Sunday 23 June 2013

NOKTAH CINTA (PT. 3)



ADA RASA TAK TERDUGA


“Melayu adalah jati diri. Apa yang tertulis di dalam Perlembagaan adalah terlalu general dan tidak melambangkan maksud melayu yang sebenar. Kalau macam tu senang lah kaum-kaum lain nak masuk melayu,” lantang Akim menzahirkan pendapatnya.


“Habis, kamu rasa apa interpretasi yang lebih baik menggambar Melayu mengikut fahaman kamu?” Soal Riana. 


“Aaaa……..oiii, tolong ar aku,” Akim tergagap sambil mencuit Hafiz yang ralit memandang Riana, minta pertolongan.


 “Kenalah tengok keturunan Cikgu,” Hafiz menjawab yakin.


“Dan bagaimana kamu menentukan keturunan, Hafiz?” soal Riana lagi mencabar intektualiti pelajarnya. Dia memandang Hafiz lembut dengan senyuman sinis menampak dua lekuk manis di pipinya.


“Adoii…lesung pipit itu, nak fikir pun tak boleh dah”, hati Hafiz berbicara sendiri, tetapi dengan spontan bibirnya mengukir senyuman nakal dan menjawab, “keturunan boleh ditentukan dengan bentuk badan, warna kulit, raut wajah dan mmmm...mungkin juga lesung pipit”. 


Hafiz mengenyitkan matanya kepada Riana yang sedikit terperanjat dengan jawapan yang diberi sebelum ikut ketawa bersama-sama rakan-rakan sekelasnya.


Riana mengerutkan dahi menyembunyikan senyum dan cuba berlagak tenang. Namun pipinya terasa panas.

“Kita tengok juga kaum tu pernah bersunat atau tidak Cikgu,” sampuk Aril tiba-tiba.


Dan Riana tidak dapat menahan ketawanya lagi.  Sekali lagi kelas 6 Atas Syafiee hingar-bingar dengan hilai tawa pelajar dan gurunya. Subjek Pengajian Am tidak membosankan lagi.


Bila kelas hari itu berakhir, Riana berasa lega. Method pengajarannya berjaya menarik minat pelajar. Walau macam mana dia cuba memberikan perhatian secara sama rata kepada semua pelajarnya, dia tidak dapat menafikan kadang-kala perhatiannya lebih tertumpu kepada 3A terutamanya Hafiz. Tiba-tiba pipinya terasa panas kembali. Rasa malunya masih bersisa dengan usikan Hafiz tadi. 


Riana tahu Hafiz selalu curi-curi memandangnya ketika dia mengajar. Ada masa lirikan nakal Hafiz cuba menguji hati perempuannya. “Ah…anak itu memang sangat nakal,” bisik hati Riana sambil tertawa kecil. 

Sudah tentu Riana tidak melayan kenakalan Hafiz tetapi dia tidak dapat menafikan taman hatinya berputik gembira. Riana menggeleng-gelengkan kepalanya, cuba mengusir perasaan manis itu dari mindanya.


Erin juga perasan perubahan sikap Hafiz semasa kelas Cikgu Riana. Hafiz lebih fokus dari biasa, padahal Pengajian Am bukan subjek kegemarannya. Erin juga perasan renungan Hafiz yang berbeza pada Cikgu Riana dan Erin tidak dapat menahan rasa cemburunya.


“Apalah yang dipandang pada anak dara tua tu..” getus hatinya marah sambil menggenggamkan tangannya.

“Erin, kau marahkan sape tu?? Kot yer pun, tahan-tahan la sikit, jangan bagi orang nampak” tegur Zizi, sahabat baik Erin sambil tertawa.


“Eh, Zizi, takder apalah. Aku dok fikir macam nak balas dendam kat 3A ni, tak habis diaorang ganggu aku,” bohong Erin.


“Kalau kau tak tahan sangat, mungkin kau patut bagitau cikgu pasal diaorang tu. Mintak injunksi supaya diaorang tak boleh mendekati kau dalam lingkungan radar 100m”, cadang Zizi yang bercita-cita untuk menjadi seorang peguam.


“Hahaha..injunksi? Nak report kat mahkamah mana?” Erin tergelak manja.


“Eh, aku serius lah. Cikgu Riana kan cikgu kaunseling baru. Apa kata kau pergi jer mengadu kat dia,” Zizi terus memberi cadangan.


“Riana?? Uhhhhh…baik tak payah. Sah-sah dia akan menyebelahi 3A,” getus Erin, tiba-tiba rimas bila nama Riana disebut.


“Eh, engkau ni kenapa?? Tak baik kau cakap macam tu. Aku tengok Cikgu Riana tu ok jer,” nasihat Zizi yang kehairanan dengan jawapan teman baiknya itu.


Erin mengangkat bahu, diam dan terus melayan perasaan. Hatinya sakit setiap kali dia teringat cara Hafiz memandang Riana dan perasaan cemburunya pada Riana semakin membuak. 


ERIN


Berwajah bujur sirih dan berkulit putih bersih. Erin antara pelajar perempuan tercantik di Temenggung Aziz tapi bukan pelajar paling popular, mungkin kerana sikapnya yang pendiam dan merendah diri. Pun begitu pemujanya bukan sedikit. Namun hatinya tidak terbuka untuk sesiapapun yang cuba mendekati. Walaupun dilahirkan di dalam keluarga yang sangat berada, Erin dididik untuk hidup sederhana. Kerana itulah dia dihantar ke sekolah biasa bukan sekolah antarabangsa yang terkenal di ibukota. 


Kesibukan Mama dan Papanya, menyebabkan Erin sangat rapat dengan kakaknya Isma, sementalahan pula mereka hanya dua beradik. Jarak umur mereka yang jauh menyebabkan Erin sangat manja dengan kakaknya. Kadang-kadang Kak Ismalah pengganti Mama, tempat Erin bergantung kasih dan mencurahkan masalah remajanya. 


Segalanya cukup sempurna untuk Erin sehinggalah Isma meninggalkan rumah dua tahun lepas. Erin tak tahu apa yang sebenarnya telah berlaku hingga menyebabkan Papa terlalu marah dan menghalau Kak Isma keluar dari rumah. Bila Kak Isma pergi, tiada siapapun dibenarkan untuk menyebut nama Kak Isma di dalam rumah. Mama sangat sedih, Erin tahu tapi Mama tidak berani membantah Papa. Erin juga tidak berani membantah Papa.


Kini, diari baldu merah, hadiah Kak Isma pada harijadinya yang ke 16 menjadi peneman setia. Diari itulah saksi semua luahan rindunya pada Kak Isma. Dairi itu juga tempat dia mencurahkan perasaan aneh yang dirasakan terhadap Hafiz. Rasa cemburunya pada Riana. Diari itu adalah rahsia hatinya yang paling dalam.

Tiba-tiba Erin rasa bersalah kerana merasa cemburu pada gurunya sendiri. 

“Ya Allah, tak berkat pelajaran aku nanti,” desis hati Erin. Diari baldu merahnya ditutup dan diletakkan di bawah bantalnya.

No comments:

Post a Comment