ummi, jadi jangan pernah Aril sakiti hati Ummi. Kalau Abi tak ada, Aril janji dengan Abi, Aril akan jaga Ummi baik-baik” Aril mengganguk perlahan. 


Dia cuba menahan dirinya dari menangis sebab Abi selalu berkata, “Lelaki tidak boleh menangis. Aril kena jadi lelaki yang hebat, yang kuat semangat sebab lelaki adalah ketua keluarga. Dan jangan pernah buat Ummi menangis atau mana-mana perempuan pun menangis. Aril kena jadi lelaki yang budiman.  Ingat tu..” 


Itulah pesan Abi yang disimpan kemas oleh Aril. 


Tangisan Erin siang tadi benar-benar membuat Aril rasa bersalah. Dia rasa bersalah pada Erin. Dia rasa bersalah pada Abi. 


Sudah lama Aril menyimpan perasaannya pada Erin, anak Tan Sri Hashim Azmi, pedagang antarabangsa yang tersenarai antara 100 yang terkaya di Malaysia itu. Hatinya rasa sakit setiap kali Hafiz dan Akim mengusik dan mengacau Erin. Hanya kerana Erin pendiam dan jarang melawan, sahabat-sahabatnya semakin galak mengganggu. Aril ingin membantah tapi bimbang perasaannya pada Erin diketahui Hafiz dan Akim. Aril bimbang ditertawakan. Lebih-lebih 3A pernah berjanji untuk tidak jatuh cinta. Tidak buat masa ini. Ini adalah masa untuk bermain-main dengan hati perempuan. Seperti kata Akim yang terkenal dengan kasanovanya,“Test Power”. Aril bimbang, persahabatan 3A goyah jika perasaan hatinya dibongkar. 


Aril tahu dia perlu meluahkan rasa hatinya kepada seseorang tanpa menjejaskan egonya. Namun bila disuarakan rasa hatinya kepada Ummi, segera Ummi membantah, padahal Ummi belum pernah bertemu dengan Erin. Aril tak faham kenapa Ummi tidak bersetuju dengan pilihannya. Bukannya Aril ingin kahwin sekarang. Aril hanya meluahkan perasaan. Tapi kenapa Ummi beriya-iya membantah? Aril bingung. Bila didesak minta penjelasan, Umminya akan menarik muka sedih dan Aril telah berjanji dengan Abi untuk tidak membuat Ummi menangis.


Demi Ummi, demi 3A, Aril harus korbankan perasaannya. Tapi adakah Aril mampu menahan apa yang terbuku di hatinya lebih lama lagi? Perlahan Aril meraup wajahnya, “Tuhan, tolong aku…” rintihnya. Segera, dia ke bilik air dan mengambil wuduk.

No comments:

Post a Comment